Apa Sebenarnya yang Berlaku kepada Britney Spears?

Britney Spears bukan sahaja seorang penyanyi pop tetapi juga ikon budaya yang mencorakkan era muzik awal 2000-an dengan lagu-lagu seperti Baby One More Time, Oops!... I Did It Again dan Toxic. Namun di sebalik glamor dan sorotan pentas, tersembunyi kisah hitam yang membongkar sisi gelap industri hiburan dan bagaimana seseorang selebriti boleh dikawal sepenuhnya oleh sistem undang-undang.
Tahun 2007 menjadi titik hitam dalam hidup Britney. Dunia menyaksikan kejatuhannya secara terbuka dari seorang bintang pop kegemaran ramai kepada subjek ejekan media dan bahan hiburan paparazi. Tekanan luar biasa akibat populariti, penceraian dan pertelingkahan hak penjagaan anak menjadi beban yang tidak tertanggung. Dalam satu insiden yang mengejutkan, Britney mencukur seluruh rambutnya di sebuah salon dipercayai sebagai simbol putus harapan dan keinginan untuk membebaskan diri daripada kawalan orang sekeliling. Dalam kejadian lain, dia dilihat menyerang kereta paparazi dengan payung. Ketika itu, ramai hanya melihat ‘gila’ pada dirinya tanpa benar-benar memahami penderitaan batinnya.

Akibat episod-episod ini, mahkamah California meluluskan satu perintah konservatori pada tahun 2008. Konservatori ialah satu bentuk perintah mahkamah yang memberikan kawalan penuh kepada penjaga (biasanya untuk individu yang uzur atau tidak stabil) ke atas segala aspek kehidupan seseorang. Dalam kes Britney, ayahnya iaitu Jamie Spears dilantik sebagai penjaga. Segala keputusan dari kewangan, rawatan kesihatan, kerjaya, malah urusan peribadi ditentukan oleh orang lain. Apa yang menghairankan, walaupun dikatakan “tidak mampu” mengurus diri, Britney masih dipaksa bekerja tanpa henti seperti merakam album, menjadi juri rancangan The X Factor dan membuat persembahan tetap di Las Vegas yang menjana jutaan dolar.
Keadaan ini mencetuskan gerakan global yang dikenali sebagai #FreeBritney. Pada awalnya, ia kelihatan seperti suara segelintir peminat fanatik. Namun lama-kelamaan, lebih ramai tampil menyuarakan kebimbangan tentang ketidakadilan yang dihadapi Britney. Mereka mula menyedari bahawa konservatori itu bukanlah perlindungan tetapi penindasan. Peminat berkumpul di luar mahkamah mendesak agar Britney diberi peluang untuk bersuara dan hidup sebagai individu bebas.
Pada 23 Jun 2021, dunia terdiam apabila Britney akhirnya bercakap sendiri di mahkamah. Dalam ucapan penuh emosi selama 24 minit, Britney mendedahkan penderitaan sebenar yang dialaminya selama 13 tahun. Dia dipaksa bekerja walaupun sakit, tidak dibenarkan membuat keputusan tentang tubuhnya sendiri termasuk dipaksa memakai alat perancang kehamilan walaupun ingin berkahwin dan mempunyai anak. Dia menyifatkan hidupnya seperti banduan, dikawal sepenuhnya oleh ayahnya dan pasukan pengurusan yang bertindak lebih seperti penjaga penjara daripada pelindung. Kenyataan itu mengejutkan dunia dan mencetuskan gelombang sokongan dari pelbagai pihak termasuk selebriti, ahli politik dan pertubuhan hak asasi manusia.

Pada 29 September 2021, mahkamah menggantung Jamie Spears daripada konservatori dan pada 12 November 2021, konservatori Britney Spears akhirnya ditamatkan sepenuhnya. Britney buat pertama kali dalam lebih sedekad, memperoleh semula hak untuk menentukan hidupnya sendiri. Ia adalah kemenangan bersejarah bukan sahaja untuk Britney tetapi juga buat semua mangsa kawalan berlebihan sistem perundangan.
Selepas pembebasannya, Britney aktif di media sosial, berkongsi tarian, coretan dan luahan perasaannya. Cuma ramai peminat mula bimbang, adakah Britney benar-benar pulih? Tindak-tanduknya dilihat ganjil oleh sesetengah pihak tetapi bagi mereka yang memahami trauma, ia adalah proses penyembuhan yang panjang.
Britney pernah berkahwin tiga kali. Perkahwinan pertamanya dengan Jason Alexander, rakan zaman kanak-kanaknya yang berlangsung hanya 55 jam sebelum dibatalkan. Perkahwinan keduanya dengan Kevin Federline pada tahun 2004 lebih serius. Mereka dikurniakan dua anak lelaki bernama Sean Preston dan Jayden James. Walau bagaimanapun, rumah tangga itu berakhir pada 2007 dan hak penjagaan anak akhirnya diberikan sepenuhnya kepada Kevin selepas kejatuhan mental Britney. Hubungan dengan anak-anaknya kini masih renggang dengan laporan mengatakan bahawa kedua-dua anaknya memilih untuk tidak terlalu dekat dengannya kerana trauma masa lalu dan tingkah laku Britney yang sukar difahami.

Pada tahun 2011, Britney bertunang dengan Jason Trawick yakni bekas pengurusnya tetapi pertunangan itu putus dua tahun kemudian. Britney kemudiannya menjalinkan hubungan serius dengan Sam Asghari, model dan jurulatih kecergasan yang dikenalnya pada 2016. Mereka berkahwin pada 9 Jun 2022 selepas konservatori ditamatkan tetapi perkahwinan itu hanya bertahan 14 bulan. Sam memfailkan penceraian pada Ogos 2023 dengan laporan menyatakan hubungan mereka semakin renggang selepas kehidupan Britney pasca-konservatori menjadi tidak stabil.
Britney kini bebas tetapi luka yang ditinggalkan selama 13 tahun tidak akan sembuh dalam sehari. Namun keberaniannya untuk bersuara dan kekuatan para peminatnya untuk berjuang bersamanya, menjadi simbol harapan bahawa kebenaran hingga pada akhirnya akan sentiasa mencari jalannya.
Catat Ulasan for "Apa Sebenarnya yang Berlaku kepada Britney Spears?"