Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Insiden Kebakaran Hongje-dong: Pengorbanan Hero Sejati dan Inspirasi Filem Firefighters


     Pada 9 April 2001, satu insiden kebakaran telah berlaku di kawasan Hongje-dong, Seoul, Korea Selatan hingga mengorbankan tujuh nyawa. Kebakaran ini berpunca daripada perbuatan seorang lelaki ikenali sebagai Choi yang ingin membalas dendam terhadap keluarganya.

     Bercerita tentang Choi yang berusia 33 tahun ketika itu, dia merupakan anak kepada pemilik bangunan tersebut. Difahamkan dia membakar bangunan tersebut akibat tekanan masalah kewangan. Choi sebelum itu juga telah bertengkar dengan keluarganya sendiri di mana punca pertengkaran mempunyai kaitan dengan masalah hartanah. Choi yang berasa langsung tidak dihargai dan tertekan dengan masalah tersebut bertindak membakar bangunan itu. Kebakaran tersebut menyebabkan api marak ke seluruh bangunan hingga menyebabkan penghuni bangunan dan beberapa anggota bomba terperangkap.

Seramai tujuh orang terkorban telah dalam kebakaran yang mengerikan ini. Enam daripada mereka adalah  anggota bomba yang dikenal pasti sebagai Choi Jong-Ho, Kim Hae-II, Park Kwang-Soo, Joo Joo-Hwan, Lee Gyeong-Hwan dan Kim Yung-Hyun. Keenam-enam mereka maut akibat ketika sedang berusaha memadamkan api dan menyelamatkan mangsa-mangsa yang terperangkap. Dalam usaha mereka untuk menyelamatkan nyawa orang awam itu, mereka tidak sempat melarikan diri dari bahaya serta mengalami kecederaan parah akibat runtuhan bangunan dan terhidu gas beracun. Mangsa ketujuh pula adalah salah seorang penghuni bangunan akan tetapi identiti mangsa ini tidak didedahkan.

     Sementara itu, pelaku kebakaran, Choi, berjaya melarikan diri semasa kebakaran tersebut berlaku.  Namun setelah api reda dan keadaan mula terkawal, pihak berkuasa yang menjalankan siasatan secara terperinci akhirnya dapat mengenal pasti pelaku kebakaran itu. Mereka meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekitar kawasan kejadian dan menemui bukti-bukti yang mengaitkan Choi dengan insiden tersebut. Setelah beberapa hari dalam buruan, Choi akhirnya berjaya ditahan oleh pihak polis.

     Setelah penangkapannya, Choi dibawa ke mahkamah di mana dia dihadapkan dengan pelbagai tuduhan, termasuk membunuh dan menyebabkan kecederaan terhadap orang awam dan anggota bomba. Semasa perbicaraan, dia mengaku bertanggungjawab atas kebakaran tersebut. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Choi sebagai respons terhadap perbuatan khianat yang dia lakukan.

     Selepas kejadian ini, kerajaan Korea Selatan telah memperkenalkan penambahbaikan dalam peraturan keselamatan bangunan dan meningkatkan latihan serta peralatan bagi anggota bomba. Antara perubahan utama adalah undang-undang mengenai struktur bangunan terutamanya dalam memastikan bangunan tinggi dilengkapi dengan sistem pemadam kebakaran yang lebih baik dan laluan kecemasan yang lebih selamat.

     Filem "Firefighters" yang diterbitkan pada tahun 2024 adalah penghormatan tinggi terhadap pengorbanan anggota bomba dan tragedi yang berlaku di Hongje-dong. Filem ini mengangkat kisah tragis ini dan memberi inspirasi kepada generasi baru untuk menghargai jasa-jasa mereka yang berada di barisan hadapan dalam menjaga keselamatan awam.

Catat Ulasan for "Insiden Kebakaran Hongje-dong: Pengorbanan Hero Sejati dan Inspirasi Filem Firefighters"