Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN SHEN LIJUN YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

    Pernah mendengar nama Shen Lijun iaitu seorang wanita dari negara China yang pernah digelar sebagai “Wanita Tercantik di Shanghai”? Namun dalam kehidupan manusia, tiada apa yang sempurna. Begitulah juga dengan Shen Lijun di mana pengakhiran hidupnya begitu menyedihkan selepas segala pengorbanan yang dia lakukan untuk suami tercinta langsung tidak pernah dihargai.

    Shen Lijun yang dilahirkan pada tahun tahun 1983 adalah seorang wanita berperwatakan baik dan peramah selain begitu disenangi oleh orang-orang di sekelilingnya. Selepas Shen Lijun menamatkan pelajaran di sebuah kolej vokasional, Shen Lijun yang memiliki paras rupa cantik telah menerima beberapa tawaran untuk menjadi seorang peragawati. Nama Shen Lijun semakin dikenali dalam kalangan pengguna internet pada sekitar tahun 2006 sekaligus membolehkannya dilamar oleh syarikat produksi filem untuk menjadi pelakon. Salah satu daripada tiga buah filem lakonan Shen Lijun adalah berjudul “All's Well, Ends Well 2009” yang turut dibintangi oleh aktor kacak Hong Kong, Louis Khoo.

    Diringkaskan cerita yakni pada tahun 2010, Shen Lijun telah berkenalan dengan seorang lelaki berasal dari keluarga kaya-raya yang dikenali sebagai Wu Kaixin. Tidak jelas bagaimana mereka berdua boleh berkenalan akan tetapi apa yang pasti Shen Lijun benar-benar jatuh hati kepada Wu Kaixin hingga dia yakin lelaki itu adalah lelaki yang akan menemaninya hingga pada hari tua. Setahun sesudah perkenalan tersebut, Shen Lijun dan Wu Kaixin akhirnya berkahwin. Setelah bergelar sebagai isteri pada usia 28 tahun, Shen Lijun kemudian akur untuk menjadi seorang suri rumah sepenuh masa atas permintaan suami dan ibu mentuanya. Perkara ini bermaksud Shen Lijun tidak lagi mempunyai pendapatan kukuh saat dia masih lagi berada di puncak karier sebagai pelakon.

    Nasib Shen Lijun seterusnya benar-benar menyedihkan. Baru saja berumah tangga, dia sudah pun didesak oleh ibu mentuanya supaya hamil anak lelaki untuk menyambung keturunan mereka. Malah Shen Lijun dipaksa untuk mengambil ubat-ubatan serta suntikan tertentu sebagai rawatan perubatan agar dia dapat hamil. Shen Lijun juga dikatakan pernah mengalami keguguran selama dua kali kerana keadaan kandungannya yang sangat lemah. Cuma seperkara lagi harus diketahui, Wu Kaixin turut dikesan mempunyai sperma yang lemah hasil diagnosis doktor.

    Tahun 2013, Shen Lijun akhirnya selamat melahirkan bayi lelaki. Kelahiran bayi itu sememangnya disambut dengan begitu gembira oleh Shen Lijun sekeluarga terutama ibu mentuanya. Walau bagaimanapun, kegembiraan tersebut tidak berpanjangan apabila Shen Lijun disuruh ibu mentuanya untuk mengurus anak pertamanya itu secara bersendirian tanpa bantuan sesiapapun termasuk orang gaji. Lebih malang untuk Shen Lijun apabila suaminya pula lebih gemar keluar dari rumah untuk menghabiskan masa dengan pergi berjudi selain berhibur di kelab malam.

    Tiga tahun selepas kelahiran pertama, lahirlah anak kedua Shen Lijun. Kali ini, bayi perempuan. Pada masa sama, perangai Wu Kaixin semakin menjadi-jadi. Shen Lijun masih cuba bersabar biarpun dia mendapat tentang suaminya yang telah menjalinkan hubungan sulit dengan seorang wanita juga dari keluarga kaya-raya yang bernama Luo Lili sejak dari anak pertama mereka dilahirkan. Shen Lijun pernah mengadu kepada ibu mentua mengenai kecurangan Wu Kaixin. Mengejutkan Shen Lijun, ibu mentua menyalahkan kerana dirinya kerana tidak menjaga suaminya dengan baik. Semestinya Shen Lijun pernah juga cuba menuntut cerai akan tetapi tidak dapat dipastikan secara terperinci berhubung hal penceraian itu.


    Hinggalah satu hari pada bulan September 2018, Shen Lijun telah membunuh diri dengan cara terjun dari tingkat 28 bangunan sebuah hotel. Dia yang berusia 35 tahun turut meninggalkan nota bunuh diri yang mempunyai empat helaian muka surat. Menerusi nota bunuh diri Shen Lijun itu, dia meluahkan segala perasaan atas pengkhianatan yang Wu Kaixin lakukan kepadanya. Sebenarnya banyak versi tentang pada hari kejadian Shen Lijun membunuh diri. Salah satu daripada versi tersebut, kematian Shen Lijun berlaku pada hari perkahwinan Wu Kaixin dan Luo Lili di hotel berkenaan. Malah saat Shen Lijun jatuh dari bangunan hotel itu, mayatnya disaksikan sendiri oleh Wu Kaixin dan Luo Lili yang kebetulan baru keluar berjalan berpimpin tangan dari pintu masuk utama hotel. Difahamkan Shen Lijun tekad membunuh diri atas desakan Wu Kaixin dan Luo Lili sendiri.


    Berita kematian Shen Lijun itu benar-benar mengejutkan ramai pihak terutama peminatnya. Apatah mereka sudah lama tidak mendengar khabar berita Shen Lijun yang telah menyepi selama lapan tahun. Susulan pemergian trgais Shen Lijun tersebut, Wu Kaixin dan Luo Lili menjadi mangsa kecaman ramai pihak hinggakan karier serta reputasi keluarga mereka musnah dalam sekelip mata. 

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN SHEN LIJUN YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN "