Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Benar Kwame Ajamu yang Dipenjara 27 Tahun Akibat Dianiayai


     Dalam sejarah sistem keadilan jenayah di Amerika Syarikat, terdapat banyak kisah menyayat hati tentang individu yang dihukum secara salah tetapi kisah Kwame Ajamu berdiri sebagai antara yang paling menyentuh hati. Dia merupakan simbol ketabahan, kecekalan dan pengampunan setelah menghabiskan hampir tiga dekad dalam penjara atas kesalahan yang tidak pernah dilakukannya. Kisah hidupnya membuka mata dunia terhadap kelemahan sistem perundangan serta ketidaksempurnaan yang boleh menyebabkan individu tidak bersalah kehilangan kebebasan, maruah dan sebahagian besar hidup mereka.

     Kwame Ajamu yang dilahirkan dengan nama Joe DeWayne Gilliam, membesar di Cleveland, Ohio. Pada tahun 1975 yakni ketika usianya baru mencecah 17 tahun, dia bersama abangnya, Wiley Bridgeman dan rakan mereka iaitu Ricky Jackson telah dituduh membunuh seorang ahli perniagaan bernama Harold Franks. Pembunuhan tersebut berlaku di luar sebuah kedai runciti. Menurut pihak berkuasa, Harold Franks telah ditembak dan disimbah dengan asid semasa cubaan rompakan. Namun apa yang paling mengejutkan ialah ketiga-tiga remaja ini telah dijatuhi hukuman berdasarkan hanya bukti keterangan seorang budak lelaki berusia 12 tahun, Edward Vernon.

     Edward Vernon mendakwa dia melihat kejadian tersebut dan mengenal pasti ketiga-tiga tertuduh. Meskipun tiada bukti fizikal seperti cap jari, senjata atau saksi lain yang menyokong kenyataan Vernon, pihak pendakwaan tetap meneruskan kes tersebut. Ricky Jackson dijatuhi hukuman mati. Begitu juga dengan Wiley Bridgeman manakala Kwame Ajamu  dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana masih di bawah umur. Pada tahun 1978, Mahkamah Agung Ohio telah mengisytiharkan bahawa bentuk hukuman mati yang digunakan ketika itu adalah bercanggah dengan perlembagaan negeri. Keputusan itu menyelamatkan Ricky serta Wiley daripada dihukum mati dan hukuman mereka telah ditukar kepada penjara seumur hidup. 

     Selama bertahun-tahun Kwame Ajamu bertahan di dalam penjara, dia menegaskan bahawa dirinya tidak bersalah. Walaupun sistem menolak rayuannya berkali-kali,dia tidak pernah putus harapan. Pada tahun 2003, dia akhirnya dibebaskan atas dasar parolselepas menjalani 27 tahun di sebalik tirai besi. Sabitan jenayah terhadapnya bagaimanapun masih kekal. Walaupun bebas dari segi fizikal, dia tetap membawa beban sebagai banduan bersalah yang menyukarkan peluang pekerjaan, pergaulan masyarakat dan pemulihan emosi.

     Perkembangan besar berlaku pada tahun 2011 apabila Edward Vernon akhirnya tampil dengan pengakuan yang mengejutkan. Setelah memendam rasa bersalah selama berdekad-dekad, Vernon mengaku bahawa kesaksiannya pada tahun 1975 adalah palsu. Dia mendedahkan bahawa ketika itu dirinya telah dipaksa oleh pihak polis untuk membuat kenyataan palsu. Vernon hanya seorang budak kecil yang takut dan mudah dipengaruhi. Dia tidak melihat siapa yang membunuh Harold Franks. Akibat pengakuan berani itu, maka kes Kwame Ajamu, Wiley Bridgeman dan Ricky Jackson dibuka semula.

     Pada tahun 2014, mahkamah Ohio secara rasmi membatalkan sabitan terhadap ketiga-tiga mereka. Mereka akhirnya diisytiharkan tidak bersalah setelah lebih 39 tahun dituduh dan setelah dua daripada mereka, Ricky dan Wiley menghabiskan hampir 40 tahun dalam penjara. Pembatalan ini menjadikan mereka antara individu yang paling lama dipenjara secara salah dalam sejarah Amerika Syarikat. Kwame Ajamu yang telah hidup sebagai orang bebas selama lebih sedekad ketika itu akhirnya dibersihkan namanya sepenuhnya. Cuma tidak ada ganti rugi yang mampu mengembalikan masa muda, impian dan hubungan yang terkorban selama bertahun-tahun dalam kurungan.

     Sejak pembebasan dan pemulihan namanya, Kwame Ajamu tidak menyimpan dendam. Dia sebaliknya menggunakan pengalamannya untuk membantu orang lain. Kwame menjadi aktivis dalam isu keadilan jenayah dan terlibat dalam organisasi seperti Witness to Innocence, sebuah pertubuhan yang terdiri daripada bekas banduan hukuman mati yang dibebaskan secara salah. Dia sering dijemput untuk memberi ceramah, berkongsi kisah hidupnya dan memberi inspirasi kepada mereka yang mengalami ketidakadilan. 

Catat Ulasan for "Kisah Benar Kwame Ajamu yang Dipenjara 27 Tahun Akibat Dianiayai"