KISAH LEGENDA URBAN SERAM TEROWONG INUNAKI

Di sebalik keindahan semula jadi wilayah Fukuoka, Jepun, tersembunyi sebuah tempat yang telah lama menjadi buah mulut dalam kalangan peminat kisah seram dan paranormal. Terowong Lama Inunaki iaitu sebuah terowong lama yang telah ditinggalkan sejak beberapa dekad lalu kini terkenal bukan kerana rekabentuk kejuruteraan atau sejarahnya tetapi kerana aura misteri yang menyelubunginya. Di sinilah bermulanya pelbagai kisah menakutkan yang menjadikan nama Inunaki sinonim dengan ketakutan dan perkara ghaib.
Terowong Lama Inunaki dibina pada tahun 1949 sebagai laluan penghubung di antara dua kawasan di Fukuoka. Ia digunakan selama beberapa dekad sebelum akhirnya ditutup pada tahun 1975 apabila sebuah terowong baharu dibina untuk menggantikannya. Sejak penutupannya, terowong itu dibiarkan terbiar dan perlahan-lahan ditelan oleh alam semula jadi. Dindingnya yang reput, diselaputi lumut serta suasana sunyi dan lembap menjadikan tempat ini kelihatan seperti lokasi filem seram. Itulah hakikat yang menjadi kenyataan. Apa yang dulunya sekadar struktur jalanan kini berubah menjadi lokasi pelbagai cerita mengerikan.

Salah satu peristiwa paling gelap dan menyayat hati yang benar-benar berlaku di Terowong Inunaki ialah pembunuhan kejam pada tahun 1988. Seorang lelaki muda telah diserang dan dibakar hidup-hidup oleh sekumpulan remaja tanpa belas kasihan. Kes ini bukan sekadar kisah seram rekaan. Ia direkodkan dalam sejarah jenayah Jepun sebagai salah satu kes pembunuhan paling kejam di negara itu. Sejak daripada tragedi itu, Terowong Inunaki mula dipandang sebagai tempat berpuaka. Ramai yang percaya bahawa roh mangsa masih merayau-rayau di kawasan tersebut, mencari keadilan atau sekadar menyampaikan jeritan terakhirnya.
Namun yang menjadikan kisah Inunaki lebih menyeramkan adalah legenda yang mengelilingi sebuah kampung misteri yang kononnya terletak berhampiran terowong tersebut. Kampung itu dikenali sebagai Kampung Inunaki, sebuah tempat yang tidak terdapat dalam mana-mana peta rasmi dan didakwa hanya boleh dimasuki melalui jalan yang tersembunyi berhampiran terowong. Cerita-cerita menyatakan bahawa kampung ini tidak mengiktiraf undang-undang Jepun. Terdapat dakwaan bahawa sebuah papan tanda tertera di pintu masuk kampung tersebut dengan ayat yang menakutkan:
“Perlembagaan Jepun tidak terpakai di sini.”
Penduduk kampung ini dikatakan mengamalkan cara hidup yang ganjil dan mengasingkan diri dari dunia luar. Mereka digambarkan sebagai liar, penuh kecurigaan terhadap orang luar dan tidak teragak-agak untuk bertindak ganas terhadap sesiapa yang cuba menjejakkan kaki ke kampung mereka.

Kewujudan kampung ini masih menjadi tanda tanya besar. Tiada bukti rasmi menunjukkan kampung itu benar-benar wujud. Walau bagaimwnapun, ini tidak menghalang pengembara dan pencari hantu daripada cuba mencarinya. Malangnya, tidak semua yang pergi ke sana kembali dengan selamat. Ada laporan tentang individu yang hilang atau kembali dalam keadaan trauma selepas mendakwa telah melihat sesuatu yang tidak dapat dijelaskan oleh logik. Ada juga yang melaporkan mendengar suara jeritan daripada dalam terowong, bunyi tapak kaki yang tiada pemilik atau mengalami gangguan elektronik seperti telefon bimbit dan kamera tiba-tiba mati apabila mendekati kawasan tersebut.
Kini, Terowong Lama Inunaki telah dipagar dan ditutup sepenuhnya kepada orang awam oleh pihak berkuasa tempatan. Ia bagaimanapun tidak menghalang sesetengah individu yang berani mati atau terlalu obses dengan dunia mistik daripada cuba menceroboh masuk. Ia menjadi lokasi kegemaran untuk penggambaran video seram, dokumentari paranormal dan inspirasi kepada karya fiksyen. Malah sebuah filem Jepun berjudul Howling Village pada tahun 2020 turut mengambil inspirasi daripada kisah Terowong Inunaki dan kampung misteri itu. Walau apapun kebenaran di sebalik semua cerita ini, Terowong Inunaki kekal sebagai salah satu legenda urban paling menyeramkan di Jepun.
Catat Ulasan for "KISAH LEGENDA URBAN SERAM TEROWONG INUNAKI"