Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

LELAKI KAU, LELAKI AKU!

    Pada 9 Januari 2024 bertempat di daerah Sampang, Pulau Madura, Indonesia, seorang wanita telah mati dibunuh dengan begitu kejam oleh wanita muda yang juga merupakan jiran rumahnya. Lebih mengejutkan, wanita pembunuh itu sempat memuat naik video di laman Tik Tok seolah-olah tiada apa yang berlaku sekaligus menyebabkan kes ini menjadi tular. Jadi bagaimana kronologi penuh pembunuhan ini?

    Mangsa pembunuhan dalam kes ini dikenali sebagai Siti Maimunah yang berusia 29 tahun. Bercerita tentang waktu kejadian yakni pada jam sekitar jam 3.00 pagi, salah seorang ahli keluarga Siti Maimunah telah melihat seakan ada seseorang memasuki rumah mereka menerusi salah satu pintu. Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi bising dari dalam bilik tidur Siti Maimunah. Selepas diperiksa, keluarga Siti Maimunah terkejut bila wanita itu terbaring dalam keadaan berlumuran dengan darah. Pada masa sama, ada seseorang yang memakai tudung melarikan dari situ dengan tangannya memegang sabit. Keluarga Siti Maimunah cuba untuk mengejar orang itu akan tetapi tidak berjaya berbuat sedemikian.


    Mengenai Siti Maimunah, dia telah dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia akibat tusukan sabit di beberapa bahagian tubuh badannya. Enam hari selepas hari kejadian tersebut, pihak polis telah menemui satu petunjuk penting iaitu penemuan pakaian wanita di dalam kawasan semak samun tidak jauh dari rumah Siti Maimunah yang diyakini sebagai milik si pembunuh. Setelah pihak polis menjalankan siasatan dengan lebih lanjut menerusi pemeriksaan pada telefon milik suami Siti Maimunah yang berusia 33 tahun iaitu Pusini. Hasil pemeriksaan itu, pembunuh Siti Maimunah dikenal pasti sebagai Fitria, 23 tahun.

    Jadi, siapa Fitria? Dia adalah jiran Siti Maimunah selain bergelar sebagai bekas kekasih gelap Pusini. Mereka berdua pernah menjalinkan hubungan sulit selama dua tahun tanpa pengetahuan Siti Maimunah. Dua bulan sebelum kejadian pembunuhan Siti Maimunah, Pusini telah memutuskan hubungannya dengan Fitria. Alasan Pusini, dia ingin memulakan kehidupan baru bersama dengan Siti Maimunah di mana mereka berdua akan berhijrah untuk menjalankan perniagaan di Surabaya. Fitria bagaimanapun enggan untuk menerima hakikat perpisahan tersebut. Disebabkan itu, Fitria tekad untuk membunuh Siti Maimunah dengan menggunakan sabit milik abangnya.

    Seperkara yang harus diketahui, Fitria sempat berpura-pura sedih menangisi pemergian Siti Maimunah. Dia bahkan turut bermain Tik Tok dengan gembira. Fitria yang telah ditangkap kini bakal berdepan dengan sama ada hukuman mati atau 20 tahun penjara jika disabitkan kesalahan. 

Catat Ulasan for "LELAKI KAU, LELAKI AKU!"