Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH LEGENDA URBAN: THE PAINTED SKIN (KULIT YANG DILUKIS)

     Dalam warisan cerita rakyat kuno dari China, terdapat sebuah kisah yang telah menghantui generasi demi generasi. Ia dikenali sebagai The Painted Skin, atau dalam terjemahan bebasnya, “Kulit yang Dilukis.” Legenda ini telah dikisahkan semula dalam pelbagai bentuk  dari penulisan klasik oleh Pu Songling dalam koleksi Liaozhai Zhiyi hinggalah kepada filem moden yang menggabungkan unsur cinta dan kegelapan.

     Kisah bermula dengan seorang lelaki muda bernama Wang Sheng, seorang sarjana yang tinggal di sebuah daerah terpencil. Wang Sheng digambarkan sebagai lelaki baik, berbudi bahasa dan beristerikan seorang wanita setia bernama Chen. Pada suatu hari yang suram, Wang Sheng bertemu dengan seorang gadis muda yang cantik jelita sedang berdiri keseorangan di tengah jalan. Tubuhnya menggigil, pakaian lusuh dan wajahnya begitu kesedihan. Gadis itu mendakwa bahawa dia telah melarikan diri dari rumah kerana dianiaya oleh keluarga angkatnya. Hati Wang Sheng yang mudah simpati tidak sanggup membiarkan gadis itu terus menderita lalu dia membawanya pulang dan menempatkannya di bilik rahsia di rumahnya yakni tanpa pengetahuan isterinya.

   BbHari demi hari, Wang Sheng semakin tertarik dengan gadis misteri itu. Kecantikannya yang seolah-olah sempurna, suaranya yang lembut serta tingkah lakunya yang manja membuatkan dia terbuai dalam satu dunia yang palsu. Sementara itu, isteri Wang Sheng, Chen mula berasa ada sesuatu yang tidak kena. Suaminya semakin menjauh, kerap pulang lewat malam dan sering mengelak untuk berjumpa dengannya. Pada masa yang sama, suasana rumah mereka mula berubah. Bau hanyir kadangkala memenuhi udara dan suara aneh kedengaran pada waktu malam. Namun Wang Sheng enggan percaya pada sebarang tanda pelik yang muncul kerana dia sudah terperangkap dalam godaan yang memukau.

     Apa yang Wang Sheng tidak tahu, gadis yang disangkanya mangsa itu sebenarnya bukan manusia. Ia adalah makhluk halus pemakan jiwa yang sering kali digambarkan dalam bentuk roh jahat atau syaitan betina yang menyamar sebagai manusia menggunakan kulit manusia yang dicuri. Setiap malam, makhluk itu akan melucutkan kulitnya dan menggantungnya di dinding sekali gus mendedahkan wujud asalnya yang mengerikan, tubuh tanpa kulit yang penuh urat serta daging merah berlumuran darah. Kulit manusia itu bukan sekadar penyamaran tetapi juga alat untuk memburu mangsa baru dengan cara menggoda, menyesatkan dan akhirnya membunuh.

     Apabila Wang Sheng jatuh sakit secara tiba-tiba dan hampir tidak sedarkan diri, Chen yang setia mula mencari jawapan. Dia mendapatkan bantuan seorang pertapa Tao yang terkenal dengan kebolehan melihat dunia ghaib. Pertapa itu memberi amaran bahawa Wang Sheng sedang diganggu oleh roh jahat yang menggunakan tubuh manusia sebagai topeng. Mereka berdua sama-sama kembali ke rumah sebelum menemui kebenaran yang amat mengejutkan di dalam bilik rahsia di mana tergantung sehelai kulit manusia yang sempurna seolah-olah dilukis dan diwarnakan dengan teliti. Ia bukan pakaian tetapi ia adalah kulit sebenar.

     Makhluk itu akhirnya menyerang. Dalam satu pertempuran spiritual yang sengit antara pertapa dan makhluk berwajah jelita itu, kulit yang dilukis terbakar dalam nyala api suci. Wujud asal makhluk itu melolong kesakitan sebelum lenyap menjadi asap hitam yang berputar dan hilang di udara. Wang Sheng yang hampir mati diselamatkan namun jiwanya telah cedera bukan disebabkan oleh makhluk itu semata-mata tetapi oleh dosa pengkhianatan dan kelalaian sendiri.

Catat Ulasan for "KISAH LEGENDA URBAN: THE PAINTED SKIN (KULIT YANG DILUKIS)"