Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Terbongkar Selepas 21 Tahun: Misteri Kehilangan Bonnie Haim


     Pada 6 Januari 1993, seorang wanita bernama Bonnie, yang berusia 23 tahun ketika itu dilaporkan hilang Jacksonville, Florida, Amerika Syaraikat. Suaminya iaitu Michael Hakm mendakwa bahawa Bonnie telah keluar dari rumah mereka selepas berlakunya pertengkaran antara pasangan tersebut. Kereta Bonnie kemudian telah ditemui berhampiran dengan lapangan terbang Jacksonville tetapi tiada sebarang tanda keberadaannya di situ. 

     Pihak berkuasa pada mulanya memang mengesyaki Michael kerana terdapat beberapa bukti mencurigakan seperti penggunaan kad kredit milik Bonnie selepas kehilangannya tetapi dalam cara yang kelihatan disengajakan untuk mengelirukan siasatan. Rakan-rakan Bonnie mendakwa tentang Bonnie yang mahu meninggalkan Michael di mana dia ada menyimpan sejumlah wang dalam akaun bank rahsia. Wang tersebut bagaimanapun tiba-tiba hilang sebelum kehilangannya. Tanpa penemuan mayat dan bukti kukuh, kes ini seterusnya menjadi dingin selama bertahun-tahun.


     Seperkara harus diketahui yakni sewaktu kes masih dalam siasatan, anak pasangan berkenaan iaitu Aaron Haim yang berusia tiga tahun pada waktu kejadian telah menjadi salah seorang saksi penting. Dalam sesi bersama pekerja sosial dan pegawai penyiasat, Aaron secara spontan berkata, "Daddy hurt Mommy" dan "Mommy is in the pool." Kenyataannya ini menimbulkan kecurigaan terhadap Michael Haim. Walau bagaimanapun, keterangan Aaron ini tidak diambil serius oleh pihak berkuasa selain mereka menghadapi kesukaran untuk menggunakan keterangan kanak-kanak sekecil itu sebagai bukti kukuh dalam pendakwaan. Pada masa sama, Aaron turut menunjukkan tingkah laku yang menimbulkan kebimbangan seperti ketakutan yang luar biasa terhadap bapanya dan enggan menyebut namanya. Malah dia dikatakan beberapa kali menggambarkan situasi di mana ibunya disakiti oleh bapanya. Tanpa bukti fizikal seperti mayat atau senjata pembunuhan, keterangan Aaron tersebut dianggap tidak mencukupi untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Michael ketika itu.

     Lebih menyedihkan adalah hak penjagaan Aaron telah ditelakkan di bawah jagaan keluarga bapanya selepas dia kehilangan ibunya. Bertahun-tahun kemudian, apabila dia sudah dewasa, Aaron terus mempercayai bahawa bapanya bertanggungjawab atas kematian ibunya dan dia tidak pernah berputus asa untuk mencari jawapan. 


     Kes kehilangan Bonnie ini telah mengalami kebuntuan selama lebih dua dekad tanpa sebarang perkembangan. Hinggalah pada tahun 2014, satu penemuan mengejutkan akhirnya merungkai misteri kehilangan Bonnie. Rumah yang pernah didiami oleh keluarga Michael telah dijual kepada pemilik baharu yang kemudian melakukan kerja-kerja pengubahsuaian di halaman belakang. Ketika menggali tanah berhampiran dengan kawasan kolam renang, mereka menemui sesuatu yang tidak dijangka sama sekali iaitu sisa-sisa rangka manusia yang tertanam di bawah tanah! 


    Terkejut dengan penemuan tersebut, pemilik rumah segera menghubungi pihak berkuasa. Pasukan forensik dihantar ke lokasi untuk menggali dan menganalisis rangka tersebut. Pemeriksaan awal mendapati bahawa tulang-tulang itu telah tertanam dalam tempoh yang lama dan lokasi penemuannya seolah-olah menunjukkan ia telah disembunyikan dengan sengaja. Menerusi ujian DNA, pakar forensik akhirnya mengesahkan bahawa rangka yang ditemui tersebut adalah milik Bonnie Haim, wanita yang telah dilaporkan hilang sejak tahun 1993. Ini merupakan perkembangan yang sangat penting dalam kes tersebut kerana buat pertama kalinya, mayat Bonnie ditemui setelah lebih 20 tahun misteri kehilangannya tidak terjawab.

     Lebih mengejutkan, ketika pemeriksaan lebih lanjut dilakukan ke atas rangka tersebut, penyiasat menemui bukti peluru yang tertanam di kawasan tengkoraknya. Jadi sah Bonnie sebelum ini tidak pernah meninggalkan rumah seperti yang didakwa oleh Michael. Dia sebaliknya telah dibunuh secara kejam. Cara peluru itu tertanam juga menunjukkan bahawa tembakan dilepaskan dari jarak dekat. Maka jelas pembunuhan ini berlaku dalam keadaan yang disengajakan.


     Dengan penemuan ini, pihak berkuasa akhirnya mempunyai bukti kukuh untuk mengaitkan Michael dengan pembunuhan isterinya. Selepas penemuan ra rangka itu, Michael akhirnya ditangkap pada 2015 lalu didakwa atas tuduhan membunuh isterinya. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes tahun 2019, Michael yang didapati bersalah telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Catat Ulasan for "Terbongkar Selepas 21 Tahun: Misteri Kehilangan Bonnie Haim"