Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

11 Hari Hilang di Taiga: Ketabahan Karina dan Kesetiaan Seekor Anjing


     Pada musim panas yang dingin di wilayah terpencil Republik Sakha, Rusia, satu kisah benar yang menyentuh hati telah berlaku. Kisah ini bukan hanya tentang kehilangan tetapi tentang kecekalan, harapan dan ikatan luar biasa antara seorang anak kecil dan anjing kesayangannya. Karina Chikitova, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun sembilan bulan telah hilang di tengah hutan taiga Siberia selama 11 hari secara bersendirian tanpa perlindungan, tanpa makanan mencukupi dan berdepan dengan cuaca malam yang dahsyat. Dia bagaimanapun terselamat. Paling luar biasa, kanak-kanak itu diselamatkan oleh seekor anjing.

     Segalanya bermula pada Julai 2014 yakni di sebuah kampung kecil bernama Olom yang terletak jauh di pedalaman. Kawasan ini tidak mempunyai liputan telefon dan jaringan komunikasi yang baik. Pada suatu hari, ayah Karina iaitu Rodion telah berangkat ke hutan atas urusan peribadi. Tanpa diketahui ibunya, Karina yang masih kecil telah mengekori Rodion bersama anjing peliharaan keluarga mereka yang setia, seekor anjing berbulu tebal bernama Naida. Namun di tengah perjalanan, Karina dipercayai terpisah daripada ayahnya dan tersesat jauh ke dalam hutan taiga yang luas dan berbahaya.


     Ketiadaan komunikasi menyebabkan kehilangan Karina hanya disedari beberapa hari kemudian. Ketika pencarian bermula harapan untuk menemuinya semakin tipis kerana hutan taiga terkenal sebagai habitat binatang buas seperti serigala, beruang coklat, serangga pemangsa selain mempunyai suhu  yang mampu membunuh pada waktu malam. Lebih memilukan, Karina keluar dari rumah tanpa kasut, hanya berbaju nipis dan tanpa sebarang bekalan makanan.

     Di dalam hutan yang sunyi dan gelap itu, Karina bergelut untuk bertahan hidup. Pada siang hari, dia memetik buah beri liar untuk mengisi perutnya yang lapar dan mencari air sungai untuk diminum. Walau bagaimanapun, waktu malam merupakan ujian paling mencabar. Suhu boleh turun ke paras sejuk yang ekstrem walaupun musim panas. Serangga berbisa, binatang buas dan kegelapan mutlak menjadikan malam sangat menakutkan.


     Cuma Karina tidak pernah bersendirian sepenuhnya. Naida, anjing peliharaan keluarga, sentiasa berada di sisinya. Menurut Karina selepas diselamatkan, setiap kali malam menjelma, dia akan membaringkan diri dalam semak belukar yang tinggi untuk menyembunyikan dirinya daripada haiwan liar. Dalam keadaan itu, Naida akan membaringkan tubuhnya yang besar dan berbulu tebal di sisi Karina,  kadang-kadang menindih separuh tubuh kecilnya bagi memberi kehangatan dan rasa selamat. 

     Ada kalanya Karina tidur di celah akar pokok atau di bawah belukar yang tebal bagi berlindung daripada angin malam. Daun-daun kering dijadikan alas manakala tubuh Naida menjadi selimut hidupnya. Tanpa kehadiran anjing itu, Karina mengaku dia tidak mampu bertahan lebih dari satu malam. Kehangatan tubuh Naida menyelamatkan jantung kecil Karina daripada berhenti akibat kesejukan dan kehadirannya menjauhkan ancaman binatang buas yang sensitif terhadap kehadiran manusia.


     Pada hari kesembilan, sesuatu yang luar biasa berlaku di mana Naida tiba-tiba meninggalkan Karina dan pulang ke kampung. Ramai menyangka Karina telah meninggal dunia. Bagi pasukan penyelamat, kehadiran semula Naida adalah satu petunjuk penting. Mereka mengikuti jejaknya dan menelusuri kawasan sekitar laluan yang biasa digunakan penduduk kampung. Dua hari selepas itu bersamaan dengan hari ke-11 Karina hilang, dia akhirnya ditemui kira-kira enam kilometer dari rumahnya. Karina dalam keadaan sangat lemah, wajahnya dipenuhi gigitan nyamuk, rambutnya kusut dan kakinya luka-luka. Namun dia masih hidup. Kata pertamanya kepada penyelamat: “Saya dahaga.”

     Karina segera dihantar ke hospital dan dirawat. Walaupun mengalami dehidrasi dan kehilangan berat badan, tiada kecederaan serius atau hipotermia pada Karina, sesuatu yang dianggap ajaib. Dunia memandang kisah ini sebagai bukti kekuatan naluri hidup dan kasih seekor haiwan peliharaan.


     Karina kemudian membesar menjadi seorang gadis yang ceria dan aktif. Dia memenangi gelaran Mini Miss dan diterima masuk ke sekolah balet terkenal di Yakutsk. Sebagai penghargaan terhadap keberaniannya, sebuah tugu gangsa didirikan di Lapangan Terbang Yakutsk menggambarkan Karina berdiri di sisi Naida, anjing yang menyelamatkannya.

Catat Ulasan for "11 Hari Hilang di Taiga: Ketabahan Karina dan Kesetiaan Seekor Anjing"