Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

EMPAT PERKARA ANEH YANG BERLAKU SELEPAS KEMATIAN SUZANNA

    Siapa saja tidak mengenali aktres Indonesia yang bernama Suzanna Martha Frederika van Osch atau nama lainnya, Suzzanna. Aktres ini terkenal dengan jolokan ratu seram layar Indonesia kerana kebanyakan filem yang dibintanginya adalah filem bergenre seram di mana dia sering memegang watak sebagai hantu. Watak hantu lakonan Suzanna yang paling diingati orang ramai adalah dalam filem Beranak dalam Kubur (1971) dan Sundel Bolong (1981). Suzanna telah meninggal dunia pada 15 Oktober 2008 di Magelang yakni sewaktu dia berusia 66 tahun akibat penyakit kencing manis.

    Seperkara harus diketahui, Suzanna mempunyai satu tabiat pelik iaitu suka memakan bunga melati tanpa diketahui tujuan sebenarnya. Dipetik daripada laman sesawang Tribun News, kematian Suzanna dikatakan sangat misteri kerana tiada sesiapa yang tahu bagaimana dia menghembuskan nafas terakhirnya. Berikut adalah empat perkara aneh yang berlaku selepas kematian Suzanna.

1. TIADA SIAPA YANG TAHU TENTANG KEMATIAN SUZANNA

    Suzanna telah meninggal dunia pada pukul 11.30 malam hari Rabu bersamaan dengan 15 Oktober 2008. Tarikh pemergian Suzanna itu adalah pada dua hari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-66. Majlis pengkebumian Suzanna telah diadakan pagi 16 Oktober 2008. Cuma apa yang agak mengejutkan adalah kematian Suzanna tersebut langsung tidak diketahui oleh anak kandung, keluarga terdekat dan bekas suami pertama aktres itu. Hanya selepas Suzanna dikebumikan, barulah mereka mendapat tahu tentang kematian Suzanna tersebut. Malah Kiki Maria yang juga merupakan anak peremuan kandung kepada Suzanna hanya mengetahui mengenai kematian ibunya itu daripada pihak media. Penjelasan diberikan oleh Clift Sangra berhubung dengan perkara tersebut, dia mendakwa Suzanna telah mewasiatkan supaya kematian dan majlis pengkebumiannya dirahsiakan.

2. RUMAH SUZANNA DIKUNCI DAN DALAM KEADAAN GELAP GELITA SETELAH KEMATIANNYA

    Sama ada benar atau sebaliknya, Clift Sangra dilaporkan telah mengunci serta membiarkan rumahnya dalam keadaan gelap-gelita pada waktu sesudah kematian Suzanna. Tiada sesiapa yang dibenarkan memasuki rumah Suzanna untuk tempoh seketika termasuklah keluarga Suzanna sendiri. Tidak dapati dipastikan punca sebenar Clift Sangra berbuat sedemikian. Selain itu, tiada juga sebarang upacara doa diadakan. Perkara ini sekaligus menyebabkan keluarga Suzanna terpaksa mengadakan upacara doa di rumah saudara yang berdekatan. Khabar angin juga timbul bahawa wasiat Suzanna akan dibacakan selepas 40 hari kematian aktres itu akan tetapi perkara tersebut bagaimanapun tidak pernah berlaku.

3. SUZANNA MATI SECARA TIBA-TIBA

    Menurut Clift Sangra mengenai waktu kejadian, dia memberitahu bahawa isterinya itu meninggal dunia setelah meminum susu. Dakwa Clift Sangra, dia sempat berbincang dengan Suzanna sebelum membuat keputusan untuk menghubungi doktor peribadi. Keputusan tersebut dibuat selepas melihat tanda-tanda Suzanna akan pergi buat selama-lamanya. Kematian Suzanna itu disahkan oleh doktor peribadinya dengan punca kematian adalah disebabkan penyakit kencing manis yang sudah dihidapinya selama 30 tahun.

4. PERMUSUHAN KIKI MARIA DENGAN CLIFT SANGRA

    Pada penghujung tahun 2003, tersebar luas berita tentang kisah penembakan suami Kiki Maria iaitu Abriyarso Prihanto Boyho yang didakwa didalangi oleh Clift Sangra. Banyak khabar angin mendakwa insiden tembakan tersebut bermotifkan pembahagian harta Suzanna yang diwariskannya kepada Kiki Maria. Rentetan daripada perkara itu, ramai pihak mempercayai bahawa Suzanna sebenarnya telah menjadi mangsa pembunuhan Clift Sangra gara-gara harta itu. Clift Sangra berkemungkinan besar menggunakan khidmat pembunuh upahan bagi merencanakan pembunuhan Suzanna tersebut. Hingga pada akhirnya, Clift Sangra yang didapati bersalah melakukan cubaan bunuh terhadap Abriyarso telah dijatuhkan hukuman penjara selama empat bulan. Nama Clift Sangra seterusnya menjadi bualan orang ramai kerana boleh jadi dia menyimpan satu rahsia besar dalam kematian Suzanna.                                  

Catat Ulasan for "EMPAT PERKARA ANEH YANG BERLAKU SELEPAS KEMATIAN SUZANNA "