Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Edgar Latulip: Lelaki Yang Hilang Selama 30 Tahun dan Menemui Semula Dirinya

     Pada tahun 1986, seorang lelaki muda berusia 21 tahun bernama Edgar Latulip telah dilaporkan hilang dari Kitchener, Ontario, Kanada. Edgar bukanlah remaja biasa. Dia mengalami masalah perkembangan intelek yang menyebabkan tahap mentalnya setara dengan seorang kanak-kanak berusia kira-kira 12 tahun. Selain itu, Edgar juga bergelut dengan isu kesihatan mental dan tekanan emosi. Pada waktu itu, dia tinggal di sebuah rumah kumpulan khas untuk individu yang memerlukan pemantauan dan bantuan harian. Beberapa minggu sebelum kehilangannya, Edgar telah cuba membunuh diri dan baru sahaja keluar dari hospital psikiatri.

     Kehilangannya berlaku apabila dia keluar dari rumah tersebut dan menaiki sebuah bas menuju ke Niagara Falls yakni lokasi yang sering dikaitkan dengan cubaan membunuh diri. Disebabkan latar belakang kesihatan mentalnya serta keadaan emosinya ketika itu, polis dan keluarganya mengandaikan Edgar mungkin telah membunuh diri dengan terjun dari air terjun Niagara. Tiada bukti kukuh untuk menyokong andaian itu tetapi ketiadaan petunjuk lain menyebabkan pencarian terhadap Edgar menjadi semakin sukar. Kesnya dimasukkan ke dalam senarai orang hilang dan terus kekal tanpa jawapan selama hampir tiga dekad.

     Apa yang sebenarnya berlaku sangat luar biasa. Selepas tiba di Niagara Falls, Edgar dipercayai mengalami kecederaan kepala sama ada akibat terjatuh atau diserang yang menyebabkan dia hilang ingatan sepenuhnya. Edgar tidak tahu siapa dirinya, dari mana asalnya atau apa yang telah berlaku. Tanpa memori dan tanpa identiti, Edgar mula hidup sebagai orang lain. Dia berpindah ke bandar berdekatan iaitu St. Catharines lalu mula membina kehidupan baharu. Dalam keadaan tanpa keluarga dan tanpa latar belakang yang jelas, Edgar hidup selama bertahun-tahun di bawah identiti baru yang tidak didaftarkan secara rasmi. Disebabkan tahap mentalnya yang terhad, dia tidak sedar bahawa dirinya adalah orang yang sedang dicari.

     Selama 30 tahun, tiada sesiapa yang mengesyaki bahawa lelaki ini adalah Edgar Latulip. Dalam tempoh itu, keluarganya terus berharap dan berdoa agar dia masih hidup. Pihak berkuasa pula menganggap kes tersebut telah menjadi kes sejuk (cold case) yang sukar diselesaikan. Namun pada awal tahun 2016, sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Edgar yang ketika itu berusia lebih 50 tahun mula mengalami kilas balik memori di mana imej-imej atau serpihan kenangan yang datang secara tiba-tiba. Walaupun tidak lengkap, ia cukup untuk menimbulkan keraguan dalam dirinya. Dia mula tertanya-tanya siapa dirinya yang sebenar.

     Edgar kemudian berkongsi keraguan tersebut dengan seorang pekerja sosial yang rapat dengannya. Pekerja sosial itu menyedari kemungkinan besar Edgar ialah mangsa kehilangan ingatan. Dia kemudian membuat carian dalam talian menggunakan nama dan butiran yang diingati Edgar. Tidak lama selepas itu, mereka menemui laporan kehilangan dari tahun 1986 yang sepadan dengan deskripsi dan latar belakang Edgar. Laporan itu menyatakan bahawa seorang lelaki bernama Edgar Latulip telah hilang ketika berusia 21 tahun dan mempunyai masalah kesihatan mental.  

     Maklumat ini seterusnya diserahkan kepada pihak berkuasa. Polis membuka semula fail kes lama tersebut dan melakukan siasatan lanjut. Edgar bersetuju untuk menjalani ujian DNA bagi mengesahkan identitinya. Beberapa minggu kemudian, keputusan ujian DNA mengesahkan bahawa dia sememangnya Edgar Latulip yang hilang hampir 30 tahun lalu. Berita ini mengejutkan ramai pihak terutama sekali keluarganya. Kegembiraan dan kesyukuran bercampur-baur dengan rasa tidak percaya. Seorang anak yang disangka telah mati, rupa-rupanya masih hidup  dan hanya berada sekitar satu jam perjalanan dari tempat asalnya.

     Penemuan ini menjadi antara kisah paling luar biasa dalam sejarah kehilangan orang di Kanada. Edgar Latulip menjadi satu-satunya individu yang pernah menyelesaikan sendiri kes kehilangannya melalui pemulihan ingatan secara semula jadi. 

Catat Ulasan for "Kisah Edgar Latulip: Lelaki Yang Hilang Selama 30 Tahun dan Menemui Semula Dirinya"