KISAH PEMBUNUHAN KEJAM YUYUN


     Kes pembunuhan dan rogol berkumpulan yang menimpa seorang remaja perempuan bernama Yuyun pada April 2016 merupakan antara jenayah paling menyayat hati yang pernah berlaku di Indonesia. Yuyun merupakan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dikenali sebagai pelajar yang sangat rajin dan berprestasi di sekolahnya, SMP Negeri 5 Padang Ulak Tanding. Dia juga digambarkan sebagai anak yang berbakti, sering membantu menguruskan kerja rumah memandangkan ibu bapa mereka, Yana dan Yakin lebih banyak menghabiskan masa bekerja di kebun yang terletak jauh dari rumah. Kawasan kediaman mereka merupakan kawasan luar bandar yang terpencil di mana tahap pendidikan dan ekonomi penduduknya agak rendah selain aktiviti meminum minuman keras tradisional seperti tuak adalah perkara yang dianggap biasa dalam kalangan pemuda di sana.


     Kejadian ini bermula pada petang Sabtu, 2 April 2016. Lazimnya, Yuyun akan pulang dari sekolah bersama kembarnya, Yayan. Namun pada hari tersebut mereka pulang berasingan kerana Yayan mempunyai urusan lain. Yuyun berjalan kaki sendirian melalui laluan sunyi di celah perkebunan getah sambil membawa bendera merah putih dan alas meja sekolah yang perlu dicuci untuk upacara hari Isnin. Tanpa disedari, sekumpulan 14 pemuda yakni tujuh daripada mereka masih di bawah umur dan ada yang merupakan senior kelas mangsa sedang berpesta tuak di laluan tersebut. Di bawah pengaruh alkohol dan nafsu, kumpulan yang diketuai oleh seorang lelaki bernama Zainal ini telah menahan dan sebelum mengheret Yuyun ke dalam semak secara paksa.

     Kejadian seterusnya sangat mengerikan. Yuyun telah diperkosa secara bergilir-gilir oleh kesemua 14 lelaki tersebut dalam keadaan tangan dan kaki terikat. Akibat tindakan ganas yang melampau, Yuyun mengalami sesak nafas yang teruk setelah mulutnya ditekup dan lehernya dicekik sehingga meninggal dunia di tempat kejadian. Walau bagaimanapun, kezaliman pelaku tidak terhenti di situ. Bagi memastikan Yuyun benar-benar sudah tidak bernyawa, dua daripada pelaku bertindak memukul kepala mangsa menggunakan kayu sehingga menyebabkan kecederaan parah dan pendarahan yang serius. Mayat mangsa kemudiannya dicampakkan ke dalam jurang sedalam lima meter lalu ditutupi dengan daun pakis untuk menyembunyikan bukti.


     Kehilangan Yuyun mula disedari oleh Yayan apabila kembarnya itu tidak muncul sehingga hari menjelang malam. Setelah pencarian dilakukan oleh penduduk kampung dan pihak berkuasa selama dua hari, mayat mangsa akhirnya ditemui pada 4 April 2016 dalam keadaan yang sangat memilukan. Mayat Yuyun berada dalam keadaan meniarap tanpa seurat benang dengan tangan masih terikat dan wajah. Kepalanya juga penuh dengan kesan lebam serta luka parah.

     Siasatan pantas pihak polis membawa kepada penangkapan kesemua 14 suspek. Kisah kematian tragis Yuyun ini telah mencetuskan kemarahan ramai penduduk Indonesia yang menuntut supaya semua pelaku dijatuhkan hukuman setimpal. Manakan tidak, semua pelaku yang berada di bawah pengaruh alkohol sewaktu kejadian dilaporkan gemar menonton video pornografi. 


     Di mahkamah, Zainal selaku perancang utama dijatuhi hukuman mati, manakala rakan-rakannya yang lain dijatuhi hukuman penjara antara 10 hingga 20 tahun mengikut tahap umur dan penglibatan masing-masing. Duka keluarga Yuyun bertambah parah apabila mereka terpaksa berpindah dari kampung halaman sendiri kerana mendapat ancaman dan pandangan sinis daripada keluarga para pelaku.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM YUYUN "