Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH LISA LI : Pempengaruh Cantik yang Sebenarnya Seorang Pengotor

     Lisa Li merupakan salah seorang pempengaruh media sosial paling popular di China yang pernah menjadi tumpuan pada tahun 2019 selepas terpalit dalam satu kontroversi besar yang membuka mata ramai tentang realiti di sebalik dunia glamor media sosial. Sebelum tercetusnya insiden tersebut, Lisa Li dikenali sebagai seorang pempengaruh yang mempunyai lebih daripada 1.1 juta pengikut di platform Weibo, salah satu laman media sosial terbesar di China. 

     Lisa sering memuat naik gambar dan video yang memaparkan kehidupan mewah seperti melancong ke luar negara, menghadiri acara eksklusif, makan di restoran terkenal serta mengenakan pakaian berjenama mahal. Memiliki rupa paras menarik dan personaliti yang ceria, Lisa Li berjaya mencipta imej sebagai simbol gaya hidup moden dan berjaya di mana ramai pengikutnya menjadikannya sebagai inspirasi untuk mencapai kehidupan serupa.


     Namun pada bulan September 2019, reputasi Lisa Li mula tercalar apabila sebuah video tular menunjukkan keadaan apartmen sewanya di bandar Xi’an, wilayah Shaanxi berada dalam keadaan menjijikkan dan sangat kotor. Video itu dimuat naik oleh pemilik rumahnya sendiri yang berang kerana keadaan apartmen tersebut tidak mencerminkan imej seorang selebriti internet yang terkenal dengan gaya hidup serba indah. Dalam rakaman yang dikongsi di media sosial China, kelihatan lantai apartmen dipenuhi timbunan sampah, makanan reput, najis anjing, sisa makanan berkulat serta bau busuk yang menyengat. Pemilik rumah mendakwa Lisa Li telah meninggalkan rumah tersebut tanpa membersihkannya terlebih dahulu selain masih berhutang bil utiliti sebanyak hampir 3000 yuan (sekitar RM1800).

     Pendedahan itu mengejutkan para pengikut Lisa kerana ia amat bertentangan dengan imej sempurna yang sering dipaparkannya di media sosial. Ramai netizen berasa tertipu setelah melihat perbezaan ketara antara gaya hidup yang dikongsi dalam talian dengan keadaan sebenar di belakang tabir. Imej pempengaruh sempurna yang dibina dengan begitu teliti musnah sekelip mata. Dalam tempoh singkat, nama Lisa menjadi trending di Weibo dengan pelbagai hashtag yang memperkatakan tentang isu tersebut. Ratusan ribu pengguna media sosial mengecam tindakan Lisa dengan ada yang menganggapnya sebagai penipu maya yang hanya pandai berpura-pura demi mengejar populariti dan keuntungan komersial.


     Selepas video itu mendapat perhatian meluas, Lisa tampil membuat permohonan maaf secara terbuka. Dalam kenyataannya di Weibo,dia mengaku cuai dan bertanggungjawab sepenuhnya atas kekotoran apartmen tersebut. Lisa juga dilaporkan kembali ke rumah sewa itu untuk membersihkannya sendiri bersama bantuan beberapa pekerja kebersihan. Pemilik rumah akhirnya memaafkan beliau tetapi reputasi Lisa sukar dipulihkan. Ramai pengikutnya berhenti mengikuti akaunnya dan beberapa jenama yang pernah menaja atau berkolaborasi dengannya dilaporkan menarik diri daripada sebarang bentuk kerjasama. Dalam industri media sosial China yang amat kompetitif, kehilangan kredibiliti bermaksud kehilangan sumber pendapatan dan kepercayaan, sesuatu yang sukar diperoleh semula.

Catat Ulasan for "KISAH LISA LI : Pempengaruh Cantik yang Sebenarnya Seorang Pengotor "