Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

APA SEBENARNYA YANG BERLAKU KEPADA LIAM PAYNE?

     Pada 16 Oktober 2024, dunia dikejutkan dengan berita kematian Liam Payne, bekas anggota kumpulan pop terkenal One Direction. Dia meninggal dunia di Buenos Aires, Argentina dalam satu kejadian yang pada awalnya disangka sebagai kemalangan biasa. Namun siasatan terperinci kemudiannya membongkar bahawa kematiannya berpunca daripada campuran beberapa faktor rumit termasuk pengambilan dadah sintetik berbahaya, kelakuan luar kawalan sebelum kejadian dan kecuaian pihak tertentu yang kini sedang dibicarakan di mahkamah Argentina.

     Liam menginap di Hotel CasaSur Palermo Soho, sebuah hotel mewah di Buenos Aires sempena kunjungannya ke konsert bekas rakan sekumpulan, Niall Horan. Pada malam kejadian yakni kira-kira jam 1.30 pagi, staf hotel menghubungi pihak berkuasa setelah menerima aduan tentang seorang tetamu lelaki yang bertindak luar kawalan di salah satu bilik tingkat tiga. Menurut saksi, Liam dilaporkan menjerit-jerit, memecahkan barangan dalam bilik dan menunjukkan tingkah laku agresif yang tidak terkawal. Polis segera tiba di lokasi dan menemui Liam dalam keadaan mencurigakan dipercayai di bawah pengaruh bahan terlarang.

     Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel menunjukkan Liam memanjat keluar melalui balkoni bilik hotelnya lalu cuba menyeberang ke bilik di tingkat bawah dengan memijak struktur luar bangunan. Malangnya, cubaan itu gagal apabila dia tergelincir dan jatuh dari ketinggian lebih sembilan meter (tiga tingkat) lalu meninggal dunia di tempat kejadian. Hasil bedah siasat mendedahkan bahawa Liam mengalami lebih daripada 25 kecederaan fizikal termasuk trauma kranioensefalik (kecederaan otak akibat hentakan kuat), patah tulang dada, luka dalaman serta pendarahan serius di beberapa organ utama.

     Laporan toksikologi memberikan penjelasan lebih terperinci tentang punca kematian Liam. Beberapa jenis dadah telah dikesan dalam tubuhnya termasuk kokain, crack, benzodiazepin (ubat penenang) serta dadah berasaskan "pink cocaine" iaitu campuran berbahaya yang mengandungi metamfetamin, ketamin dan MDMA. MDMA atau nama penuhnya 3,4-methylenedioxymethamphetamine adalah dadah sintetik yang sering digunakan dalam parti dan dikenali kerana kesan euforia dan perubahan emosi yang kuat. Pink cocaine pula terkenal kerana memberi kesan psikoaktif yang tinggi dan boleh menyebabkan halusinasi, rasa takut berlebihan (paranoia) selain kehilangan kawalan tubuh dalam masa singkat. Pakar forensik menyimpulkan bahawa Liam berada dalam keadaan khayal atau tidak sedarkan diri akibat pengaruh dadah ketika insiden itu berlaku.

     Pihak berkuasa Argentina segera membuka siasatan jenayah. Lima individu ditahan dan didakwa dalam tempoh sebulan selepas kejadian. Mereka terdiri daripada dua individu yang disyaki sebagai pembekal dadah kepada Liam, seorang pekerja hotel yang dipercayai menyerahkan bahan terlarang kepada mangsa serta dua orang kenalan Liam yang turut berada di hotel malam itu. Pada awalnya, mereka semua didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk pembunuhan tidak sengaja (involuntary manslaughter), kecuaian jenayah dan pengedaran bahan terlarang.

     Namun pada Februari 2025, Mahkamah Argentina menggugurkan pertuduhan terhadap tiga individu, dua pekerja hotel dan seorang kenalan Liam atas alasan tiada bukti kukuh bahawa mereka secara langsung menyebabkan kematian Liam atau menyumbang kepada pengambilan dadah tersebut. Rayuan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa raya ditolak pada Mac 2025 selepas panel hakim menyatakan bahawa tiada asas undang-undang untuk meneruskan pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh tersebut. Maka mereka dibebaskan sepenuhnya.

    Sehingga April 2025, dua tertuduh utama yang dituduh membekalkan dadah kekal dalam tahanan reman. Mereka dijangka akan dibicarakan pada pertengahan tahun ini di mana pendakwa raya bakal mengemukakan bukti transaksi dadah, komunikasi digital dan pengakuan daripada saksi lain yang mengaitkan mereka dengan kematian Liam Payne. Jika sabit kesalahan, mereka berhadapan hukuman penjara sehingga 25 tahun menurut undang-undang Argentina berkaitan pengedaran dadah berbahaya dan pembunuhan akibat kecuaian.

     Di sisi lain, keluarga Liam terus berkabung atas pemergian insan tersayang. Pada 16 April 2025 sempena enam bulan pemergiannya, kakak Liam, Ruth Gibbins telah memuat naik hantaran menyayat hati di Instagram, menyifatkan kehilangan Liam sebagai “lubang besar dalam hidup yang tak akan dapat diisi.” Dia turut berkongsi foto-foto lama mereka sewaktu kecil dan melahirkan rasa kecewa kerana Liam tidak sempat pulang ke rumah dan berjumpa keluarga untuk kali terakhir.

     Kematian Liam Payne telah membangkitkan kesedaran meluas tentang isu kesihatan mental dan tekanan dunia selebriti. Liam sendiri pernah beberapa kali berkongsi secara terbuka tentang perjuangannya melawan ketagihan alkohol, kemurungan dan tekanan hidup selepas One Direction dibubarkan. Dia pernah menjalani rawatan pemulihan dan menjelaskan bahawa kemasyhuran pada usia muda memberi kesan mendalam terhadap kestabilan emosinya. Meskipun kelihatan bahagia di media sosial, realitinya Liam sedang bergelut secara senyap.

     Ramai peminat dan selebriti antarabangsa menyuarakan rasa sedih dan kehilangan mereka. Ratusan ribu peminat mengadakan sesi penghormatan di media sosial di luar bekas rumahnya di Wolverhampton serta di lokasi memorial tidak rasmi di Buenos Aires. 

Catat Ulasan for "APA SEBENARNYA YANG BERLAKU KEPADA LIAM PAYNE?"