Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH N’GOLO KANTE : Pemungut Sampah yang Menjadi Pemain Bola Sepak Terhebat

    Peminat bola sepak di seluruh dunia sudah pasti mengenali nama N’golo Kante iaitu pemain skuad kebangsaan Perancis yang kini mewakili kelab Chelsea. Kante merupakan pemain bola sepak handal dunia yang mempunyai sifat rendah diri hingga menyebabkan dia begitu disayangi serta dihormati oleh peminat bola sepak. Sukar juga untuk melihat nama Kante menjadi bahan ejekan di laman media sosial

Link Shopee : https://shope.ee/2AjQfAqLJr

.

    Menerusi gaya permainannya di atas padang, Kante adalah seorang pemain tengah bertubuh kecil serba boleh yang bukan saja berkebolehan dalam merampas bola tetapi turut mempunyai kelajuan selain bijak membaca pergerakan pihak lawan. Maka tidak hairanlah dia digelar sebagai pemain tengah terbaik dalam generasinya. Namun tidak ramai yang tahu bahawa pencapaian Kante pada hari ini adalah hasil kerja kerasnya sejak dari kecil kerana dia bukan berasal daripada keluarga yang senang.

    Kante yang juga merupakan seorang muslim dilahirkan pada 29 Mac 1991 bertempat di Paris, Perancis. Ibu bapanya berasal dari negara Mali sebelum berhijrah ke Perancis pada sekitar 1980-an bagi mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Kante membesar di kawasan Rueil Malmaison yakni sebuah kota yang kecil dan padat di Paris. Sebenarnya sejak Kante dari kecil lagi, dia sudah pun mengenal erti tanggungjawab. Kante sedar bahawa keluarganya hidup dalam serba kekurangan. Disebabkan itu, dia bekerja sebagai pemungut sampah untuk membantu menyara kehidupan keluarganya. Menyedihkan, bapa Kante telah meninggal dunia sewaktu Kante berusia 11 tahun.

    Pada tahun 1998, negara Perancis telah menjadi tuan rumah untuk kejohanan bola sepak dunia. Lebih manis, skuad Perancis memenangi kejohanan tersebut buat pertama kalinya. Melihat nama pemain imigran seperti Thierry Henry dan Patrick Viera dalam skuad Perancis, Kante mula memasang impian untuk menjadi pemain bola sepak berjaya. Dia yakin impiannya itu akan tercapai dengan kerja-keras. Kante kemudian mendaftar di kelab akademi bola sepak  JS Suresnes . Pada mulanya, bakat Kante seakan tidak dipandang memandangkan dia memiliki tubuh badan kecil. Dia bagaimanapun tidak pernah berputus asa dan terus berlatih sebelum cara permainan yang dia tonjolkan di atas padang mula mendapat perhatian.


    Tahun 2012, Kante telah menyertai pasukan simpanan Bolougne sebelum berpindah ke pasukan kelab Caen, Perancis pada setahun kemudian. Seperkara harus diketahui, bekas pengurus Arsenal iaitu Arsene Wenger mendedahkan bahawa dia pernah ditawarkan untuk menandatangi Kante. Tawaran tersebut dibuat kepadanya selepas kebanyakan kelab besar Perancis menolak untuk mengambil Kante sebagai pemain mereka. Arsene Wenger yang turut memilih untuk tidak menerima tawaran berkenaan mengakui bahawa dia telah tersilap besar dengan perkara itu.


    Kante seterusnya menyertai kelab Leicester City pada musim 2015/2016. Kante yang menjadi pilihan utama Claudio Ranieri untuk mengemudi jentera tengah telah membantu Leicester City menjuarai Liga Perdana Inggeris pada musim tersebut, kejayaan yang digelar sebagai kisah dongeng dalam sejarah Liga Perdana Inggeris. Selepas kejayaannya bersama Leicester City, Kante berhijrah ke kelab Chelsea pada musim berikutnya. Musim pertamanya di Chelsea, Kante menjadi tunjang utama untuk memastikan Chelsea bergelar sebagai juara Liga Perdana Inggeris. Sepanjang tempoh kariernya bersama Chelsea hingga pada hari ini, Kante telah membantu kelab berslogan KTBFFH (Keep the Blue Flag High) itu meraih kejuaraan eropah seperti UEFA Europa League (musim 2018/2010) dan UEFA Champions League (musim 2020/2021). Rekod Kante pada peringkat skuad kebangsaan Perancis turut membanggakan kerana dia merupakan salah seorang pemain utama yang merangkul kejuaraan Piala Dunia 2018 di Rusia.

    Menariknya tentang Kante. dia memiliki sikap terpuji tidak kisah sama ada dalam atau di luar padang. Kante bukan saja seorang yang sangat merendah diri tetapi juga begitu pemalu. Jarang sekali untuk melihat dia marah apatah lagi bergaduh di atas padang biarpun dirinya dikasari. Tatkala rakan sepasukannya menari keseronokan meraikan piala kemenangan, Kante kebiasaannya hanya kelihatan bersahaja sambil tersenyum.  Kante yang sangat pemurah dengan senyuman juga dikatakan sebagai seorang dermawan. Menerusi satu wawancara rasmi Kante pada tahun 2017, dia memberitahu bahawa dirinya akan menjadi seorang akauntan terlatih sekiranya dia gagal menjadi pemain bola sepak yang berjaya. Tentang status peribadi Kante sama ada dia sudah berkahwin atau sebaliknya, perkara tersebut masih lagi dirahsiakan daripada umum.

Usia Kante kini telah pun mencecah 32 tahun yang bermaksud kariernya kini semakin berpenghujung. Apa yang pasti, dia sudah mencapai hampir segala-galanya yang diidamkan oleh kebanyakan pemain bola sepak. Saat Kante menggantung but kelak, kelibatnya di atas padang sudah pasti akan dirindui oleh para peminat bola sepak. 

Catat Ulasan for "KISAH N’GOLO KANTE : Pemungut Sampah yang Menjadi Pemain Bola Sepak Terhebat"