Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Misteri Kehilangan Evelyn Terungkai: Ibu Sendiri Dalang Pembunuhan

     Pada bulan Disember 2019, seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 bulan bernama Evelyn Boswell hilang tanpa sebarang laporan rasmi daripada ibunya iaitu Megan Boswell. Evelyn dikatakan hilang sejak Disember akan tetapi laporan rasmi kehilangan itu hanya dibuat pada bulan Februari 2020 oleh datuk Evelyn, Tommy Boswell Sr. Susulan laporan tersebut, pihak berkuasa terus  mengeluarkan Amaran AMBER bagi mengesan Evelyn. 

    Evelyn yang dilahirkan pada tahun 2018 merupakan anak kepada pasangan Megan Boswell dan Ethan Perry. Bercerita tentang Megan, dia yang berusia 19 tahun semasa kehilangan Evelyn diketahui mempunyai latar belakang yang bermasalah termasuk hubungan yang tidak stabil dengan keluarga. Beberapa laporan menyatakan bahawa Megan menghadapi masalah kewangan dan peribadi serius yang mungkin membebankan emosinya. Pada masa sama, dia juga mempunyai sejarah hubungan yang bermasalah dan sering berpindah tempat tinggal. 

     Berbalik kepada cerita kehilangan Evelyn, Megan telah memberikan kenyataan yang bercanggah dan mengelirukan kepada polis sejak dari awal lagi. Pada satu ketika, dia mendakwa bahawa Evelyn bersama seorang pengasuh tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut kerana bimbang individu itu akan melarikan diri dengan anaknya. Pihak berkuasa mula curiga dengan tindakannya selain terus menjejaki keberadaan Evelyn. Hinggalah pada 6 Mac 2020 yakni dua bulan selepas kehilangan Evelyn, Megan memberitahu pihak berkuasa bahawa Evelyn telah meninggal dunia sebelum mencadangkan pemeriksaan dibuat di rumah bapanya. Berdasarkan maklumat ini, pihak berkuasa menjalankan pencarian di lokasi tersebut dan menemui mayat Evelyn yang berada di dalam tong sampah yang ditanam di bawah bangsal. Mayat Evelyn ditemui dalam keadaan sangat menyedihkan di mana mayatnya yang telah mereput dibalut dengan lapisan aluminium foil dan plastik yang mungkin digunakan untuk cuba menyembunyikan mayatnya. Laporan autopsi mengesahkan punca kematian Evelyn sebagai asfiksia akibat kekerasan sekaligus diklasifikasikan sebagai pembunuhan.

     Penemuan mayat Evelyn ini kemudian membawa kepada penahanan Megan Boswell. Dia seterusnya didakwa dengan 19 pertuduhan jenayah termasuk pertuduhan pembunuhan tahap pertama, penderaan kanak-kanak dan pengabaian kanak-kanak. Kes ini menjadi perbicaraan panjang yang ditangguhkan beberapa kali sebelum akhirnya dijadualkan bermula pada Februari 2025.

     Dalam perbicaraan yang berlangsung selama enam hari, pihak pendakwaan membentangkan pelbagai bukti fizikal yang kukuh bagi mengukuhkan kes mereka terhadap Megan. Salah satu bukti utama ialah tong sampah di tempat mayat Evelyn ditemui. Pihak pendakwaan turut memaparkan gambar dan rakaman video daripada lokasi kejadian bagi memberikan gambaran jelas tentang bagaimana mayat Evelyn disembunyikan dengan sengaja.

     Juri juga dipertontonkan rakaman wawancara bersama Megan. Dalam video tersebut, dia memberikan pelbagai kenyataan bercanggah dan mengelirukan pihak berkuasa selain beberapa kali mengubah ceritanya. Ini termasuklah dakwaan tentang Evelyn dijaga oleh seorang pengasuh yang tidak wujud dan kemudian mengatakan bahawa anaknya telah diberikan kepada individu lain. Pihak pendakwaan menekankan bagaimana pembohongan berulang kali ini menunjukkan niat Megan untuk mengaburi siasatan serta menyembunyikan apa yang sebenarnya berlaku kepada Evelyn. Datuk Evelyn, Tommy Boswell Sr., turut dipanggil sebagai saksi penting dalam kes ini. Dalam keterangannya, Tommy menjelaskan bagaimana dia semakin curiga dengan tingkah laku Megan yang tidak memberikan jawapan jelas tentang keberadaan Evelyn. Tommy juga menjelaskan bahawa dia tidak pernah melihat cucunya selama beberapa bulan sebelum akhirnya membuat laporan polis pada Februari 2020. Keterangan Tommy membantu pihak pendakwaan membuktikan bahawa kehilangan Evelyn tidak pernah dilaporkan oleh ibunya dan hanya diketahui selepas ahli keluarga lain mula mempertikaikan keadaan. Pakar forensik yang dipanggil ke mahkamah turut memberikan keterangan yang mengukuhkan kes pihak pendakwaan. Berdasarkan analisis forensik, mayat Evelyn sudah dalam keadaan mereput ketika ditemui tetapi pemeriksaan menunjukkan tiada kecederaan luaran yang ketara. Pakar forensik turut menjelaskan bahawa Evelyn berkemungkinan masih hidup ketika dimasukkan ke dalam tong sampah tersebut. Selain itu, pihak pendakwaan membentangkan bukti digital seperti rekod telefon Megan yang menunjukkan pergerakannya dan komunikasi yang mencurigakan sesudah kehilangan Evelyn. Bukti ini digunakan untuk membuktikan bahawa Megan bukan sahaja menyembunyikan kebenaran tetapi juga berusaha untuk menghapus jejaknya. 

     Sehingga kini, motif sebenar di sebalik tindakan Megan membunuh Evelyn tidak diketahui secara jelas. Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan tidak dapat memberikan penjelasan yang konkrit mengenai alasan Megan melakukan perbuatan tersebut. Megan sendiri tidak memberikan keterangan di mahkamah dan peguamnya yang dikenali sebagai Gene Scott, menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat kerana mereka percaya pihak pendakwaan tidak memenuhi beban pembuktian yang diperlukan. 

     Soal perbicaraan kes, pada 13 Februari 2025, juri mendapati Megan bersalah atas semua 19 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya termasuk tiga pertuduhan pembunuhan tahap pertama. Selepas keputusan itu dibuat, Megan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa sebarang kemungkinan parol. 

Catat Ulasan for "Misteri Kehilangan Evelyn Terungkai: Ibu Sendiri Dalang Pembunuhan"