Google Street View Rakam Pembunuhan: Kisah Jorge di Tajueco

Tajueco ialah sebuah kampung kecil yang terletak di wilayah Soria, Sepanyol. Kampung yang sunyi itu agak terpencil dan hampir tidak dikenali dunia luar. Namun pada akhir tahun 2024, nama Tajueco tiba-tiba menjadi tular kerana satu pembunuhan kejam yang secara tidak sengaja dirakam oleh kamera kereta Google Street View.
Mangsa dalam kes ini ialah seorang lelaki warga Cuba berusia 32 tahun, Jorge Luis Perez Ochandarena. Dia telah lama menetap di Sepanyol dan menjalani kehidupan biasa. Namun pada suatu hari, Jorge menghilangkan diri tanpa sebarang petanda. Kehilangannya menjadi semakin mencurigakan apabila keluarganya menerima satu mesej ganjil daripada nombor telefonnya. Mesej itu menyatakan bahawa Jorge telah menemui seorang wanita yang akan mengubah hidupnya dan dia kini membuat keputusan untuk meninggalkan Soria serta membuang telefonnya. Pada zahirnya, mesej itu mungkin dianggap sebagai penamat kisah cinta yang mengejutkan. Bagi keluarganya, kata-kata dalam mesej tersebut kedengaran terlalu pelik dan tidak seperti Jorge yang mereka kenal.
Keraguan keluarga Jorge mendorong mereka membuat laporan polis. Pihak berkuasa tempatan segera melancarkan siasatan tetapi tidak menemui sebarang jejak Jorge. Siasatan menjadi lebih rumit kerana tiada saksi yang mendakwa melihatnya selepas tarikh mesej itu dihantar. Walau bagaimanapun, titik tolak dalam kes ini berlaku apabila satu pasukan penyiasat digital memutuskan untuk menyemak imej persekitaran kampung Tajueco melalui Google Maps terutamanya melalui fungsi Street View.
Apa yang mereka temui mengejutkan. Dalam satu paparan Google Street View yang dirakam beberapa bulan sebelumnya oleh kereta Google, kelihatan seorang lelaki sedang mengheret sebuah bungkusan putih besar yang bentuknya seakan-akan tubuh manusia yang dibalut ke arah sebuah kereta berwarna merah. Dalam imej lain yang dirakam di laluan berbeza kampung yang sama, objek besar itu kelihatan sedang ditolak menggunakan kereta sorong. Walaupun imej-imej ini kabur, ia cukup untuk menimbulkan kecurigaan dan membuka laluan baru dalam siasatan.

Pihak berkuasa segera mengenal pasti lokasi rakaman dan mengaitkannya dengan sebuah premis yang dimiliki oleh seorang wanita tempatan. Setelah siasatan lanjut dijalankan, dua suspek ditahan yakni seorang wanita yang dikenal pasti sebagai isteri Jorge dan seorang lelaki bekas kekasih wanita itu yang juga merupakan pemilik sebuah bar tempatan. Motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada hubungan cinta segi tiga dan dendam peribadi.
Siasatan mendalam mendedahkan sesuatu yang lebih mengerikan. Jorge bukan sahaja dibunuh tetapi tubuhnya telah dipotong dan disorok di beberapa lokasi. Sebahagian besar mayatnya ditemui dikebumikan secara cetek di tanah perkuburan tua di kampung berhampiran yang dikenali sebagai Andaluz. Teknik pembunuhan dan cubaan menyembunyikan mayat menunjukkan tahap perancangan yang teliti tetapi tidak cukup teliti untuk mengelakkan lensa kamera Google Street View.
Kes ini segera menjadi buah mulut ramai. Dunia dikejutkan dengan bagaimana satu jenayah yang hampir sempurna terbongkar hanya kerana satu kereta Google yang secara rawak merakam gambar jalanan. Imej-imej yang pada awalnya kelihatan remeh berubah menjadi bukti penting dalam penyelesaian jenayah. Dalam sidang media, pihak polis mengakui bahawa tanpa imej tersebut, siasatan mungkin akan menjadi buntu dalam tempoh yang lebih lama. Mereka juga menyatakan bahawa walaupun gambar itu tidak cukup jelas untuk dijadikan bukti muktamad di mahkamah, ia telah memberikan petunjuk kritikal yang membawa kepada penemuan lokasi mayat dan suspek. Sementara itu, kedua-dua suspek dalam kes ini masih kekal di penjara sementara menunggu proses kehakiman selanjutnya.
Catat Ulasan for "Google Street View Rakam Pembunuhan: Kisah Jorge di Tajueco"