Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Aku Pegawai Mencari dan Menyelamat (SAR) untuk Perkhidmatan Hutan Amerika Syarikat – Aku Ada Beberapa Kisah Untuk Diceritakan

    Kisah ini asalnya dipaparkan di Reddit oleh seorang pengguna yang mendakwa dirinya seorang pegawai Mencari dan Menyelamat (Search and Rescue, SAR) di Perkhidmatan Hutan Amerika Syarikat. Dalam perkongsiannya itu, dia menceritakan pengalaman-pengalaman aneh, menakutkan dan kadangkala sukar dipercayai yang pernah dialaminya sepanjang menjalankan tugas di kawasan hutan belantara.

***

     Aku tak pasti di mana tempat paling sesuai untuk aku kongsikan kisah-kisah ini, jadi aku fikir kongsi saja di sini. Akh telah menjadi pegawai SAR selama beberapa tahun dan sepanjang tempoh itu, aku telah menyaksikan beberapa perkara yang aku yakin akan menarik perhatian anda semua.

     Aku mempunyai rekod yang agak baik dalam menemui semula individu yang hilang. Mereka selalunya hanya tersasar dari laluan atau tergelincir dari tebing kecil dan tak mampu mencari jalan pulang. Kebanyakan daripada mereka pernah dengar nasihat lama, “tinggal di tempat kamu hilang,” dan mereka tak pergi jauh. Tapi aku pernah hadapi dua kes yang sangat berbeza. Kedua-duanya menghantuiku sampai hari ini dan menjadi pemacu untuk aku bekerja lebih keras setiap kali menerima kes kehilangan.


KISAH 1

     Kes pertama melibatkan seorang budak lelaki kecil yang sedang memetik beri bersama ibu bapanya. Dia dan kakaknya bermain bersama dan kedua-duanya hilang hampir serentak. Ibu bapa mereka hanya hilang pandangan selama beberapa saat dan dalam masa sesingkat itu, kedua-dua anak mereka telah lesap. Apabila mereka gagal ditemui, kami dipanggil untuk memulakan pencarian.

     Kami berjaya menemui si kakak dengan agak pantas. Bila kami tanya di mana adiknya, dia memberitahu bahawa adiknya telah "diambil oleh lelaki beruang." Dia kata lelaki itu memberinya buah beri dan menyuruhnya diam, katanya dia mahu bermain dengan adiknya sekejap. Kali terakhir dia melihat adiknya, adiknya sedang duduk di atas bahu "lelaki beruang" itu dan nampak tenang. Sudah tentu kami syak penculikan tapi kami tak menemui sebarang jejak manusia lain di kawasan itu. Kanak-kanak perempuan itu juga berkeras mengatakan lelaki itu bukan manusia biasa. Dia tinggi, berbulu seperti beruang dan wajahnya "pelik." Kami mencari kawasan itu selama berminggu-minggu. Ini merupakan antara operasi terpanjang yang pernah aku sertai, namun tidak ada satu pun jejak budak lelaki itu ditemui.


KISAH 2

     Kes kedua pula melibatkan seorang wanita muda yang sedang mendaki bersama ibu dan datuknya. Menurut ibunya, anak gadisnya memanjat sebatang pokok untuk melihat kawasan hutan dari atas. Dia bagaimanapun tidak pernah turun semula. Mereka menunggu di bawah pokok itu selama berjam-jam, memanggil namanya sebelum akhirnya menghubungi pihak berkuasa. Sekali lagi, kami menyisir seluruh kawasan itu dan tidak menemui walau satu pun jejak. Aku langsung tak boleh bayangkan ke mana gadis itu boleh menghilang sebab tiada siapa nampak dia turun.

     Beberapa kali aku keluar bersendirian bersama anjing pengesan dan anjing-anjing itu cuba membawa aku naik ke tebing yang curam. Bukan bukit, bukan dinding batu biasa tetapi tebing yang betul-betul menegak tanpa sebarang tempat untuk berpaut. Ia sangat mengelirukan. Biasanya dalam kes sebegini, kami akan temui orang yang hilang di seberang tebing itu atau jauh beratus-ratus meter dari lokasi yang ditunjukkan anjing. Aku yakin pasti ada penjelasannya tapi tetap rasa pelik.


KISAH 3 

     Satu kes yang sangat menyedihkan melibatkan penemuan mayat seorang budak perempuan berusia sembilan tahun. Dia telah terjatuh dari tebing kecil dan tertusuk dahan pokok mati di dasar cerun. Ia satu kemalangan yang sungguh malang dan tak dijangka. Cuma aku takkan pernah lupakan bunyi jeritan ibunya apabila kami memberitahu apa yang telah berlaku. Dia melihat beg mayat dimasukkan ke dalam ambulans dan dia mengeluarkan jeritan paling menyayat hati yang pernah saya dengar. Ia bukan sekadar tangisan,  ia seperti seluruh hidupnya runtuh pada saat itu. Seolah-olah sebahagian jiwanya mati bersama anaknya. Aku dengar dari rakan SAR lain, si ibu itu telah membunuh diri beberapa minggu selepas kejadian. Dia tak sanggup hidup tanpa anaknya.


KISAH 4 

     Aku pernah bekerjasama dengan seorang pegawai SAR lain dalam satu kes kerana ada laporan tentang kehadiran beruang di kawasan sekitar. Kami sedang mencari seorang lelaki yang tidak pulang dari pendakian seperti yang dijadualkan. Kami terpaksa melakukan pendakian serius untuk sampai ke kawasan yang kami syaki dia berada. Kami temuinya terperangkap dalam celahan batu dengan kaki patah. Keadaannya sangat teruk. Dia telah terperangkap hampir dua hari dan kakinya jelas dijangkiti. Kami berjaya bawa dia ke helikopter dan salah seorang paramedik memberitahu saya yang lelaki itu langsung tak dapat ditenangkan. Dia asyik meracau, katanya dia okey pada awalnya. Namun apabila dia sampai ke puncak, ada seorang lelaki di sana, lelaki yang tidak mempunyai sebarang peralatan mendaki dengan hanya memakai parka dan seluar ski. Lelaki itu berpaling… dan mukanya kosong. Tiada wajah. Hanya permukaan kosong yang rata.

     Lelaki itu panik, cuba turun dengan tergesa-gesa dan akhirnya terjatuh. Dia kata sepanjang malam, dia boleh dengar lelaki itu mendaki turun dari gunung sambil mengeluarkan jeritan aneh yang terpendam. Kisah itu betul-betul meresahkan aku. Aku bersyukur  tak berada di sana untuk mendengarnya sendiri.


KISAH 5

     Salah satu pengalaman paling menakutkan pernah aku alami adalah ketika mencari seorang wanita muda yang terpisah dari kumpulan pendakiannya. Kami mencari sehingga lewat malam kerana anjing pengesan mengesan baunya. Kami akhirnya menemuinya dalam keadaan menggigil di bawah sebatang kayu reput besar. Dia tiada kasut, tiada beg dan jelas berada dalam keadaan trauma. Dia tidak mengalami sebarang kecederaan dan kami berjaya memujuknya untuk berjalan bersama kami kembali ke pangkalan. Namun sepanjang perjalanan, dia asyik menoleh ke belakang dan bertanya kenapa "lelaki besar bermata hitam" itu asyik mengekori kami.

     Kami tak nampak sesiapa pun, jadi kami anggap ia simptom kejutan. Namun semakin dekat kami dengan pangkalan, kegelisahannya semakin menjadi. Dia meminta aku menyuruh lelaki itu berhenti "buat muka-muka pelik." Sampai satu tahap, dia berhenti berjalan, berpaling ke arah hutan dan mula menjerit supaya lelaki itu pergi. Dia kata dia takkan ikut lelaki itu dan dia juga takkan "serahkan kami kepadanya." Kami akhirnya berjaya tenangkan dia semula. Tak lama kemudian kami mula dengar bunyi aneh dari sekeliling seperti bunyi batuk tapi dalam dan berirama. Seperti bunyi serangga besar. Aku sendiri tak tahu bagaimana untuk menggambarkannya.

     Apabila kami hampir sampai ke pangkalan, wanita itu berpaling kepada aku. Matanya terbeliak luas, lebih luas daripada apa yang aku fikir manusia mampu buka. Dia sentuh bahu aku dan berkata, 

     “Dia suruh saya beritahu awak supaya percepatkan langkah. Dia tak suka tengok parut di leher awak.” 

     Aku memang mempunyai parut kecil di pangkal leher tapi ianya tersembunyi di bawah kolar dan tak mudah dilihat. Aku langsung tak faham bagaimana wanita itu tahu tentangnya. Tepat selepas dia cakap begitu, aku dengar batuk aneh itu… betul-betul di telingaku. Aku hampir melompat dari kulit sendiri. Aku paksakan diri bertenang dan terus bawa dia ke pangkalan tapi dalam hati, aku cukup lega bila kami tinggalkan kawasan itu malam itu.


KISAH 6 

     Ini kisah terakhir yang aku nak kongsi dan mungkin yang paling pelik sekali. Aku tak tahu sama ada perkara ini berlaku di setiap unit SAR tapi dalam unit aku ia seperti satu rahsia umum yang semua orang tahu tapi tak pernah dibincangkan. Anda boleh cuba tanya pegawai SAR lain tapi walaupun mereka tahu, mereka mungkin takkan buka mulut. Kami diarahkan supaya tak bercakap tentangnya oleh pihak atasan. Dan jujurnya, kami semua dah terlalu biasa dengannya sehingga ia tak rasa pelik lagi.

     Dalam hampir setiap operasi yang jauh ke dalam hutan, maksud aku sejauh 30 hingga 40 batu, kami akan menemui tangga. Tangga biasa. Macam anda potong tangga rumah anda dan letakkannya di tengah-tengah hutan. Aku pernah tanya tentangnya kali pertama saya lihat, dan rakan pegawai hanya berkata, “Tak perlu risau. Itu normal.” Semua orang yang aku tanya jawab dengan nada yang sama. Aku pernah berniat nak periksa lebih dekat, tapi aku ditegah dengan tegas. 

     “Jangan sesekali dekati mana-mana tangga itu,” kata mereka. 

     Sekarang setiap kali aku jumpa tangga dalam hutan, aku cuma berpaling dan teruskan kerja kerana ia berlaku terlalu kerap untuk dianggap kebetulan.


Catat Ulasan for "Aku Pegawai Mencari dan Menyelamat (SAR) untuk Perkhidmatan Hutan Amerika Syarikat – Aku Ada Beberapa Kisah Untuk Diceritakan"