Kisah Kematian Martha McKay yang Benar-Benar Menyedihkan

Martha McKay dilahirkan dalam keluarga yang terkenal dan dihormati di Horseshoe Lake, Arkansas, Amerika Syarikat. Keluarganya memiliki Snowden House, sebuah rumah agam lama yang indah dan penuh sejarah. Rumah itu telah dimiliki keluarga Martha sejak generasi terdahulu dan menjadi simbol kekayaan serta warisan keluarga Snowden di kawasan tersebut. Rumah ini juga menjadi tempat berkumpul untuk ahli keluarga dan tetamu istimewa selama bertahun-tahun.
Sebuah tragedi besar bagaimanapun berlaku pada tahun 1996. Pada suatu malam, ibu Martha iaitu Sally Snowden McKay dan sepupunya, Joseph "Lee" Baker yang juga merupakan seorang pemain gitar blues terkenal dari Memphis telah dibunuh di dalam rumah itu. Mereka ditembak secara kejam. Suspek pembunuhan itu ialah Travis Lewis, seorang remaja berusia 16 tahun yang tinggal di kawasan yang sama dan mengenali keluarga Martha. Menurut pihak berkuasa, Travis cuba merompak rumah tersebut dan apabila kehadirannya disedari, dia bertindak membunuh Sally dan Joseph.

Travis ditangkap dan mengaku bersalah atas dua pertuduhan membunuh. Disebabkan Travis masih di bawah umur ketika melakukan jenayah, dia tidak dihukum mati tetapi dijatuhi hukuman penjara selama 28 tahun. Kes ini mengejutkan komuniti tempatan kerana Travis dikenali sebagai remaja biasa dan tidak menunjukkan tanda-tanda ganas sebelum ini.
Selepas kematian ibunya, Martha meninggalkan Horseshoe Lake untuk beberapa tahun. Walau bagaimanapun, kenangan terhadap rumah lamanya dan ikatan dengan keluarga membuatkan dia kembali ke Snowden House sekitar tahun 2004. Ketika itu, dia membuat keputusan untuk membaik pulih rumah tersebut dan menjadikannya sebuah rumah inap mewah untuk pelancong. Martha juga menjalani kehidupan yang sederhana walaupun memiliki harta yang banyak. Dia seorang penganut ajaran Buddha dan sangat percaya pada konsep kemaafan dan peluang kedua.

Jadi Martha mula berhubung dengan Travis semasa lelaki itu masih dalam penjara. Dia percaya bahawa Travis telah berubah. Dalam surat-menyurat dan panggilan telefon, Travis telah menunjukkan penyesalan dan rasa bersalah atas apa yang telah dilakukan. Martha mempercayainya. Lebih mengejutkan, apabila Travis dibebaskan bersyarat pada tahun 2018, Martha bukan sahaja menyambutnya kembali malah memberinya peluang untuk bekerja dan membantu di Snowden House. Ramai rakan Martha bimbang dengan keputusannya tetapi dia tetap dengan pendiriannya bahawa setiap orang boleh berubah.
Sangkaan Martha ternyata salah kerana pada 25 Mac 2020, pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan daripada rumah Snowden House. Seorang pekerja yang datang ke rumah itu menemui keadaan yang mencurigakan dan segera menghubungi polis. Apabila polis tiba, mereka menemui mayat Martha McKay di tangga rumah tersebut. Dia dibunuh dan tubuhnya dibalut dengan selimut. Berdasarkan penyiasatan awal dan rakaman CCTV, polis mendapati Travis Lewis telah masuk ke rumah itu dan membunuh Martha, wanita yang telah memaafkannya dan membantunya membina semula kehidupan. Selepas membunuh Martha, Travis melarikan diri ke kawasan tasik berhampiran. Dia cuba melompat ke dalam bot untuk melarikan diri tetapi bot itu terbalik. Travis kemudiannya berenang ke tengah tasik dan akhirnya tenggelam. Mayatnya ditemui beberapa jam kemudian di dasar tasik Horseshoe.

Kematian Martha mengejutkan ramai orang termasuk komuniti yang mengenali keluarganya. Ramai yang memuji sifat pemaaf Martha tetapi pada masa yang sama, mereka berasa marah dan kecewa kerana kepercayaannya telah dikhianati. Seorang wanita yang sanggup memaafkan pembunuh ibunya dan memberi peluang kedua kepada lelaki itu akhirnya dibunuh oleh orang yang sama.
Catat Ulasan for "Kisah Kematian Martha McKay yang Benar-Benar Menyedihkan"