Sandera di Restoran: Kisah Amos Atkinson dan Tamparan Seorang Ibu
Pada malam kejadian, suasana restoran seperti biasa dengan pelanggan menikmati makanan, para pelayan sibuk mengambil pesanan dan ketenangan malam mula melabuhkan tirainya. Walau bagaimanapun, semuanya berubah apabila Amos Atkinson melangkah masuk dengan wajah serius dan dua laras senapang di tangan. Tanpa banyak bicara, dia mengacukan senapangnya ke arah pelanggan dan pekerja lalu mengarahkan mereka duduk diam dan jangan cuba melarikan diri. Dalam sekelip mata, suasana menjadi tegang. Sekitar 30 orang yang ditawan di dalam ruang makan yang sempit dan penuh panik.
Motif Atkinson mula jelas apabila dia menyatakan tuntutannya di mana dia mahukan pembebasan Mark "Chopper" Read, seorang penjenayah terkenal Australia yang ketika itu sedang menjalani hukuman penjara. Nama Chopper bukan asing dalam dunia jenayah Melbourne. Dia terkenal sebagai seorang samseng berdarah dingin, terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah termasuk pengedaran dadah, ugutan dan pembunuhan. Chopper juga digeruni kerana sifatnya yang tidak dapat diramal serta kisah-kisah brutal yang mengiringi kehidupannya di penjara dan di luar.
Apa yang mendorong Amos Atkinson untuk bertindak demikian dan hubungannya dengan Chopper tidak diketahui. Namun ramai percaya dia sama ada terlalu mengagumi Chopper atau pernah berurusan secara peribadi dengannya. Apa pun sebabnya, tindakannya malam itu jelas menunjukkan betapa seriusnya dia mahu Chopper dibebaskan walaupun dengan cara paling berbahaya dan tidak masuk akal.

Pihak polis tiba tidak lama kemudian dan mengepung restoran sepenuhnya. Rundingan bermula tetapi Atkinson kekal berkeras. Keadaan menjadi semakin cemas kerana setiap saat yang berlalu meningkatkan risiko kecederaan atau kematian. Rundingan tegang itu berlarutan selama beberapa jam. Polis buntu. Para tebusan ketakutan. Atkinson tidak berganjak daripada tuntutannya.
Detik penyelamat bagaimanapun tiba dalam bentuk yang langsung tidak dijangka iaitu seorang wanita tua dengan berpakaian tidur muncul di tempat kejadian. Wanita itu ialah ibu kepada Amos Atkinson! Menyedari anaknya terlibat dalam insiden itu, dia nekad untuk berbuat sesuatu. Tanpa memakai pakaian luar, tanpa jaket dan tanpa rasa takut, dia melangkah masuk ke dalam kawasan yang sedang dikepung polis, menolak halangan dan berjaya masuk ke dalam restoran itu.
Apa yang berlaku seterusnya menjadi sejarah. Si ibu yang hanya membawa beg tangan pergi mendekati anaknya yang sedang memegang senapang. Dengan suara lantang dan muka berang, dia menegur Atkinson bukan sebagai penjenayah tetapi sebagai seorang anak yang telah memalukan keluarga.
Katanya, “Berhentilah buat kerja bodoh ini, Amos!” Diikuti dengan satu pukulan menggunakan beg tangan ke kepala anaknya. Semua yang menyaksikan kejadian itu termasuk polis, tebusan dan Atkinson sendiri terus tergamam.
Dalam suasana penuh kekeliruan dan emosi, Amos Atkinson yang kelihatan tergoncang dengan kehadiran ibunya akhirnya meletakkan senjata. Dia menyerah diri tanpa sebarang insiden keganasan atau tembakan dilepaskan. Para tebusan dibebaskan dalam keadaan selamat. Tiada kecederaan. Tiada kematian. Hanya rasa lega dan kehairanan yang menyelubungi suasana.
Insiden ini kemudian menjadi antara kisah penyanderaan paling luar biasa dalam sejarah Australia bukan kerana tindakan jenayah itu sendiri tetapi kerana cara ia diselesaikan. Ia tidak berakhir dengan unit khas polis atau letupan dramatik tetapi sebaliknya penyelesaian datang dalam bentuk seorang ibu yang berani, tegas dan tidak takut menghadapi anaknya sendiri demi menghentikan tragedi. Media melaporkan kejadian itu secara meluas, dan ibu Amos Atkinson dilihat sebagai wira yang menyelamatkan nyawa puluhan orang hanya dengan keberanian dan kasih sayang seorang ibu.
Catat Ulasan for "Sandera di Restoran: Kisah Amos Atkinson dan Tamparan Seorang Ibu"