Satu Kesilapan, Seumur Hidup Derita: Kisah Jacqueline Saburido

Jacqueline Saburido dilahirkan pada 20 Disember 1978 di Caracas, Venezuela. Dia merupakan seorang pelajar kejuruteraan industri yang bercita-cita untuk mengambil alih perniagaan bapanya. Sewaktu Jacqeline usia 20 tahun, dia telah berhijrah ke Texas, Amerika Syarikat untuk mempelajari bahasa Inggeris.
Diringkaskan cerita yakni pada malam 19 September 1999, Jacqueline yang ketika itu berusia 20 tahun telah meluangkan masa bersama rakan-rakannya di sebuah majlis ulang tahun di Austin, Texas. Selesai saja majlis, Jacqueline bersama dengan empat orang lagi rakannya pun pulang ke rumah dengan menaiki kereta. Pada masa yang sama, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun iaitu Reggie Stephen sedang memandu dari arah bertentangan dalam keadaannya mabuk.
Semasa menghampiri selekoh di lebuh raya, kereta yang dipandu Reggie hilang kawalan sebelum memasuki lorong bertentangan lalu merempuh kereta yang dinaiki Jacqueline dan rakan-rakannya. Rempuhan tersebut telah mengakibatkan hentaman yang sangat kuat sehingga kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk. Perlanggaran itu menyebabkan dua orang rakan Jacqueline yang duduk di bahagian hadapan maut serta-merta di lokasi kejadian. Jacqueline yang duduk di bahagian belakang terperangkap di dalam kereta yang mula terbakar. Pasukan penyelamat segera dikejarkan ke lokasi setelah menerima panggilan kecemasan. Seorang lagi rakan Jacqueline yang turut berada dalam kereta itu berjaya diselamatkan. Sementara itu, keadaan yang begitu teruk telah menyukarkan usaha pasukan penyelamat untuk mengeluarkan Jacqueline dengan cepat. Mereka terpaksa menggunakan alat khas untuk memotong serpihan logam yang telah memerangkap tubuh Jacqueline.

Dalam tempoh hampir satu jam, Jacqueline terpaksa menanggung kesakitan. Suhu yang tinggi membakar kulitnya secara perlahan-lahan. Apabila pasukan penyelamat berjaya menarik Jacqueline keluar, 60% tubuhnya telah melecur teruk termasuk di bahagian muka, tangan dan rambutnya. Jacqueline kemudian melalui lebih daripada 100 pembedahan seperti pembedahan kulit, pemindahan tisu dan usaha rekonstruksi wajah. Dia kehilangan jari-jarinya selain menjadi buta sebelah mata dan mengalami kesakitan berterusan sepanjang hayatnya.
Betapa kuat dan tabahnya Jacqueline selepas kejadian ngeri tersebut apabila dia sanggup menjadi duta utama untuk kempen kesedaran bahaya memandu dalam keadaan mabuk yang dianjurkan oleh pelbagai organisasi. Salah satu kempen terbesar yang melibatkannya ialah "Faces of Drunk Driving" di mana gambarnya sebelum dan selepas kemalangan digunakan secara meluas dalam poster, iklan televisyen dan risalah sebagai peringatan kepada masyarakat. Selain itu, Jacqueline juga tampil dalam iklan perkhidmatan awam yang disiarkan di seluruh Amerika Syarikat. Dalam iklan-iklan tersebut, dia berkongsi kisah hidupnya dan memberi mesej yang mendalam tentang betapa bahayanya pemanduan semasa mabuk.

Tentang Reggie, dia dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pemanduan dalam keadaan mabuk yang menyebabkan kematian dan kecederaan serius. Semasa perbicaraan, pihak pendakwaan menekankan bahawa Reggie membuat keputusan yang tidak bertanggungjawab dengan memandu selepas meminum alkohol. Walaupun dia tidak mempunyai niat untuk membahayakan sesiapa, tindakannya telah menyebabkan dua orang terbunuh serta meninggalkan Jacqueline dalam keadaan yang menyayat hati. Pada tahun 2001, dua tahun selepas kejadian, Reggie dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun dan didenda sebanyak $20,000. Semasa berada dalam penjara, Reggie dikatakan benar-benar menyesali perbuatannya dan berharap dapat mengubah apa yang telah berlaku. Apabila diberi peluang untuk menyertai kempen kesedaran mengenai bahayanya pemanduan dalam keadaan mabuk, Reggie tidak teragak-agak untuk mengambil bahagian. Salah satu detik paling beremosi dalam hidupnya ialah apabila dia bertemu semula dengan Jacqueline dalam kempen kesedaran tersebut. Malah lebih menyentuh apabila Jacqueline tidak menunjukkan kebencian terhadap Reggie. Reggie dan Jacqueline akhirnya muncul bersama dalam beberapa sesi ceramah kesedaran.

Hingga akhir hayatnya, Jacqueline terus berkempen tanpa mengenal erti penat. Dia bagaimanapun meninggal dunia pada 20 April 2019 akibat penyakit kanser. Walaupun dia sudah tiada, kisahnya meningkatkan kesedaran tentang bahayanya mabuk alkohol ketika memandu.
Catat Ulasan for "Satu Kesilapan, Seumur Hidup Derita: Kisah Jacqueline Saburido"