Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

ISTERIKU SUKA MENGINTAI

Gambar sekadar hiasan

    Aku dan isteriku iaitu Lynn baru saja 11 bulan mendirikan rumah tangga selepas enam tahun menjalinkan hubungan. Sepanjang tempoh kami bersama, semuanya seperi biasa dan tiada apa perkara yang aneh tentang Lynn. Cuma memang betul-betul di luar dugaan aku apabila perangainya tiba-tiba berubah.

    Aku boleh katakan Lynn adalah seorang wanita yang baik dan pintar. Dia bukan seorang yang suka melakukan perkara mengarut apatah lagi untuk berperangai seperti budak-budak atau menakut-nakutkan orang. Dia juga bukan seorang penggemar filem seram. Aku ingat lagi saat kali pertama Aku dan Lynn keluar bersama di mana dia bersetuju untuk menonfon filem The Shining denganku. Dia setuju kerana dia tahu aku suka menonton filem seram. Sewaktu menonton filem itu, Lynn terlampau takut hingga menyebabkan aku terpaksa untuk menutup terus filem tersebut. Jadi di sini jelas dia bukanlah seseorang yang menakutkan atau suka melakukan tipu helah. Seperkara lagi, Lynn tidak mempunyai sebarang masalah penyakit mental. Begitu juga dengan anggota keluarganya yang lain. Aku tahu ada sesetengah orang yang dapat menyembunyikan masalah penyakit mental daripada pengetahuan orang lain. Namun dalam kes aku, aku betul-betul yakin bahawa Lynn bukan seorang pesakit mental.

Link Shopee : https://shope.ee/6ACsOCEbVQ

    Kisah bermula pada dua bulan lepas. Pagi itu, aku sedang membancuh air kopi di dapur. Selesai bancuh, aku pun menghirup sedikit saja air kopi tersebut kerana aku sebenarnya sudah terlewat untuk pergi bekerja. Cuma sewaktu aku berada di pintu untuk keluar dari rumah, tiba-tiba aku menyedari Lynn sedang mengintai aku dari satu bahagian penjuru ruang tamu. Apa yang aku nampak hanyalah matanya yang sedang terbeliak. Rambut dan badannya pula terlindung pada dinding penjuru itu.

    “Lynn! Kenapa ni? Awak dah takutkan saya tau!” Kataku sambil air kopi tersembur keluar dari mulut.

    Lynn kemudian cepat-cepat beredar dari ruang tamu tersebut seolah-olah tiada apa yang berlaku sebelum dia hilang daripada pandangan mataku. Biarpun aku rasa insiden pagi itu sangat pelik kerana itu bukan perangai sebenar Lynn yang aku kenali akan tetapi pada masa sama aku cuba bersangka baik dengan beranggapan dia mungkin sekadar cuba untuk melawak sahaja. Aku seterusnya melangkah keluar dari rumah dan sempat memberikannya ucapan “I Love You” sambil menggelarkannya sebagai si aneh. Bulu romaku bagaimanapun naik meremang apabila terdengar suara Lynn ketawa selepas aku menutup pintu dari luar rumah. Selesai waktu bekerja, aku pun pulang ke rumah. Sampai di rumah, aku melihat Lynn melayanku seperti biasa. Jadi aku pun melupakan apa yang telah berlaku pada awal pagi hari tersebut.

    Okay, kejadian kedua berlaku pada tiga hari berikutnya. Lebih kurang jam 2 pagi, aku terbangun dari tidur lalu pergi ke dapur untuk menghilangkan rasa dahaga. Sewaktu aku sedang meminum air, aku dapat berasa diriku seperti sedang diperhatikan. Saat aku menoleh ke belakang, Lynn merenung aku dengan keadaan mata terbeliak sambil mulutnya tersenyum lebar. Melihat Lynn seperti itu, serius aku terus menjerit. Aku betul-betul berasa takut atas sebab yang aku sendiri tidak dapat nak dipastikan. Setelah aku menjerit, Lynn terus berlari pantas dari dapur tersebut dengan cara merangkak. Aku pula hanya berdiri kaku, memikirkan entah apa sebenarnya yang membuatkan Lynn bertingkah laku seram seperti sedemikian.

    Aku mengambil masa untuk kembali ke bilik tidur. Sesudah berasa tenang, barulah aku masuk semula ke dalam bilik tidur. Masuk saja ke dalam bilik tidur, aku melihat Lynn sedang berbaring sambil matanya terpejam yang bermaksud dia sudah pun tidur. Aku berdiri selama beberapa minit untuk memerhatikan samada dia betul-betul tidur atau pun berpura-pura tidur. Tak lama kemudian, aku berbaring di sebelah Lynn dan matanya langsung tidak terbuka. Lynn kelihatan tidur sangat nyenyak hingga membuatkan aku terfikir samada apa yang berlaku pada malam itu hanyalah sekadar mimpiku semata-mata.

Link Shopee : https://shope.ee/8euDMsgWjA

    Keesokan paginya, aku menunggu Lynn untuk minum kopi bersama-sama. Selepas dia muncul, aku pergi memeluk serta mencium pipinya. Aku tekad untuk bertanya tentang apa yang dia telah lakukan pada semalam itu.

    “Kenapa dengan awak semalam?” Soalku dengan sangat lembut supaya dia tidak terasa hati.

    Mendengar soalanku, reaksi wajahnya sudah cukup menandakan bahawa dia tidak memahami apa yang aku cuba untuk sampaikan.                                            

    “Awak mengintai saya lagi semalam.” Kataku sambil menuding jari ke arah lantai tempatnya merangkak pada malam kejadian.

    Kepala Lynn berpaling sebentar ke arah lantai tersebut sebelum kembali memandang aku. Tiba-tiba sahaja dia ketawa besar.

    “Awak betul-betul menakutkan saya, awak tahu tak?” Aku menegurnya dengan cara yang baik. Lynn meletakkan cawan air kopi pada meja lalu mendekati aku sambil kedua-dua lengannya memeluk leherku.

    “Awak pun selalu menakutkan saya. Jadi kita samalah.” Kata Lynn dengan nada gurauan. Sesi perbualan pagi itu berakhir begitu saja sebelum masing-masing keluar pergi bekerja. Aku tidak berhenti memikirkan apa sebenarnya yang berlaku kepada Lynn. Mengintai dan merangkak dengan gaya yang menyeramkan. Ada juga aku terfikir boleh jadi Lynn mungkin sekadar bergurau kerana dia tahu aku adalah seorang penggemar kisah seram.

    Lama-kelamaan, perangai Lynn yang suka untuk mengintai aku semakin menjadi-jadi. Adakalanya dia mengintai dari sofa, langsir tingkap dan peti lama peninggalan mendiang neneknya. Lynn sepertinya melakukan aktivi intai tersebut akan dapat membuatkannya rasa gembira. Sampai satu tahap, aku sendiri tidak tahu bagaimana untuk menasihatinya. Jadi apa yang aku boleh lakukan, hanyalah memerhatikan wajahnya pada setiap kali dia mengintai aku. Aku juga pernah meninggikan suara kepada Lynn tentang perkara ini akan tetapi dia langsung tidak menjawab dan lebih membuatkan aku rasa tertekan adalah perangainya itu yang langsung tetap tidak berubah.

    Hinggalah satu masa, Lynn tidak mengintai aku selama dua minggu. Saat ini, aku sudah berfikir bahawa dia telah berhenti daripada melakukan aktiviti intai tersebut. Pada satu malam yakni ketika kami berdua sedang menonton rancangan Netflix, aku bergurau kepada Lynn tentangnya yang mungkin sudah berasa bosan untuk mengintai aku secara berterusan. Lynn kemudian memandang aku sambil tersenyum.

“Saya rasa kan lebih baik saya macam ni.”

    Aku terdiam, memikirkan sama ada Lynn bergurau atau sebaliknya.

    Cuma beberapa hari selepas itu, apa yang Lynn perkatakan pada malam tersebut masih lagi terngiang-ngiang dalam fikiranku. Adakah dia sebenarnya masih mengintaiku dalam keadaan yang aku tidak sedari. Aku mula jadi paranoid. Setiap masa mata aku memerhatikan setiap penjuru dan meja rumahku. Mana tahu, Lynn masih mengintai. Sampai satu masa, aku rasa diriku sendiri pula yang gila.

    Beberapa minggu kemudian, tiada sebarang insiden intai yang berlaku. Barulah aku mula berasa lega. Rasa paranoid aku pun dah beransur hilang. Semestinya, kejadian tersebut adalah kenangan paling pahit yang pernah aku alami dalam hidupku.

    Tanpa aku duga, rupa-rupanya aku tersilap besar tentang Lynn.

    Pada satu malam, Lynn telah keluar untuk pergi bertemu dengan rakannya. Sementara itu, aku menghabiskan masa di rumah dengan bermain komputer riba. Tepat pada jam 9 malam, aku pun pergi mandi. Sewaktu aku membersihkan badanku dengan sabun dalam keadaan mata terpejam, entah kenapa tiba-tiba aku rasa sedang diperhatikan. Aku pun membuka mataku dengan perlahan-lahan. Saat mata aku terbuka luas, jantungku terus berdegup dengan laju.

    Lynn mengintai aku lagi. Kali ini dari tirai bilik mandi. Macam apa yang aku nampak seperti sebelum ini hanyalah muka Lynn saja. Seluruh badannya pula tertutup dengan kain tirai tersebut. Matanya terbeliak sambil mulut ternganga luas. Lagi menyeramkan, kedua-dua matanya langsung tidak berkedip. Aku menjadi takut melihat Lynn seperti itu.

    Kami berdua sama-sama berdiri kaku untuk seketika tanpa sepatah kata pun yang keluar dari mulut. Aku perhatikan Lynn, Lynn perhatikan aku. Tak lama kemudian, Lynn berundur dengan langkah perlahan-lahan sebelum kedengaran bunyi pintu bilik mandi ditutup yang menandakan dia sudah pun keluar. Aku menjerit sekejap dan kemudian terus mengunci pintu. Aku berada dalam bilik mandi tersebut lebih dari sejam. Aku berjalan mundar-mandir kerana kebingungan dan sekali sekala aku meletakkan telinga pada pintu bilik mandi itu untuk mendengar suara Lynn yang aku jangkakan masih berdiri dekat luar.

    “Hihihihi” Kedengaran suara Lynn ketawa yang mungkin berasa seronok melihat aku dipermainkan.

    Suara Lynn ketawa tersebut bagaimanapun terus membuatkan rasa kemarahanku membuak-buak.

    “Awak dah kenapa Lynn!” Jeritku dari dalam.

    “Berhentilah buat macam ni!” Aku betul-betul marah sambil mengharapkan dia meminta maaf. Selama ini aku memang tidak pernah meninggikan suara seperti itu.

    “Lynn!”

    Tiada sebarang jawapan dari luar.

    “Sumpah Lynn! Baik berhenti sekarang!” Aku mengugut.

Link Shopee : https://shope.ee/7UiFzMn9n8



    Aku tak nafikan yang aku benar-benar dalam ketakutan. Aku tak sanggup nak berhadapan dengan isteriku dalam situasi sedemikian. Namun setelah setengah jam berlalu, barulah aku memberanikan diri untuk membuka pintu bilik tidur. Tak larat dah aku nak duduk di dalam bilik mandi tersebut.

    Pintu bilik mandi dibuka dengan perlahan. Melalui ruang kecil pintu yang sudah terbuka itu, Lynn tiada berada di luar. Aku sendiri tidak pasti sama ada patut berasa gembira atau sebaliknya bila melihat Lynn tiada.  Belum sempat pintu bilik mandi dibuka dengan luas, aku terdengar suara orang tergelak dari arah almari dalam bilik mandi. Sebaik saja aku menoleh arah almari tersebut, kepala Lynn tiba-tiba saja muncul! Ya, Lynn muncul dari dalam almari itu sekali lagi dalam keadaan mata terbeliak, mulut ternganga. Dia rupa-rupanya tidak pernah keluar dari bilik mandi itu! Aku diperbodohkan dengan bunyi bilik mandi ditutup kononnya tanda dia sudah keluar. Gila apa sepanjang aku berada dalam bilik mandi tersebut, setiap gerak-geriku diperhatikannya yang bersembunyi di dalam almari itu.

    Aku apa lagi, terus melarikan diri dari rumah dengan larian sepantas kilat serta pada masa sempat mengambil kunci kereta dan telefon. Aku juga sempat mendengar bunyi Lynn ketawa melihat aksiku berlari dalam keadaan hanya berseluar pendek dan berkaki ayam. Masuk saja ke dalam kereta, aku terus memandu selaju yang mungkin menuju ke rumah adikku iaitu Chris yang memakan masa perjalanan selama 40 minit dari rumah aku. Setiap panggilan serta mesej Lyn yang masuk pada telefon aku langsung tidak dipedulikan sama sekali.

    Chris dan isterinya yang bernama Rebecca ternyata terkejut melihat kedatanganku. Mereka berdua mempelawa aku masuk ke dalam rumah tanpa bertanya apa-apa pun. Sesudah memakai pakaian yang dipinjamkan Chris, aku pun menceritakan kepada Chris dan Rebecca tentang apa yang sudah berlaku. Namun setakat yang diceritakan hanyalah mengenai perselisihan faham antaraku dengan Lynn. Itu sahaja, tidak lebih daripada itu. Aku tak nak Chris dan Rebecca beranggapan aku bukan seorang yang matang. Macam tak logik nak bercerita tentang masalah rumah tangga di mana seorang isteri suka mengintai suami. Si isteri menyeramkan, si suami pula penakut. 

    Selesai bercerita, aku pun berbaring di atas sofa denga cuba untuk tidur. Puas aku memejam mata akan tetapi setiap kaliku berbuat sedemikian, bayangan kepala Lynn keluar dari almari terus membayangiku. Hanya selepas Chris memberikan ubat tidur, barulah aku boleh tidur. Cumanya aku tidur dengan bermimpi ngeri muka Lynn.

Link Shopee : https://shope.ee/AK2PgdAAe9

    Keesokan paginya, aku pun terbangun dalam keadaan badan berasa sangat keletihan. Aku sebenarnya ada terfikir untuk menelefon Lynn akan tetapi bila difikir balik, apa yang harusku perkatakan kepadanya. Seperkara lagi, aku tidak akan pulang ke rumah selagi Lynn tidak berjanji untuk tidak lagi menakut-nakutkanku. Jauh di sudut hatiku, aku memang berharap Lynn akan kembali normal seperti dulu. Tak lama setelah mengelamun, aku dapat berasa ada seseorang yang sedang memerhatikanku dari luar tingkap yang terletak bersebelahan dengan sofa. Saat kepalaku berpaling pada tingkap itu, ternyata Lynn sedang mengintaiku lagi.

BERSAMBUNG

Nota : 

Kisah ini adalah terjemahan kisah My wife has been peeking at me from around corners and behind furniture. It's gone from weird to terrifying dari laman sesawang Reddit. 

Catat Ulasan for "ISTERIKU SUKA MENGINTAI"