Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kepercayaan Membunuh: Misteri Ritual Sesat Dukun Usep


     Di sebalik landskap kampung yang damai di daerah Lebak, Banten, Indonesia, tersembunyi satu kisah ngeri yang menggemparkan seluruh negara itu pada tahun 2007. Ia bukan kisah rekaan atau cerita tahyul tetapi satu kes pembunuhan kejam yang berpunca daripada kepercayaan membuta tuli terhadap kuasa mistik. Seorang lelaki bernama Tubagus Yusuf Maulana yang lebih dikenali sebagai Dukun Usep bukan sahaja menggelarkan dirinya sebagai seorang dukun tetapi mendakwa mempunyai hubungan dengan alam ghaib dan mampu menggandakan wang sesiapa sahaja yang mengikuti ritualnya. 

     Dukun Usep memperdaya mangsa-mangsanya melalui satu konsep digelar "bank gaib" iaitu satu bentuk kepercayaan dalam masyarakat tertentu di Indonesia yang mempercayai kewujudan entiti spiritual yang mampu memberikan wang secara ghaib asalkan ritual dan syarat tertentu dipenuhi. Usep mempromosikan kemampuannya ini dari mulut ke mulut di mana dia menyasarkan individu yang terdesak mahu kaya atau sedang mengalami masalah kewangan. Sesiapa yang mahu ‘menggandakan’ wang mereka perlu menyediakan mahar atau bayaran awal sekitar 20 juta rupiah (lebih kurang RM6,000). Selepas itu, mereka dikehendaki menjalani satu ritual khas yang kononnya akan membuka laluan kepada wang dari alam ghaib.

     Dalam ritual tersebut, mangsa diarahkan menggali satu lubang besar di tanah. Menurut Usep, lubang ini adalah ‘pintu’ untuk memanggil kekayaan dari alam ghaib. Mereka yang terlibat biasanya diarahkan berpuasa dan menjalani pantang larang tertentu selama beberapa hari sebelum tiba ke lokasi ritual. Ritual itu dilakukan pada waktu malam dengan suasana sunyi dan bacaan mantera yang dibacakan oleh Usep menjadikan suasana cukup meyakinkan dan menyeramkan. Mangsa turut diberikan minuman khas sebagai sebahagian daripada upacara. Walau bagaimanapun, minuman itu sebenarnya telah dicampur dengan racun potasium yang boleh membunuh dalam masa singkat. Setelah mangsa mula menunjukkan kesan keracunan seperti muntah, sesak nafas atau hilang kesedaran, mereka ditolak masuk ke dalam lubang dan dikambus hidup-hidup oleh Usep dan rakan-rakannya.

     Kes pembunuhan pertama berlaku pada 17 Mei 2007. Dalam kejadian itu, lima orang mangsa maut selepas melalui ritual maut tersebut. Mereka terdiri daripada lelaki dan wanita yang percaya kepada janji manis Usep tentang kekayaan segera. Tidak cukup dengan itu yakni pada 19 Julai 2007, tiga lagi mangsa mengalami nasib yang sama dalam sesi ritual berasingan. Jumlah keseluruhan mangsa yang dibunuh oleh Dukun Usep dan konco-konconya adalah lapan orang. Kesemua mayat mereka ditanam dalam dua lokasi berbeza di Desa Cileles dengan kaedah yang sama, ditimbus di dalam lubang yang digali sendiri di bawah kepercayaan bahawa mereka sedang menyertai satu ritual suci.


     Kejadian ini mula terbongkar apabila keluarga salah seorang mangsa membuat laporan polis tentang kehilangan ahli keluarga mereka yang tidak pulang selepas menyertai satu ritual dengan Usep. Siasatan awal membawa kepada penahanan Usep dan beberapa individu lain. Namun polis tidak menyangka bahawa siasatan ini akan membawa kepada penemuan kubur besar yang mengandungi mayat mangsa pembunuhan beramai-ramai. Pada bulan Ogos 2007, polis menemui dua kawasan perkuburan di tengah kebun milik Usep di Cileles. Dalam salah satu lubang, terdapat lima mayat manakala dalam satu lubang lagi, tiga mayat dijumpai dalam keadaan sudah reput. Forensik mengesahkan bahawa punca kematian adalah akibat keracunan dan trauma akibat ditimbus hidup-hidup.

     Semasa siasatan, Usep tidak menunjukkan penyesalan. Dia mendakwa bahawa apa yang dilakukannya adalah atas arahan makhluk ghaib, dan menyatakan dirinya hanya "perantara". Dalam satu sesi perbicaraan yang dijalankan pada 10 Mac 2008 di Pengadilan Negeri Rangkasbitung, Usep didapati bersalah atas tuduhan pembunuhan terancang dan penipuan. Hakim menjatuhkan hukuman mati kepadanya. Apa yang mengejutkan ramai ialah Usep langsung tidak membuat sebarang usaha untuk merayu keputusan itu. Dia menolak untuk memfailkan sebarang bentuk rayuan terakhir yang dibenarkan dalam sistem perundangan Indonesia. Ini membuatkan banyak pihak percaya bahawa Usep sudah bersedia menerima hukuman atau mungkin percaya bahawa ‘bank ghaib’ akan membantunya walaupun selepas kematian.

     Hukuman mati itu akhirnya dilaksanakan pada malam Jumaat, 18 Julai 2008. Lokasi pelaksanaan hukuman adalah di sebuah kawasan hutan terpencil di Cimarga, Lebak. Regu tembak yang ditugaskan menjalankan arahan mahkamah menembak Usep hingga mati. Prosiding hukuman mati itu dijalankan secara tertutup dan hanya pihak berkuasa tertentu sahaja yang dibenarkan hadir. Selepas kematiannya, rumah dan kebun milik Usep disita oleh kerajaan dan dijadikan lokasi siasatan serta peringatan kepada masyarakat setempat.

Catat Ulasan for "Kepercayaan Membunuh: Misteri Ritual Sesat Dukun Usep"