Kisah Jung Yoo-jung: Wanita Paling Psiko di Korea Selatan Abad ini

Pada Mei 2023, Korea Selatan digemparkan dengan satu pembunuhan kejam yang dilakukan oleh seorang wanita muda bernama Jung Yoo-jung, 23 tahun. Kes ini menarik perhatian kerana motif luar biasa di sebalik jenayah tersebut iaitu keinginan untuk merasai sendiri pengalaman membunuh seseorang. Lebih dahsyat, pembunuhan ini bukan didorong oleh dendam, cemburu atau tekanan hidup tetapi sebaliknya semata-mata disebabkan rasa ingin tahu yang lahir daripada obsesi terhadap kandungan berkaitan jenayah.
Jung Yoo-jung merupakan seorang gadis muda dari Busan yang membesar dalam keadaan sosial yang agak terpencil. Dia tinggal bersama datuknya setelah ditinggalkan oleh kedua ibu bapanya sejak kecil. Selepas menamatkan sekolah menengah pada tahun 2018, Jung gagal melanjutkan pelajaran ke universiti walaupun telah mencuba beberapa kali. Kegagalan ini, ditambah dengan masa lapang yang tidak dimanfaatkan secara sihat sekali gus menjadikan Jung terlalu asyik dengan kandungan berkaitan jenayah. Menurut pihak polis, dia banyak menghabiskan masa menonton dokumentari pembunuhan dan membaca novel jenayah yang secara perlahan-lahan menanam minat tidak sihat dalam dirinya. Bermula dengan sekadar menonton dan membaca, lama-kelamaan Jung mula membayangkan dirinya berada di tempat pembunuh-pembunuh itu. Obsesi ini seterusnya berubah menjadi niat untuk mencuba sendiri perbuatan kejam itu di dunia nyata.

Jung pun mula merancang jenayahnya secara terperinci. Dia memanfaatkan sebuah aplikasi tuisyen dalam talian dengan menyamar sebagai ibu kepada seorang pelajar sekolah menengah yang sedang mencari guru tuisyen Bahasa Inggeris. Dia menghantar mesej kepada lebih 50 orang guru wanita sebelum berjaya menetapkan janji temu dengan seorang tutor wanita berusia 26 tahun. Bagi menampakkan penyamarannya lebih meyakinkan, Jung membeli pakaian seragam sekolah dan membawa beg sekolah bagi meniru imej pelajar remaja. Pada hari kejadian iaitu 26 Mei 2023, dia pergi ke rumah mangsa di Busan dalam keadaan menyamar sepenuhnya.
Setibanya di rumah mangsa, Jung menikam wanita tersebut berulang kali sehingga mati. Menurut laporan forensik, mangsa ditikam lebih daripada 100 kali, satu angka yang menunjukkan betapa ekstremnya tindakan Jung dan jelas menunjukkan niat membunuh yang amat kuat. Selepas memastikan mangsa benar-benar mati, Jung pulang ke rumahnya untuk mengambil beg troli dan kemudian kembali semula ke rumah mangsa dengan membawa peralatan seperti beg plastik, peluntur dan sarung tangan yang semuanya dibeli dari kedai berhampiran. Dia memotong mayat mangsa kepada beberapa bahagian dan meletakkannya ke dalam beg tersebut. Jari-jari mangsa turut dipotong bagi mengelakkan pengenalpastian menggunakan cap jari. Jung turut mengambil dompet, kad pengenalan dan telefon bimbit mangsa. Bagi melarikan diri tanpa dikesan, dia menukar pakaian kepada pakaian milik mangsa sebelum keluar dari rumah.

Langkah seterusnya ialah pelupusan mayat. Jung menaiki teksi menuju ke kawasan hutan berhampiran Sungai Nakdong di Yangsan dengan membawa beg troli yang mengandungi cebisan mayat. Rancangannya bagaimnaapun mula goyah apabila pemandu teksi yang dinaikinya menyedari ada kesan darah pada beg tersebut. Pemandu itu yang curiga dengan tingkah lakunya melaporkan kejadian tersebut kepada polis. Pihak berkuasa segera melakukan siasatan dan berjaya menemui mayat yang telah dikerat dalam hutan. Jung kemudiannya ditahan pada 27 Mei 2023 yakni hanya sehari selepas jenayah itu dilakukan.
Pada peringkat awal soal siasat, Jung memberikan pelbagai alasan. Dia mendakwa menemui mangsa dalam keadaan sudah tidak bernyawa serta menyatakan bahawa dia hanya membuang mayat tersebut kerana panik. Walau bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati wujud pembelian barangan berkaitan pembunuhan, penyamaran serta pemotongan jari mangsa. Semuanya menunjukkan bahawa pembunuhan ini telah dirancang secara teliti. Tidak lama kemudian, Jung mengaku kepada pihak polis bahawa dia sememangnya merancang untuk membunuh mangsa dan ingin mengetahui bagaimana rasanya membunuh seseorang secara nyata. Dia turut mengakui bahawa jenayah itu tiada kaitan dengan mangsa secara peribadi di mana mangsa hanyalah sasaran rawak yang dipilih kerana profesyennya sebagai tutor selain tinggal bersendirian.

Perbicaraan kes ini bermula beberapa bulan kemudian dan mendapat liputan meluas di seluruh negara. Pihak pendakwa raya memohon hukuman mati memandangkan kekejaman dan niat jenayah tersebut. Namun pada 24 November 2023, Mahkamah Daerah Busan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Jung Yoo-jung. Mahkamah turut mengarahkan agar dia memakai alat pemantauan elektronik selama 30 tahun jika dibebaskan kelak. Pihak pendakwa kemudiannya mengemukakan rayuan untuk mengenakan hukuman mati manakala pihak pembela memohon pengurangan hukuman. Pada 13 Jun 2024, Mahkamah Agung Korea Selatan mengekalkan keputusan penjara seumur hidup mengambil kira faktor usia, latar belakang sosial dan tahap kesedaran pelaku.
Catat Ulasan for "Kisah Jung Yoo-jung: Wanita Paling Psiko di Korea Selatan Abad ini"