Kecurangan Terbongkar di Google Maps: Kisah Benar dari Peru yang Menjadi Tular

Pada tahun 2018, satu kisah luar biasa berlaku yang membuktikan betapa teknologi moden mampu mendedahkan rahsia yang selama ini tersembunyi. Seorang lelaki dari Peru telah menemui bukti kecurangan isterinya bukan melalui mesej, media sosial atau rakaman kamera litar tertutup tetapi menerusi satu aplikasi yang jarang dikaitkan dengan hal-hal peribadi iaitu Google Maps.
Kejadian tersebut berlaku apabila lelaki berkenaan sedang menggunakan perkhidmatan Google Street View, satu ciri dalam Google Maps yang membolehkan pengguna melihat pemandangan jalan secara panorama 360 darjah. Ketika itu, dia sedang merancang satu perjalanan untuk urusan kerja dan kebetulan ingin melihat keadaan sekitar Puente de los Suspiros yakni sebuah lokasi pelancongan romantik serta ikonik yang terletak di bandar ibu negara Peru, Lima. Tempat ini terkenal sebagai lokasi bersejarah dan sering dikunjungi oleh pasangan kekasih untuk bersiar-siar atau bergambar.
Namun tanpa disangka ketika dia sedang menatal imej-imej kawasan tersebut, matanya tertumpu pada satu paparan yang mencetuskan rasa tidak sedap hati. Dalam imej itu, kelihatan seorang wanita sedang duduk di atas bangku awam di tepi laluan dengan seorang lelaki tidak dikenali berada di sisinya. Wanita itu kelihatan mesra dan sedang bersandar di paha lelaki tersebut. Pada pandangan pertama, mungkin ia kelihatan seperti sepasang kekasih yang sedang menikmati saat romantik di lokasi yang indah. Cuma bagi lelaki itu, terdapat sesuatu yang sangat dikenali pada sosok tubuh wanita tersebut.
Meskipun wajah individu dalam imej Google Street View itu dikaburkan oleh sistem demi menjaga privasi, lelaki tersebut segera mengenal pasti wanita itu sebagai isterinya sendiri. Dia mengenal pasti ciri-ciri fizikal seperti bentuk tubuh, gaya rambut serta pakaian yang dipakai, satu set pakaian yang pernah dilihat dipakai oleh isterinya sebelum ini. Tambahan pula, waktu penggambaran imej tersebut dipercayai berlaku dalam tempoh di mana si isteri memberikan alasan sibuk bekerja dan pulang lewat tanpa penjelasan yang jelas.
Rasa tidak percaya, marah dan sedih bercampur baur apabila dia menyedari isterinya pernah berada di tempat itu dengan seorang lelaki asing dalam keadaan intim. Bagi mendapatkan kepastian, dia menyimpan imej itu dan membawa perkara tersebut untuk berdepan dengan isterinya. Pada awalnya, si isteri cuba menafikan tuduhan tersebut. Namun apabila ditunjukkan bukti imej dari Google Street View yang jelas menunjukkan dirinya, akhirnya wanita itu terpaksa mengaku bahawa dia memang pernah menjalin hubungan sulit dan telah keluar dengan lelaki tersebut tanpa pengetahuan suaminya. Menurut laporan, imej itu sebenarnya telah lama wujud dalam sistem Google Street View sejak 2013.

Bb Pengakuan itu benar-benar menghancurkan hati lelaki itu. Kepercayaan yang selama ini diberikan musnah dalam sekelip mata. Mereka kemudiannya mengambil keputusan untuk berpisah dan rumah tangga yang dibina selama bertahun-tahun musnah hanya kerana satu detik yang secara kebetulan dirakam oleh kenderaan Google Maps yang sedang menjalankan pemetaan.
Kisah ini menjadi tular di media sosial dan dilaporkan oleh pelbagai portal berita termasuk media antarabangsa. Ramai yang menganggapnya sebagai contoh nyata bagaimana teknologi moden seperti Google Maps boleh menjadi alat tanpa sengaja yang mendedahkan kecurangan dan penipuan dalam hubungan. Lebih menarik, insiden ini turut menimbulkan perdebatan tentang batas privasi dan akibat tindakan di ruang awam. Ramai netizen menyatakan bahawa dalam dunia digital hari ini, apa sahaja yang berlaku di tempat terbuka berpotensi untuk dirakam, disimpan dan akhirnya tersebar sama ada melalui kamera pengawasan, rakaman orang awam atau seperti dalam kes ini, kenderaan pemetaan Google Street View.
Catat Ulasan for "Kecurangan Terbongkar di Google Maps: Kisah Benar dari Peru yang Menjadi Tular"