Pembunuhan Restoran Eight Immortals: Kes Paling Kejam Dalam Sejarah Macau

Pada tahun 1985, wilayah Macau digemparkan dengan satu kes pembunuhan paling kejam dan mengerikan dalam sejarahnya, kes yang dikenali sebagai Pembunuhan Restoran Eight Immortals. Kes ini membabitkan pembunuhan sepuluh orang ahli keluarga pemilik restoran tersebut dan peristiwa tragis ini kekal sebagai kisah ngeri yang menghantui penduduk Macau hingga pada hari ini.
Restoran Eight Immortals (atau Pa Sin Lou dalam bahasa Kantonis) terletak di kawasan perumahan Iao Hon, Macau. Ia dimiliki oleh seorang lelaki bernama Zheng Lin, seorang bekas penjaja jalanan yang berjaya membina perniagaan sendiri sejak tahun 1960-an. Dia bersama isterinya mengusahakan restoran itu secara kecil-kecilan dengan bantuan anak-anak dan ahli keluarga lain. Walaupun kelihatan seperti keluarga biasa yang rajin bekerja, Zheng dan isterinya juga dikenali sebagai kaki judi tegar yang sering bermain mahjong dan perjudian bawah tanah. Sikap suka berjudi ini akhirnya memperkenalkan mereka kepada seorang lelaki bernama Huang Zhiheng iaitu seorang kaki judi yang pada mulanya kelihatan mesra dan berperwatakan tenang.

Tentang Huang Zhiheng, dia yang juga menggunakan nama samaran Chen Shuliang berasal dari tanah besar China. Huang berhijrah ke Hong Kong sekitar tahun 1970-an dan pada tahun 1973 telah terlibat dalam satu kes pembunuhan akibat pertikaian hutang. Bagi mengelak daripada ditangkap, Huang melarikan diri ke tanah besar China dan memotong hujung jari telunjuk kirinya serta membakar cap jarinya untuk menyukarkan pengecaman. Dia kemudian berkahwin dengan anak perempuan tuan rumahnya di Guangzhou sebelum berhijrah ke Macau.
Di Macau, Huang menjalani kehidupan sebagai penjudi dan peminjam wang di mana dia mula bergaul dengan keluarga Zheng. Melalui hubungan yang rapat ini, Huang menjadi pemain tetap dalam aktiviti perjudian bersama keluarga berkenaan.

Pada tahun 1984 yakni semasa dalam satu permainan mahjong yang berisiko tinggi, Huang memenangi wang sebanyak 180 000 pataca (sekitar RM56 000) daripada Zheng dan isterinya. Walau bagaimanapun, keluarga Zheng tidak mampu membayar hutang tersebut. Maka satu perjanjian lisan telah dibuat di mana jika hutang itu tidak dapat dibayar dalam masa setahun, hak milik restoran Eight Immortals akan diserahkan kepada Huang sebagai ganti rugi. Setahun selepas itu, bukan sahaja hutang tersebut tidak dibayar, malah Huang mendakwa bahawa jumlahnya telah meningkat kepada 600,000 pataca (sekitar RM186 000) akibat pertaruhan berterusan. Pertikaian ini menjadi titik tolak kepada tragedi berdarah yang berlaku tidak lama kemudian.
Pada malam 4 Ogos 1985, selepas restoran ditutup, Huang datang ke restoran dan mendesak Zheng agar melunaskan hutang. Pertengkaran tercetus apabila Zheng menolak untuk membayar dan Huang bertindak drastik. Dia mengambil anak lelaki Zheng sebagai tebusan lalu memaksa ahli keluarga lain mengikat serta membungkam antara satu sama lain. Namun apabila seorang daripada mereka berjaya melepaskan diri dan menjerit minta tolong, Huang bertindak ganas dengan menikam lehernya menggunakan botol kaca yang dipecahkan.
Setelah itu, Huang membunuh kesemua sembilan ahli keluarga Zheng yang berada di restoran sama ada dengan cara mencekik atau menikam. Mayat-mayat itu dipotong dan dibungkus dalam beg plastik. Huang kemudian telah mengumpan seorang lagi saudara perempuan Zheng untuk datang ke restoran keesokan harinya dan turut membunuhnya sekali gus menjadikan jumlah korban seramai sepuluh orang.

Selepas melakukan pembunuhan kejam itu, Huang membersihkan tempat kejadian dan membuang sebahagian mayat ke dalam laut dan tong sampah. Dia kemudiannya mengambil alih restoran dan mula mengendalikan perniagaan tersebut seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku. Huang juga mula mengutip sewa daripada rumah kediaman keluarga Zheng yang menimbulkan syak wasangka dalam kalangan jiran tetangga. Ketika polis mula menyiasat kehilangan keluarga Zheng, mereka menemui beberapa barangan peribadi seperti kad pengenalan, dokumen dan barangan kemas milik mangsa yang disimpan oleh Huang. Tindakannya yang terus menguruskan restoran dan menukar pemilikan secara tidak sah menambahkan lagi kecurigaan.
Setelah beberapa bulan dalam siasatan, Huang cuba melarikan diri ke tanah besar China tetapi berjaya ditangkap pada 28 September 1986. Dia didakwa atas sepuluh tuduhan membunuh dan dijatuhi hukuman penjara pada 2 Oktober 1986. Cuma sehari selepas sabitan, Huang diserang oleh banduan lain dan terpaksa dirawat di hospital. Ketika dalam tahanan, dia membuat dua cubaan membunuh diri tetapi gagal. Akhirnya pada 4 Disember 1986, Huang berjaya membunuh diri dengan memotong pergelangan tangannya menggunakan penutup tin. Dalam nota bunuh diri yang ditinggalkan, Huang menyatakan bahawa dia tidak menyesali pembunuhan itu tetapi sebaliknya membunuh diri untuk mengakhiri penderitaan akibat asma kronik yang dialaminya.

Setelah kes ini tersebar luas, muncul satu legenda bandar yang menyeramkan. Huang kononnya menggunakan daging mangsa untuk dijadikan inti pau babi yang dijual di restoran itu. Walaupun tiada bukti konkrit untuk menyokong dakwaan ini, kisah tersebut menjadi topik hangat dan terus tersebar dalam masyarakat Macau.
Kisah ngeri ini kemudian diangkat ke layar perak melalui filem Hong Kong bertajuk The Untold Story (1993) yang dibintangi oleh Anthony Wong sebagai watak pembunuh bersifat fiksyen. Filem itu menjadi kontroversi kerana menggambarkan adegan-adegan ganas dan mendapat penarafan Kategori III (setaraf 18SX) di Hong Kong.
Catat Ulasan for "Pembunuhan Restoran Eight Immortals: Kes Paling Kejam Dalam Sejarah Macau"