Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH MYUNG JAE-WAN : Bunuh Murid Sendiri Akibat Kemurungan

     Pada tanggal 10 Februari 2025, satu kejadian telah berlaku dalam sebuah sekolah di Korea Selatan. Seorang guru sekolah rendah iaitu Myung Jae-wan yang berusia 48 tahun telah menikam hingga mati murid perempuannya yang baru berusia 8 tahun, Kim Ha-neul di bilik audiovisual sebuah sekolah rendah di daerah Daejeon. 

     Myung Jae-wan merupakan seorang guru yang telah berkhidmat selama lebih dua dekad dalam bidang pendidikan. Cuma di sebalik rekod perkhidmatan yang panjang, dia dikatakan telah lama bergelut dengan kemurungan yang berpanjangan. Menurut laporan penyiasatan, Myung mula menunjukkan tanda-tanda kemurungan sejak tahun 2018 tetapi terus mengajar tanpa rawatan jangka panjang yang konsisten. Pada Disember 2024, dia mengambil cuti sakit kerana keadaan mental yang memburuk. Walaupun keadaannya masih tidak stabil, Myung hanya diberikan cuti selama 21 hari dan kembali bertugas pada Januari 2025. Tiada penilaian psikologi menyeluruh atau pemerhatian lanjut dilakukan oleh pihak sekolah sebelum dia kembali mengajar di dalam bilik darjah. 

     Beberapa minggu sebelum kejadian, rakan sekerja Myung melaporkan perubahan sikapnya yang semakin membimbangkan. Dia pernah menyerang seorang guru lain di dalam bilik guru dan menunjukkan kecenderungan beremosi serta agresif yang tidak pernah dipamerkan sebelum ini. Walau bagaimanapun, aduan tersebut tidak membawa kepada tindakan disiplin mahupun pemeriksaan kesihatan mental yang menyeluruh oleh pihak pentadbiran sekolah. 

     Kejadian pembunuhan itu berlaku sekitar jam 9 pagi pada hari Isnin di mana Myung Jae-wan memanggil Kim Ha-neul ke bilik audiovisual sekolah dengan alasan untuk menghadiahkan sebuah buku. Tanpa pengetahuan sesiapa, Myung telah terlebih dahulu menyimpan sebilah pisau di dalam bilik tersebut sehari sebelumnya. Sebaik sahaja Kim memasuki bilik, Myung terus menikamnya beberapa kali hingga menyebabkan kecederaan parah yang akhirnya meragut nyawa murid malang itu di tempat kejadian. Selesai melakukan perbuatan kejam itu, Myung cuba membunuh diri dengan menikam lehernya sendiri tetapi sempat diselamatkan oleh kakitangan sekolah yang curiga dengan kekecohan dan menjumpainya dalam keadaan berlumuran darah.

     Pihak polis yang menjalankan siasatan mendapati bahawa pembunuhan tersebut telah dirancang. Myung dilaporkan telah melakukan carian internet beberapa hari sebelumnya berkaitan kaedah pembunuhan, jenis pisau yang sesuai serta kesan undang-undang terhadap jenayah seperti itu. Lebih mengejutkan, wanita terbabit juga meninggalkan pesanan kepada suaminya bahawa dia mahu membuat seseorang tidak bahagia seperti dirinya yang menguatkan teori bahawa pembunuhan ini adalah manifestasi tekanan mental dan keinginan untuk mencetuskan penderitaan kepada orang lain. Walau bagaimanapun, tidak terdapat sebarang hubungan konflik antara Myung dan Kim Ha-neul sekali gus menjadikan pembunuhan ini seolah-olah dilakukan secara rawak atas dasar dendam terhadap dunia dan kehidupan secara umum.

     Pada 27 Mac 2025, Pejabat Pendakwa Raya Daerah Daejeon secara rasmi mendakwa Myung Jae-wan atas kesalahan membunuh, merancang pembunuhan serta membawa senjata berbahaya ke dalam premis sekolah. Perbicaraan pertama telah berlangsung pada 28 April 2025. Dalam sesi pendakwaan awal, pihak pendakwa membentangkan bukti kukuh bahawa Myung berada dalam keadaan sedar dan waras semasa melakukan pembunuhan. Mereka menolak pembelaan tidak waras oleh pihak pembela, dengan hujah bahawa tindakannya telah dirancang, terancang dan melibatkan persiapan awal seperti penyimpanan senjata dan pemilihan lokasi.

     Sementara itu, keluarga mangsa khususnya bapa Kim Ha-neul meluahkan kesedihan mendalam serta kemarahan terhadap pihak sekolah dan pihak berkuasa tempatan. Dia menegaskan bahawa pihak sekolah sepatutnya memantau dan menilai tahap kesihatan mental guru-guru mereka dengan lebih serius. Kegagalan tersebut secara langsung membawa kepada kematian anaknya yang tidak berdosa. Sebagai tindakan lanjut, keluarga mangsa telah memfailkan saman sivil terhadap Myung Jae-wan, pengetua sekolah serta bandar Daejeon dengan menuntut ganti rugi sebanyak 410 juta won (sekitar RM1.5 juta). Saman itu difailkan atas alasan kecuaian pihak berwajib dalam memastikan keselamatan pelajar dan membenarkan seorang guru yang tidak stabil mental berinteraksi dengan murid.

Catat Ulasan for "KISAH MYUNG JAE-WAN : Bunuh Murid Sendiri Akibat Kemurungan"