Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

PENGAKUAN SEORANG PENYELAMAT LAUT DALAM (BAHAGIAN 2)

 BAHAGIAN 1

 BAHAGIAN 3 

     Sebelum aku menyambung cerita, izinkanku menjelaskan beberapa perkara terlebih dahulu.

     Sejak bahagian pertama diterbitkan, aku menerima banyak komen dan mesej peribadi. Ramai yang menyatakan bahawa sangat sedikit manusia di dunia ini memiliki pengalaman seperti aku. Lebih sedikit lagi yang baharu sahaja meninggalkan kerjaya ini. Maka tidak mustahil, ada yang sudah dapat mengagak identiti aku.. Namun begitu, aku tetap percaya bahawa orang awam berhak mengetahui kebenaran.


Peralatan Kami

     Kami bukanlah penyelam skuba biasa. Kami ialah penyelam profesional bertopi keledar (hard hat diver). Udara dibekalkan terus dari permukaan melalui sistem yang dinamakan umbilical iaitu kabel tebal yang disambung ke topi keledar kami. Dalam kabel ini terdapat saluran udara, wayar elektrik untuk lampu, talian komunikasi dan alat pengukur kedalaman.

     Kami juga membawa silinder gas kecemasan di belakang tetapi isinya hanya cukup untuk kecemasan jika perlu naik ke permukaan. Kami tidak menggunakan rebreather (alat penapis nafas semula). Sesekali kami menggunakan topeng muka penuh atau skuba sekiranya lebih sesuai untuk tugasan tertentu. Namun itu jarang berlaku.


Penjaga Dasar Laut

     Dalam kalangan kami, ada yang percaya tentang kewujudan satu entiti misteri yang dikenali sebagai Penjaga Dasar Laut (The Keepers of the Deep).

     Aku tidak pernah menjumpai sebarang maklumat tentang mereka di internet atau mana-mana jurnal saintifik. Cerita ini hanya pernah aku dengar daripada rakan sepasukanku sendiri. Ada juga pasukan lain yang mendakwa pernah “bertembung” dengan makhluk tersebut tetapi sangat sedikit yang sanggup bercerita lanjut. Seolah-olah wujud satu akuan sumpah diam yang tidak tertulis.


Insiden 1: ROV dan Ukiran Logam Misteri

     Dalam satu tugasan pemeriksaan struktur pelantar minyak, kami menurunkan ROV (kenderaan kawalan jauh bawah laut). ROV itu disambungkan dengan kabel yang menyalurkan kuasa, video dan sonar ke permukaan. Ketika ROV turun ke dasar yang gelap, kami mula melihat calar-calar halus pada permukaan logam. Semakin dalam, calar tersebut berubah menjadi torehan. Dan lebih jauh ke bawah, torehan itu kelihatan seolah-olah disengajakan. Kami menggerakkan ROV lebih dekat. Di situlah kami terlihat sesuatu yang mengejutkan di mana ukiran seperti hieroglif terpahat pada logam tersebut. Ukiran itu kelihatan baharu, masih berkilat. Namun semakin dalam kami meneliti, ukiran-ukiran lain kelihatan lebih usang, berkarat dan dipenuhi tumbuhan laut.

     Tiba-tiba, ROV mula bergoyang hebat. Ia hilang kuasa dan terputus sambungan. Kami cuba menariknya naik menggunakan kabel tetapi terasa seolah-olah ROV itu ditarik dari arah lain, bukan dari bawah tetapi dari sisi.

     Dua penyelam lain turun membantu tetapu akhirnya kabel umbilical terputus. ROV itu lenyap, ditarik masuk ke dalam kegelapan.

     Kami naik semula ke permukaan dan melaporkan insiden kepada pihak atasan syarikat minyak.


Insiden 2: Dilanggar Objek Tidak Dikenali

     Kira-kira setahun lalu, kami ditugaskan dalam misi menyelamat kapal karam. Ketika aku sedang memeriksa bahagian bawah kapal dengan belakang menghadap ke laut terbuka, tiba-tiba sesuatu menghentam silinder gas kecemasan di belakang aku dengan kuat. Aku terpelanting dan terhempas ke badan kapal. Apabila aku menoleh, tiada apa-apa di belakangku.

     Selepas pemeriksaan, aku diberitahu bahawa beberapa tulang rusukku lebam. Kami segera ditarik naik ke atas. Semasa proses penyahmampatan, kami mula terlihat bayang-bayang sesuatu berenang mengelilingi kami. Semakin lama, semakin hampir.

     Akhirnya, ia kelihatan jelas, seekor ikan yu gergasi.

     Aku bukanlah penakut ikan yu tetapu apabila kita tergantung di tengah lautan, tanpa sangkar, hanya berpaut pada kabel dan makhluk sebesar itu berlegar-legar di sekeliling...keberanian pun boleh runtuh.

     Warna kulitnya hitam pekat dengan tompok-tompok kelabu. Spesiesnya, tidak aku tahu. Ia hanya berenang mengelilingi kami beberapa kali, seakan memerhati kemudian menghilang sebelum kami ditarik ke permukaan.


Insiden 3: Misi Pelucutan Senjata

     Dalam tugasan lain, kami ditugaskan mengenal pasti dua peluru berpandu milik tentera yang terjatuh ke laut tetapi tidak meletup. Air ketika itu sangat jernih. Kami turun dan mula menyiapkan peluru tersebut untuk ditarik ke permukaan.

     Ketika aku memegang salah satu peluru, rakan selam aku tiba-tiba menjerit, “Aduh, sial!

     Aku berpaling ke arahnya. Dia sedang memerhati ke arah laut terbuka. Di kejauhan, kelihatan satu ‘tembok pasir’ sedang bergerak ke arah kami. Ia seperti ombak debu namun terbentuk dari dasar laut.

     Pasir itu semakin tinggi yakni sekitar 30 kaki dan menghampiri kami dengan pantas. Dalam beberapa saat, seluruh kawasan diselubungi kegelapan. Cahaya tidak dapat menembusi kabus pasir yang melimpah. Aku meletakkan tangan di depan muka namun langsung tidak kelihatan.

     Kami mula mendengar bunyi logam berkeriut. Aku menahan nafas. Tak lama kemudian, seperti ia datang, pasir itu berlalu pergi. Air kembali jernih. Namun peluru berpandu itu… hilang. Kami yang tadi berada hanya beberapa inci daripadanya  kini tidak menjumpainya langsung. Kami cuba meraba-raba dasar laut namun peluru itu seolah-olah lesap.


Insiden 4: Menyelamat Mangsa Jambatan Runtuh

     Kami pernah terlibat sebagai sukarelawan dalam misi menyelamat selepas runtuhan jambatan. Sebahagian jambatan itu jatuh ke laut sedalam 50 kaki.

     Kami diberi tempoh seminggu untuk mengangkat seberapa banyak kenderaan dari dasar laut.

     Hari pertama, kami menyusun pelan kerja. Hari kedua, kami mula mengangkat kenderaan. Namun yang benar-benar menyakitkan bukanlah proses mengangkat itu tetapi apa yang kami temui di dalam kereta tersebut.

     Ada kenderaan yang mengandungi satu keluarga. Ibu bapa mati di tempat duduk belakang, cuba melepaskan anak-anak daripada tali pinggang keledar. Ada juga kenderaan yang kosong sepenuhnya. Kami sangka mereka sempat menyelamatkan diri. Namun sangkaan itu berubah apabila aku sedang memeriksa sebuah van.

     Aku terlihat seorang “penyelam” sedang memeriksa peralatan aku. Dia mula membuka salah satu pengikat saya.

     Aku bertanya, “Kenapa kau buat begitu?”

     Dia menjawab, “Aku nak cari mayat dalam van ni.”

     Rasa tidak sedap mula merayap dalam dadaku. Aku memegang bahunya dan memutarkannya perlahan-lahan. Ia terasa berat seolah-olah enggan berpaling. Namun apabila wajahnya menghadap aku, aku terkejut besar. Topeng mukanya berkabus tetapi aku dapat melihat dengan jelas wajah itu reput, dagingnya sudah membusuk.

      Itu bukan rakan aku. Itu mayat.

     Aku menjerit sekuat hati. Suasana dalam komunikasi menjadi huru-hara. Aku cuba berenang ke belakang, namun kabel saya tersangkut. Makhluk itu kembali ke van. Aku meronta-ronta.

     Dan sebelum aku  berjaya melepaskan diri, aku lihat ia membuka pintu van… dan menyeret salah satu mayat ke arah dasar laut yang gelap.


Akhir Kata: Cukuplah...

     Selepas semua ini, aku sedar… mungkin aku tidak lagi sesuai untuk kerjaya ini. Namun aku teruskan juga, lebih lama daripada sepatutnya.

     Sepanjang masa itu, hanya satu perkara berlegar-legar dalam fikiranku:

     "Aku perlu cari kerja yang lebih selamat."


Pautan Kisah Asal : Confessions of a Deep Sea Diver ( Part 2)

Catat Ulasan for "PENGAKUAN SEORANG PENYELAMAT LAUT DALAM (BAHAGIAN 2)"