Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Kematian Aisyah yang Benar-Benar Menyedihkan

     Kes kematian tragis seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dikenali sebagai Aisyah dari Dusun Paponan, Desa Bejen, Kecamatan Bejen, Temanggung, Jawa Tengah telah menggemparkan negara Indonesia pada Mei 2021 hingga menjadi topik perbualan hangat dalam media massa serta platform media sosial. Kematian Aisyah yang penuh misteri serta menyayat hati telah membuka perbincangan tentang batas antara kepercayaan tradisional, kurangnya ilmu keibubapaan, kecuaian terhadap kesihatan mental dan keselamatan kanak-kanak.

     Segalanya terbongkar apabila ahli keluarga besar Aisyah mula menyedari ketiadaan kanak-kanak itu semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri. Mereka yang berkunjung ke rumah ibu bapa Aisyah, Marsidi (42 tahun) dan Suwarthinah (38 tahun) berasa hairan kerana tidak melihat kelibat Aisyah yang biasanya aktif dan ceria. Setelah didesak, mereka akhirnya menemui satu pemandangan yang amat mengerikan iaitu mayat Aisyah terbaring di atas tilam dalam bilik dalam keadaan sudah mengering sepenuhnya. Tubuhnya tidak lagi kelihatan seperti jasad biasa tetapi sebaliknya telah menjadi seperti mumia yakni  hanya tinggal kulit yang melekap pada rangka. Lebih mengejutkan, jasad itu telah disimpan selama lebih empat bulan tanpa dikebumikan. Bau busuk yang biasanya terhasil akibat proses pereputan tidak terhidu kerana tubuh Aisyah telah kering dan diawet secara semula jadi akibat keadaan cuaca serta persekitaran rumah tersebut.

     Siasatan awal oleh pihak berkuasa mendapati bahawa Aisyah tidak meninggal dunia secara semula jadi. Dia sebaliknya menjadi mangsa ritual ruqyah yang dilakukan oleh ibu bapanya sendiri dengan bantuan dua orang dukun tempatan yang dikenali sebagai Haryono (56 tahun) dan Budiono (43 tahun). Kedua-dua individu ini dikenali oleh penduduk kampung sebagai pengamal perubatan tradisional. Menurut keterangan yang diperoleh daripada siasatan polis, ibu bapa Aisyah percaya bahawa anak mereka telah dirasuk oleh makhluk halus yang digelar genderuwo, sejenis makhluk mitos dalam budaya Jawa. Mereka menganggap Aisyah terlalu nakal dan tidak boleh dikawal serta mempercayai bahawa tingkah lakunya disebabkan oleh gangguan roh jahat. Maka, mereka mengambil keputusan untuk mengubati anak itu melalui kaedah spiritual.

     Dalam satu sesi ritual yang dipercayai sebagai ruqyah tersebut, Aisyah telah ditenggelamkan ke dalam sebuah bak mandi dengan tujuan untuk mengusir makhluk halus dari tubuhnya. Malangnya, tindakan ini menyebabkan Aisyah lemas dan akhirnya meninggal dunia. Namun apa yang lebih menyedihkan, kedua-dua ibu bapanya yang ketika itu sudah termakan bulat-bulat dengan kepercayaan bahawa Aisyah hanya tidak sedarkan diri langsung tidak membawa anak mereka ke hospital atau memaklumkan kepada sesiapa. Mereka menyangka kononnya Aisyah akan bangun semula selepas makhluk halus itu meninggalkannya seperti yang dijanjikan oleh para dukun tersebut.

     Selepas kematiannya, jasad Aisyah tidak dikebumikan dengan hanya dibiarkan terbaring di dalam bilik selama berbulan-bulan. Rumah mereka turut dikunci dan dikatakan seolah-olah menjadi tempat penyimpanan rahsia besar itu. Tidak diketahui dengan jelas sama ada jiran tetangga tidak menyedari bau yang pelik atau sengaja tidak mahu mencampuri urusan keluarga tersebut. Cuma apabila kes ini terbongkar, pihak polis segera bertindak dan menahan empat individu terbabit termasuk ibu bapa Aisyah dan dua dukun berkenaan untuk siasatan lanjut di bawah undang-undang berkaitan penderaan dan pembunuhan kanak-kanak. Tiada maklumat rasmi yang tersedia mengenai hukuman yang telah dijatuhkan ke atas ibu bapa Aisyah dan dua dukun yang terlibat dalam kes ini. 

     Kes ini juga menimbulkan pelbagai persoalan besar. Apakah yang menyebabkan ibu bapa sanggup mempercayai ritual yang tidak berpaksikan ilmu dan logik sehingga sanggup mengorbankan nyawa anak sendiri? Apakah faktor pendidikan, tekanan hidup atau budaya yang menyuburkan kepercayaan karut seperti ini? Lebih membimbangkan, peristiwa ini bukanlah kes terpencil. Di banyak kawasan luar bandar, masih terdapat segelintir masyarakat yang lebih mempercayai pengamal perubatan tradisional daripada profesional kesihatan.

     Seorang penulis di platform Kompasiana turut berkongsi kisah peribadinya yang pernah dilabel sebagai anak nakal sejak kecil dan hanya pada usia dewasa disedari bahawa dia sebenarnya mengalami gangguan seperti ADHD (Attention deficit hyperactivity disorder). Ini menunjukkan bahawa ramai ibu bapa mungkin tidak sedar bahawa tingkah laku anak yang dianggap tidak normal sebenarnya berpunca daripada kondisi psikolog atau neurologi yang boleh dirawat secara klinikal bukannya melalui ritual atau hukuman. Malangnya dalam kes Aisyah, label "nakal" itu membawa kepada penganiayaan dan kematian.

Catat Ulasan for "Kisah Kematian Aisyah yang Benar-Benar Menyedihkan"