Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KES ROMPAKAN LUFFY DI JEPUN

     Bermula dari tahun 2021 hingga awal 2023, Jepun digegarkan oleh satu siri jenayah rompakan bersenjata dan serangan ganas yang berlaku di pelbagai wilayah, termasuk Tokyo, Kanagawa, Osaka dan Fukuoka. Kes-kes ini kelihatan pada awalnya seperti insiden rompakan biasa tetapi siasatan mendalam oleh pihak berkuasa mendedahkan satu jaringan jenayah yang sangat kompleks, terancang dan diketuai oleh suspek yang berada di luar sempadan Jepun. Sindiket tersebut dikendalikan oleh beberapa warga Jepun yang sedang ditahan di pusat imigresen di Filipina dan ketuanya menggunakan nama samaran "Luffy", diambil daripada watak anime popular One Piece

     Modus operandi sindiket "Luffy" amat canggih dan menggabungkan penggunaan teknologi komunikasi moden dengan perekrutan melalui media sosial. Sindiket ini aktif menggunakan aplikasi pesanan terenkripsi seperti Telegram dan WhatsApp untuk memberikan arahan secara terperinci kepada pelaku-pelaku jenayah di lapangan. Mereka merekrut individu yang terdesak terutama golongan remaja atau golongan muda yang menghadapi masalah kewangan melalui iklan kerja gelap dikenali sebagai yami baito yang menjanjikan pulangan lumayan tanpa perlu memberikan butiran peribadi. Tawaran seperti ini biasanya muncul di platform media sosial seperti Twitter atau Instagram sekali gus menjadikan ia sukar untuk dijejaki oleh pihak berkuasa. Setelah direkrut, mereka akan diberikan tugas seperti menjadi penghantar wang, pencuci duit atau pelaksana rompakan secara langsung termasuk serangan ke atas rumah-rumah warga emas.

     Antara kes yang paling mendapat liputan meluas adalah kes pembunuhan seorang wanita tua berusia 90 tahun di Komae, Tokyo pada Januari 2023. Mangsa ditemui mati dalam rumahnya selepas diserang dengan kejam. Siasatan mendapati bahawa kejadian tersebut adalah sebahagian daripada siri serangan yang diarahkan oleh "Luffy" dari Filipina. Mangsa dipilih secara rawak berdasarkan lokasi yang dikenal pasti mempunyai warga emas bersendirian hingga menjadikan mereka sasaran mudah. Dalam kebanyakan kes, sindiket ini juga memperolehi maklumat peribadi mangsa melalui sumber tidak sah seperti kebocoran data atau pembelian data gelap dalam talian.

     Lebih membimbangkan, "Luffy" dan konco-konconya tidak terlibat secara fizikal dalam mana-mana rompakan tersebut. Mereka hanya memberikan arahan, menyusun jadual serangan dan menguruskan aliran wang melalui rangkaian pencuci duit. Ini menjadikan kes ini sangat mencabar kepada pihak berkuasa Jepun kerana walaupun pelaku di lapangan berjaya ditahan tetapi dalang utama kekal bebas di luar negara dan tidak mempunyai sebarang jejak digital yang jelas. 

     Namun hasil daripada kerjasama antarabangsa antara pihak berkuasa Jepun dan Filipina selain tekanan diplomatik yang kuat, empat suspek utama termasuk individu yang dipercayai sebagai "Luffy" akhirnya diekstradisi ke Jepun pada Februari 2023. Mereka kini sedang menghadapi pendakwaan atas pelbagai pertuduhan termasuk arahan pembunuhan, rompakan bersenjata, pengubahan wang haram dan penubuhan organisasi jenayah. Dalam siasatan lanjut, pihak berkuasa turut mendapati sindiket ini mempunyai kaitan dengan pelbagai jaringan jenayah lain di Asia Tenggara termasuk sindiket penipuan dalam talian dan pemerdagangan manusia.

Catat Ulasan for "KES ROMPAKAN LUFFY DI JEPUN"