Kisah di sebalik Gambar The vulture and the little girl yang Benar-Benar Menyedihkan

Tahun 1993 menjadi detik penting dalam sejarah kewartawanan dunia apabila sebuah gambar yang merakamkan penderitaan seorang kanak-kanak Afrika menjadi perhatian seluruh dunia. Gambar itu ialah satu simbol penderitaan manusia yang membuat ramai berfikir tentang krisis kemanusiaan, tanggungjawab moral dan beban yang dipikul oleh mereka yang menyaksikan penderitaan itu dari jarak dekat. Di sebalik gambar ini, berdirilah seorang jurufoto bernama Kevin Carter, lelaki yang berjaya merakam satu detik yang menyayat hati tetapi akhirnya tewas dalam pergolakan emosinya sendiri.
Kevin Carter ialah seorang jurufoto kelahiran Afrika Selatan yang terkenal dengan liputan bergambarnya di kawasan bergolak dan penuh konflik. Dia merupakan salah seorang anggota “The Bang-Bang Club”, kumpulan jurufoto yang merakam keganasan apartheid di Afrika Selatan. Pada tahun 1993, Carter ditugaskan ke Sudan, sebuah negara di Afrika Timur yang sedang dilanda kebuluran teruk akibat perang saudara. Ribuan orang mati akibat kekurangan makanan, penyakit dan pelarian yang tiada tempat perlindungan.
Semasa berada di kawasan kampung bernama Ayod, Carter melihat satu pemandangan yang menyentap hatinya. Seorang kanak-kanak yang sangat kurus, hanya tinggal rangka, sedang merangkak perlahan di atas tanah menuju ke pusat bantuan makanan. Jelas kelihatan bahawa dia terlalu lemah untuk berdiri. Lebih mengejutkan, seekor burung hering besar berada di belakangnya seolah-olah sedang menunggu kematiannya. Carter yang menyaksikan situasi itu mengambil gambar tanpa mengganggu keadaan kerana sebagai jurufoto dia diajar untuk menjadi pemerhati, bukan pelaku. Dia berharap burung itu akan membuka sayap agar gambarnya menjadi lebih "kuat", tetapi ia tidak berlaku. Selepas beberapa minit, Carter menghalau burung itu dan duduk menangis sendirian di bawah pokok.
Apabila gambar itu disiarkan oleh The New York Times pada 26 Mac 1993, dunia terkejut. Gambar itu dinamakan “The Vulture and the Little Girl” walaupun kemudian diketahui bahawa kanak-kanak itu sebenarnya seorang budak lelaki. Reaksi daripada orang ramai bercampur-campur. Ramai yang tersentuh dan mula menyumbang kepada usaha bantuan kemanusiaan tetapi ramai juga yang mengecam Carter. Mereka bertanya: “Kenapa dia tidak membantu budak itu?” dan “Bagaimana seorang manusia sanggup merakam gambar begitu tanpa berbuat apa-apa?”

Gambar tersebut memenangi Hadiah Pulitzer untuk Foto Berita Cemerlang pada tahun 1994. Walau bagaimanapun, kemenangan itu tidak membawa kebahagiaan kepada Kevin Carter. Dia sebaliknya mula dilanda tekanan emosi yang semakin berat. Sepanjang kerjayanya, Carter telah menyaksikan banyak kematian, penderitaan dan kekejaman manusia. Semua itu menghantui fikirannya. Dia mengalami kemurungan yang teruk dan gambar burung hering itu menjadi simbol beban mental yang paling berat dalam hidupnya.
Pada 27 Julai 1994 yakni hanya beberapa bulan selepas menerima anugerah Pulitzer, Kevin Carter membunuh diri. Dia memandu ke sebuah kawasan terpencil di Johannesburg dan menyedut asap ekzos keretanya sehingga mati. Dalam nota terakhir yang ditinggalkan, Carter menulis:
“Saya dihantui oleh kenangan pembunuhan dan mayat dan kemarahan dan kesakitan... kanak-kanak yang kebuluran dan cedera... Saya pergi untuk menyertai Ken, jika saya bernasib baik.”
(Nota: “Ken” merujuk kepada rakan baiknya, Ken Oosterbroek, seorang jurufoto lain yang terbunuh dalam satu insiden tembakan semasa membuat liputan.)
Apa yang lebih menyedihkan, ramai masih tertanya-tanya tentang nasib sebenar kanak-kanak dalam gambar itu. Bertahun-tahun kemudian, seorang wartawan dan jurufoto dari agensi berita lain berjaya menjejaki maklumat asal budak tersebut. Nama sebenarnya ialah Kong Nyong, seorang budak lelaki dari suku Dinka. Dia bukan yatim piatu dan ketika gambar itu diambil, ibu bapanya berada di pusat bantuan makanan tidak jauh dari situ. Dia dipercayai hanya berhenti rehat seketika ketika dalam perjalanan bersama keluarganya. Kong Nyong dilaporkan selamat dan membesar di Sudan tetapi akhirnya meninggal dunia sekitar tahun 2006 akibat demam. Berita ini memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang selama ini menyangka budak dalam gambar itu mati kebuluran atau dimakan burung hering.
Kematian Kevin Carter sememangnya mengundang pelbagai reaksi. Ada yang bersimpati dan menganggap dia sebagai mangsa kepada beban kerja dan tekanan psikologi. Ada juga yang terus mengkritiknya kerana tidak membantu kanak-kanak itu. Kisah ini membuka perbincangan yang sangat penting tentang etika kewartawanan terutama dalam situasi konflik dan bencana. Seorang jurufoto ditugaskan untuk merakam realiti, tetapi adakah dia patut kekal sebagai pemerhati semata-mata jika ada peluang untuk menyelamatkan nyawa?
Catat Ulasan for "Kisah di sebalik Gambar The vulture and the little girl yang Benar-Benar Menyedihkan"