Kisah Ruja Ignatova: Ratu Penipu Dunia Mata Wang Kripto yang Masih Diburu

Pada tahun 2014 yakni ketika dunia baru sahaja mula menerima dan memahami konsep mata wang kripto seperti Bitcoin, seorang wanita misteri bernama Ruja Ignatova muncul dari Bulgaria dengan satu janji yang menjanjikan revolusi kewangan global. Menggelarkan dirinya sebagai Cryptoqueen, Ruja mengasaskan satu sistem pelaburan baharu yang diberi nama OneCoin. Dia mendakwa bahawa OneCoin akan mengatasi Bitcoin dan bakal menjadi mata wang digital paling berkuasa di dunia. Namun di sebalik retorik megah dan persembahan mewah, OneCoin hanyalah satu skim Ponzi berskala global yang akhirnya meragut berbilion dolar dari tangan pelabur tidak bersalah di lebih 175 buah negara.
Ruja Ignatova bukan wanita biasa. Dia memiliki ijazah kedoktoran dalam undang-undang dari Universiti Konstanz di Jerman dan pernah bekerja di firma perbankan terkenal McKinsey & Company. Kepintaran dan pendidikan elitnya digunakan sebagai senjata untuk menambat hati pelabur. Berpenampilan sofistikated dengan pakaian berjenama, solekan rapi dan lenggok bicara yang memukau, dia berjaya membina imej sebagai pakar kripto dan tokoh kewangan yang diyakini. Dalam setiap seminar dan acara pelaburan, Ruja berdiri di atas pentas dengan penuh keyakinan, mempersembahkan slaid dan grafik tentang potensi keuntungan luar biasa dari OneCoin. Banyak acara tersebut diadakan di hotel-hotel mewah dan dewan besar seperti Wembley Arena di London sekali gus menjadikannya kelihatan lebih sah dan meyakinkan.

OneCoin dijual sebagai “peluang pelaburan yang tidak boleh dilepaskan”. Walau bagaimanapun, pelabur tidak membeli OneCoin secara langsung. Mereka sebaliknya diminta membeli ‘pakej pendidikan’, kononnya untuk mempelajari tentang dunia mata wang digital. Di dalam pakej itu, mereka akan menerima ‘token’ yang boleh digunakan untuk ‘melombong’ OneCoin. Apa yang mereka tidak tahu ialah, sistem OneCoin tidak mempunyai sebarang blockchain sebenar iaitu asas penting dalam mana-mana sistem kripto yang sah. Tiada transaksi yang boleh diaudit, tiada log terbuka dan tiada bukti kukuh bahawa OneCoin benar-benar wujud secara teknikal. Namun sistem rekrut dan komisen berlapis menjadikannya kelihatan seperti peluang keemasan yang sebenarnya adalah struktur piramid klasik di mana pelabur awal dibayar dengan wang pelabur baharu.
Sehingga 2016, lebih EUR 4 bilion (RM20 bilion) telah dikutip dari pelabur di seluruh dunia termasuk Eropah Timur, Asia, Afrika dan Asia Tenggara. Di Uganda, kerajaan hampir menandatangani kerjasama rasmi. Di China, pelabur meminjam wang semata-mata mahu membeli token. Di Pakistan, OneCoin diiklankan dalam khutbah Jumaat. Di Filipina dan Thailand, pelabur dari luar bandar turut terlibat dengan harapan dapat keluar dari kemiskinan. Ruja dan pasukannya mengupah agen-agen untuk merekrut pelabur dan memberi insentif lumayan dalam bentuk bonus, percutian dan hadiah mewah.

Tahun 2017, kebocoran mula berlaku. Beberapa wartawan mula menyoal tentang ketelusan operasi OneCoin. Mereka mendapati tiada bukti blockchain, tiada sistem perdagangan terbuka dan nilai OneCoin hanya ditentukan oleh syarikat sendiri dengan tiada pasaran bebas. Sebahagian pelabur mula curiga apabila mereka tidak dapat menukar OneCoin kepada wang tunai seperti yang dijanjikan. Tekanan daripada media dan pihak berkuasa mula meningkat.
Pada bulan Oktober 2017, ketika dijadualkan membuat kemunculan besar di Lisbon, Portugal, Ruja menghilangkan diri. Dia tidak pernah hadir ke majlis tersebut dan tidak pernah dilihat lagi sejak itu. Laporan menunjukkan bahawa Ruja telah menaiki pesawat dari Bulgaria ke Greece dan selepas itu, jejaknya lenyap. Ada teori mengatakan dia telah menukar wajah melalui pembedahan plastik, hidup dengan identiti palsu selain dilindungi oleh sindiket mafia. Seorang bekas pengawal keselamatannya mendakwa bahawa wanita terbabit telah menerima bantuan daripada rangkaian jenayah Rusia yang luas.
Sementara itu, adiknya yang bernama Konstantin Ignatov mengambil alih operasi syarikat tetapi akhirnya ditahan oleh FBI pada 2019 di Los Angeles. Dia mengaku bersalah terhadap beberapa pertuduhan termasuk penipuan dan pengubahan wang haram serta memberi keterangan bahawa OneCoin memang sejak awal lagi dirancang sebagai skim penipuan. Dalam dokumen mahkamah, dia turut menyatakan bahawa Ruja telah merancang pelariannya dengan teliti, membawa bersama pasport, wang tunai berjuta-juta dolar dan bantuan luar.

Sehingga hari ini, Ruja Ignatova kekal sebagai individu yang diburu oleh FBI, disenaraikan dalam Top Ten Most Wanted List dengan ganjaran USD 250 000 untuk maklumat yang membawa kepada penangkapannya. Kisah Ruja telah difilemkan, dipaparkan dalam audio siar BBC bertajuk The Missing Cryptoqueen serta menjadi bahan kajian dalam bidang jenayah kewangan.
Lebih menyedihkan, ramai pelabur masih belum mendapat pembelaan. Tiada bayaran balik dan tiada pampasan. Ruja Ignatova menggunakan ilmu, status dan imej untuk membina empayar penipuan yang sangat licik. Hingga kini, dunia masih mencari-cari wajahnya yang pernah menjanjikan masa depan kewangan digital yang kononnya penuh harapan.
Catat Ulasan for "Kisah Ruja Ignatova: Ratu Penipu Dunia Mata Wang Kripto yang Masih Diburu"