Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Jade Janks: Pembunuhan Bekas Bapa Tiri Selepas Penemuan Foto Bogel Sendiri

.
     Pada penghujung tahun 2020, satu kes pembunuhan di California menjadi perhatian kerana kisahnya mengandungi elemen yang sangat peribadi iaitu pelanggaran maruah seorang wanita yang akhirnya membawa kepada kematianDi tengah-tengah kisah ini ialah Jade Janks, seorang pereka dalaman dari Solana Beach, California yang berusia 39 tahun ketika kejadian. Mangsa pula ialah Tom Merriman, lelaki berusia 64 tahun yang merupakan bekas bapa tirinya. Pembunuhan ini berpunca daripada penemuan ratusan foto bogel Jade sendiri yang tersimpan di komputer peribadi Merriman.

     Tom Merriman pernah berkahwin dengan ibu Jade Janks ketika Janks berusia sekitar 14 tahun. Walaupun perkahwinan mereka akhirnya berakhir dengan perceraian, Merriman kekal menjadi orang penting dalam kehidupan Janks. Dia seorang ahli biologi laut yang dihormati manakala Janks pula membina kerjaya dalam bidang reka bentuk dalaman dan aktif dalam kerja-kerja sukarela. Hubungan mereka selepas perceraian ibunya dikatakan masih baik di mana mereka berhubung, berbual dan sering membantu antara satu sama lain.
 
     Walau bagaimanapun, semua itu berubah pada 23 Disember 2020. Pada hari itu, Jade pergi ke rumah Merriman untuk membersihkan rumahnya sementara lelaki itu berada di pusat pemulihan selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh. Di sinilah, tanpa disangka, Jade menemui sesuatu yang akan mengubah hidupnya buat selama-lamanya. Ketika sedang menggunakan komputer Merriman, Jade terkejut apabila melihat satu fail yang memaparkan ratusan gambar wanita dalam keadaan separuh bogel. Namun kejutan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia menyedari bahawa wanita dalam gambar itu ialah dirinya sendiri. Ada gambar yang diambil bertahun-tahun lalu termasuk semasa dia masih remaja.


     Dalam keterangannya kepada pihak polis kemudian, Jade berkata, “Saya berasa jijik dan dikhianati. Ia seperti seluruh tubuh saya kotor. Saya tidak mahu menyentuh kulit sendiri. Ia perasaan paling memualkan yang pernah saya alami." Penemuan itu menimbulkan persoalan besar yakni bagaimana Merriman mendapatkan foto-foto tersebut? Menurut pendakwaan, sebahagian gambar itu pernah disimpan Jade dalam peranti lama dan disandarkan ke akaun awan yang mungkin diakses Merriman tanpa pengetahuannya. Perasaan jijik dan marah itu mula berkembang menjadi dendam terhadap bapa tirinya itu. 
  
     Dalam tempoh beberapa hari selepas penemuan itu, Jade dilaporkan berdepan tekanan emosi yang mendalam. Dia tidak menceritakan hal tersebut kepada ibunya mahupun pihak polis. Jade sebaliknya memilih untuk menyelesaikannya sendiri. Pada 31 Disember 2020, Merriman dijadual keluar dari pusat pemulihan dan Jade bersetuju untuk menjemputnya pulang. Namun rekod pembelian pada hari itu menunjukkan sesuatu yang mencurigakan. Jade membeli pelbagai barangan seperti sarung tangan, tali nilon dan tuala yang menurut pihak pendakwaan merupakan sebahagian daripada alat pembunuhan. Berdasarkan mesej teks yang diperoleh daripada telefonnya, dia sempat menghantar mesej kepada seorang rakan bernama Alan Roach dengan berkata, “I just dosed the hell out of him” (Aku baru bagi dia dos yang kuat).

     Kenyataan ini menjadi bukti utama bahawa Jade telah merancang tindakan terhadap Merriman. Pendakwa mendakwa bahawa ketika Merriman berada dalam keadaan tidak sedar selepas diberi ubat, Jade menjerutnya hingga mati di dalam keretanya sebelum membawa pulang mayat itu ke rumahnya di Solana Beach.


     Pada 2 Januari 2021, kira-kira jam 7:15 pagi, pihak polis menerima panggilan daripada seorang rakan lelaki Jade yang mendakwa wanita itu mungkin telah membunuh bekas bapa tirinya. Polis segera bergegas ke rumah Jade dan menemui satu pemandangan mengejutkan, mayat Merriman dibalut dengan selimut dan ditimbus di bawah timbunan kotak, beg sampah serta kain di bahagian belakang rumah.

     Laporan bedah siasat menunjukkan tiada kesan kecederaan luaran yang ketara namun ujian toksikologi menemui kepekatan ubat tidur dan ubat preskripsi yang tinggi dalam tubuh Merriman. Ini menguatkan teori bahawa Merriman telah diberikan bahan kimia untuk melumpuhkannya sebelum maut akibat asfiksia (sesak nafas).
 Apabila disoal siasat, Jade cuba mempertahankan diri dengan mengatakan bahawa Merriman mati secara tiba-tiba dalam kereta dan dia panik lalu menyembunyikan mayat itu kerana takut dituduh. Cuma siri mesej teks, panggilan telefon dan bukti pembelian yang ditemui dalam siasatan forensik digital menafikan kenyataannya.

     Perbicaraan bermula pada Disember 2022 di Mahkamah Tinggi San Diego. Pihak pendakwaan menggambarkan Jade Janks sebagai seorang wanita yang dirancang, licik, dan penuh dendam. Mereka menekankan bahawa pembelian barangan, mesej kepada rakan dan cubaan menutup mayat semuanya menunjukkan niat awal untuk membunuh. Pihak pembelaan berusaha meyakinkan juri bahawa Merriman meninggal dunia akibat masalah kesihatan dan ubat preskripsi manakala Jade bertindak dalam keadaan panik. Mereka turut menekankan bahawa Jade merupakan mangsa pelanggaran privasi yang kejam dan tindakannya tidak seharusnya dinilai tanpa mengambil kira trauma tersebut. Cuma setelah meneliti bukti dan mendengar saksi-saksi, juri mendapati Jade bersalah atas pertuduhan membunuh tahap pertama pada 21 Disember 2022.
     
     Pada 6 Mac 2023, Mahkamah San Diego menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun hingga seumur hidup kepada Jade Janks. Dalam kenyataan sebelum hukuman dibacakan, Jade menegaskan bahawa dia tidak pernah berniat membunuh Merriman tetapi sebaliknya hanya mahu menghadapinya tentang perbuatan menjijikkan itu. Hakim bagaimanapun menyatakan bahawa bukti-bukti yang dikemukakan khususnya mesej teks dan tindakan selepas kejadian menunjukkan niat yang jelas serta dirancang.


Catat Ulasan for "Kisah Jade Janks: Pembunuhan Bekas Bapa Tiri Selepas Penemuan Foto Bogel Sendiri"