Pembunuhan Berdarah di Bangkalan: Suami Bunuh Isteri dan Kekasih Gelapnya

Satu kes pembunuhan ngeri telah berlaku pada Isnin, 22 April 2025 di Perumahan Griya Anugrah, Mlajah, Bangkalan, Jawa Timur, Indonesia. Pelaku iaitu seorang lelaki berusia 44 tahun yang bernama Abdul Razak bertindak menikam isterinya sendiri dan seorang lelaki yang dipercayai sebagai kekasih gelap wanita itu. Kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 2.30 petang.
Abdul Razak dan isterinya, Eka Fatmawati Dewi, 45 tahun, telah berkahwin selama lebih 25 tahun dan dikurniakan beberapa orang anak. Abdul bekerja sebagai buruh binaan manakala isterinya tidak bekerja secara tetap tetapi kadangkala mengambil upah menjahit di rumah. Menurut jiran-jiran dan kenalan terdekat, pasangan itu kelihatan seperti keluarga biasa yang harmoni. Walau bagaimanapun, hubungan mereka dikatakan mula renggang sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Eka dikatakan sering keluar rumah tanpa penjelasan dan beberapa kali dilihat bersama lelaki tidak dikenali dengan motosikal di kawasan sekitar. Abdul sendiri pernah menegur tetapi Eka menafikan sekeras-kerasnya. Kecurigaan Abdul semakin memuncak apabila dia menerima maklumat daripada kenalannya bahawa isterinya telah menyewa sebuah bilik di kawasan perumahan lain dan sering bertemu dengan seorang lelaki di sana.
Pada hari kejadian, Abdul Razak yang curiga mengambil keputusan mengekori isterinya secara senyap-senyap. Ketika itu, Eka keluar dari rumah pada waktu tengah hari dan menunggang motosikal ke arah kawasan Griya Anugrah. Abdul mengikuti dari jauh dan mendapati isterinya masuk ke sebuah rumah sewa. Rumah tersebut disewa secara harian dan dipercayai digunakan untuk pertemuan sulit.
Tanpa menunggu lama, Abdul bertindak masuk ke rumah itu dengan marah. Dia mendapati isterinya bersama seorang lelaki dalam keadaan intim. Kejutan itu menyalakan api amarah yang telah lama terpendam. Menggunakan celurit yang disimpan dalam ruangan bawah tempat duduk motosikalnya, l Abdul menyerang pasangan tersebut.
Agus, lelaki berusia 36 tahun yang berasal dari Pamekasan tidak sempat melarikan diri dan mati di tempat kejadian akibat lebih 10 tikaman di bahagian dada dan leher. Eka pula sempat menjerit meminta tolong dan cuba melarikan diri namun ditikam beberapa kali di bahagian perut serta belakang badan sebelum rebah. Jiran-jiran yang mendengar kekecohan terus melaporkan kepada polis dan membawa Eka ke hospital. Wanita itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian akibat pendarahan dalaman.
Polis tiba di lokasi kejadian kurang 30 minit selepas menerima laporan. Abdul yang tidak melarikan diri ditahan di tempat kejadian dalam keadaan berlumuran darah dengan celurit masih di tangannya. Senjata tersebut kemudiannya dirampas sebagai bahan bukti utama. Polis turut merampas telefon bimbit kedua-dua mangsa yang mengandungi beberapa mesej intim yang menyokong dakwaan hubungan sulit antara mereka.
Abdul kemudian dibawa ke Balai Polis Bangkalan untuk disoal siasat. Di balai, Abdul dilaporkan berada dalam keadaan sangat tertekan dan emosinya tidak stabil. Menurut Ketua Polis Bangkalan, Kompol Agung Wibowo, Abdul beberapa kali menangis selain mengalami kesukaran bercakap kerana terlalu sebak.

Dalam keterangannya, Abdul berkata,
“Saya tak pernah sangka Eka sanggup buat saya seperti ini. Kami hidup susah senang sama-sama. Saya kerja siang malam... tapi dia balas dengan curang. Saya cuma nak tahu kebenaran... tapi bila saya nampak dengan mata sendiri... saya hilang akal.”
Abdul turut menjelaskan bahawa kejadian itu bukan dirancang. Celurit yang digunakannya memang sentiasa ada dalam motosikal kerana tempat tinggalnya sebelum ini sering berlaku kecurian. Namun dia mengaku bahawa emosinya menguasai akal pada saat dia melihat isterinya bersama lelaki lain di rumah itu.
Pegawai penyiasat juga mendedahkan bahawa Abdul semasa soal siasat beberapa kali menyebut,
“Saya tak tahu nak letak muka dekat anak-anak. Saya malu. Saya tahu saya salah tapi saya tak berniat nak bunuh siapa-siapa. Saya cuma tak sangka dia sanggup khianat saya seperti itu.”
Beberapa jiran memaklumkan bahawa anak-anak pasangan itu kini berada dalam jagaan saudara terdekat. Mereka dilaporkan trauma dan enggan bercakap kepada sesiapa buat masa ini. Seorang jiran berkata,
“Anak-anak dia semua baik. Belajar pandai. Saya tak sangka mak ayah mereka ada masalah seperti ini. Sekarang dua-dua dah tiada, yang tinggal anak-anak… mereka yang paling jadi mangsa.”
Masyarakat setempat yang selama ini mengenali Abdul sebagai seorang suami dan ayah yang bertanggungjawab juga tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut mereka. Ada yang simpati tetapi ramai juga yang mengecam tindakan Abdul yang terlalu terburu-buru hingga meragut nyawa. Pihak polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum kes didakwa di mahkamah. Abdul berdepan tuduhan membunuh di bawah Pasal 338 dan 340 KUHP dengan kemungkinan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati jika disabitkan.
Catat Ulasan for "Pembunuhan Berdarah di Bangkalan: Suami Bunuh Isteri dan Kekasih Gelapnya"