Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Gelap Benito Guzman: Mayat Ditemui Dipotong-Potong, Teman Wanita Bunuh


      Pada bulan Ogos 2024, satu kejadian yang ngeri telah berlaku di pekan kecil Slocomb dalam daerah Geneva, Alabama, Amerika Syarikat. Seorang lelaki bernama Benito Morales Guzman yabg berusia 41 tahun telah ditemui mati dalam keadaan yang sangat mengerikan. Mayatnya telah dipotong-potong dan dimasukkan ke dalam beberapa beg sampah. Lebih mengejutkan, suspek utama pembunuhan ini ialah teman wanitanya sendiri, Joselina Elizabeth Lopez yang berusia 26 tahun.

     Segalanya bermula apabila Guzman tidak hadir ke tempat kerja sebelum tidak dapat dihubungi oleh rakan-rakannya. Setelah beberapa hari, mereka membuat laporan polis kerana bimbang sesuatu yang buruk telah berlaku. Polis mula menjalankan siasatan dan datang ke rumah tempat Guzman tinggal bersama teman wanitanya, Joselina Lopez.

     Di hadapan rumah, polis terlihat sebuah kereta Toyota Corolla yang mencurigakan. Bau busuk yang sangat kuat keluar dari dalam kereta tersebut. Apabila polis membuka bonet dan tempat duduk belakang, mereka menemui beberapa beg sampah berisi potongan tubuh manusia. Turut ditemui bersama mayat itu ialah gergaji rantai elektrik, pisau dapur, sarung tangan dan bahan pencuci. Gergaji itu masih mempunyai sisa daging manusia, menunjukkan mayat telah dipotong dengan alat tersebut.

     Hasil siasatan mendapati Lopez telah membeli empat buah gergaji rantai daripada sebuah kedai perkakas rumah terkenal, Lowe’s pada waktu sebelum kejadian. Ini menunjukkan kemungkinan bahawa dia merancang pembunuhan itu lebih awal. Selain itu,  polis juga menemui sepucuk pistol .22 kaliber dengan lima daripada enam peluru telah digunakan.

     Apa yang lebih menyedihkan, dalam sebuah beg lampin bayi, polis menemui kotak susu formula yang berlumuran darah. Penemuan ini mendedahkan kemungkinan besar anak kecil mereka yang berusia empat tahun turut berada di dalam rumah semasa pembunuhan berlaku. Anak hasil hubungan antara Guzman dan Lopez adalah seorang kanak-kanak istimewa. Kanak-kanak itu menghidap autisme dan beberapa kecacatan lain yang memerlukan penjagaan rapi. Keadaan ini pastinya memberi tekanan kepada ibu bapa mereka tetapi tidak pernah terbayang bahawa tekanan itu akan berakhir dengan pembunuhan kejam.

     Selepas pembunuhan, Lopez dipercayai cuba melarikan diri. Di dalam kereta, polis menemui pasport dan sijil kelahiran anaknya seolah-olah dia bersedia untuk melarikan diri ke luar negara, mungkin ke Mexico atau Guatemala. Ketika ditahan, Joselina Lopez mendakwa bahawa dia membunuh kerana mempertahankan diri. Katanya, Guzman telah menyerangnya terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak bersetuju dengan alasan ini. Mereka menunjukkan banyak bukti yang menunjukkan Lopez bertindak dengan sengaja dan merancang pembunuhan itu seperti membeli gergaji sebelum kejadian, menyembunyikan mayat dalam beg ,menyediakan bahan pencuci untuk membersihkan darah dan cuba melarikan diri bersama anak.

     Sementara bekas isteri Guzman yang dikenali sebagai Jennifer Wilkerson berasa amat sedih dengan kejadian ini. Dia berkata walaupun mereka telah berpisah, Guzman tetap menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dan masih berhubung dengannya demi anak-anak. Menurutnya, perbuatan Lopez adalah tidak berperikemanusiaan dan sangat kejam.

     Anak kecil mereka kini berada di bawah jagaan pihak kebajikan kanak-kanak. Disebabkan keperluan khasnya, kanak-kanak itu mungkin akan menerima rawatan dan pemantauan khas agar tidak mengalami trauma jangka panjang. Joselina Elizabeth Lopez telah ditahan tanpa ikat jamin dan sedang menunggu perbicaraan. Pihak pendakwaan akan berusaha membuktikan bahawa pembunuhan ini bukan kerana mempertahankan diri tetapi dilakukan dengan niat jahat dan perancangan awal.

Catat Ulasan for "Kisah Gelap Benito Guzman: Mayat Ditemui Dipotong-Potong, Teman Wanita Bunuh"