Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Rumah Peti Mati: Realiti Getir di Sebalik Kemewahan Hong Kong

     Hong Kong adalah sebuah bandar raya moden dan kaya yang terkenal dengan bangunan pencakar langit megah selain mempunyai ekonomi kukuh. Namun di sebalik kemajuan tersebut, terdapat realiti yang amat menyedihkan iaitu kewujudan "coffin homes" atau dalam istilah bahasa melayunya, rumah peti mati.

     Rumah peti mati ialah unit kediaman kecil berukuran keluasan sekitar 1.5 hingga 2 meter persegi yang disewa oleh golongan berpendapatan rendah. Nama ini diberikan kerana saiznya yang hampir sama dengan peti mayat di mana penghuninya terpaksa tidur dalam keadaan sempit dan tidak selesa.  Penduduk rumah peti mati ini kebanyakannya terdiri daripada warga emas yang hidup sendirian, pekerja bergaji rendah, keluarga miskin serta imigran. Harga rumah dan sewa di bandar ini terlalu tinggi hingga menyebabkan mereka tidak mampu untuk menyewa apartmen biasa. Mereka terpaksa menyewa rumah peti mati dengan harga sekitar HK$2,500 hingga HK$4,000 sebulan (RM1,500 hingga RM2,500).

     Kehidupan di rumah peti mati ini penuh dengan kesukaran kerana kebanyakan unit tidak mempunyai pengudaraan yang baik sekaligus menyebabkan suhu di dalamnya meningkat terutama pada musim panas. Ramai penghuni terpaksa tidur dalam keadaan berhimpit dengan barang-barang mereka. Malah ada antara mereka yang tidak dapat meluruskan badan ketika berbaring. Selain itu, kawasan ini juga sering menghadapi masalah kebersihan dengan kehadiran  lipas dan tikus yang disertakan dengan bau busuk.  Keadaan ini menyumbang kepada masalah kesihatan seperti bronkitis kronik, jangkitan kulit dan gangguan pernafasan.

     Antara kisah benar yang menggambarkan penderitaan tinggal di dalam peti mati ini adalah kisah seorang warga emas bernama Lau Wai-ming. Lelaki berusia 68 tahun ini tinggal sendirian dalam rumah peti mati di Mong Kok yang hanya dilengkapi dengan sebuah katil kecil, satu kipas dan beberapa beg pakaian. Disebabkan biliknya terlalu panas dan sesak, dia lebih banyak menghabiskan masa berjalan di luar. Selain itu, terdapat juga sebuah keluarga bernama Ng yang terdiri daripada suami isteri serta 0dua orang anak kecil. Bayangkan, mereka terpaksa tinggal dalam ruang 6 meter persegi. Anak-anak mereka langsung tidak mempunyai ruang untuk bermain atau belajar dengan selesa. Akibatnya, perkembangan dan kesihatan mental mereka turut terjejas.

     Masalah rumah peti mati ini berpunca daripada harga hartanah yang melampau, kekurangan tanah serta kelemahan dalam perancangan perumahan mampu milik oleh kerajaan. Hong Kong mempunyai harga rumah paling mahal di dunia. Mengikut kiraan kasar,  seseorang perlu bekerja lebih 20 tahun tanpa menggunakan gajinya langsung untuk mampu membeli sebuah apartmen di Hong Kong. Kerajaan Hong Kong lebih mengutamakan pembangunan kondominium mewah yang hanya mampu dimiliki oleh golongan kaya sekaligus menyebabkan rakyat biasa tidak mempunyai pilihan selain menyewa unit kecil.

     Dari segi kesan sosial, kehidupan dalam rumah peti mati memberikan tekanan psikologi yang besar kepada penghuninya. Rasa terperangkap, kemurungan, dan kesunyian adalah perkara biasa yang dialami oleh mereka. Kanak-kanak yang membesar dalam keadaan ini sering mengalami gangguan emosi dan kurang motivasi dalam pelajaran. Bagi warga emas pula, mereka hidup dalam kesunyian melampau tanpa sokongan keluarga. 

     Kerajaan Hong Kong sebenarnya telah berusaha menangani masalah ini dengan membina lebih banyak rumah mampu milik serta memberikan subsidi sewa kepada golongan miskin akan tetapi  langkah-langkah ini masih belum mencukupi kerana pembinaan rumah baru mengambil masa yang lama sedangkan permintaan semakin meningkat setiap tahun. Beberapa NGO juga turut membantu dengan menyediakan perumahan sementara yang lebih baik tetapi jumlah unit yang ada masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan semua penduduk miskin di bandar ini.

Catat Ulasan for "Rumah Peti Mati: Realiti Getir di Sebalik Kemewahan Hong Kong"