Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Agafia Lykova: Hidup Terasing Selama Puluhan Tahun di Hutan Siberia


     Kisah Agafia Lykova bermula pada tahun 1936 yakni ketika keluarganya mengambil keputusan drastik untuk melarikan diri ke dalam hutan Siberia yang terpencil. Ayahnya iaitu Karp Lykov ialah seorang penganut tegar ajaran Old Believers, satu aliran keagamaan ortodoks yang berpegang pada ajaran sebelum pembaharuan gereja Rusia. Tekanan dari kerajaan Soviet ketika itu yang menganiaya golongan beragama menyebabkan Karp membawa isterinya Akulina dan dua anak mereka, Savin dan Natalia lari ke kedalaman taiga untuk menjalani kehidupan yang terpencil, bebas dari campur tangan luar.

     Di tengah-tengah hutan, beratus-ratus kilometer dari penempatan manusia, keluarga Lykov membina pondok kayu dan mula hidup berdikari. Mereka menanam sayur seperti kentang, lobak, memburu haiwan liar dan menggunakan kulit pokok untuk dijadikan pakaian. Dua lagi anak Karp lahir di dalam hutan yang bernama Dmitry pada tahun 1940 dan Agafia pada tahun 1943. Agafia membesar tanpa pernah melihat manusia lain selain ahli keluarganya. Dia tidak tahu tentang kewujudan teknologi moden, radio atau bahkan bahawa manusia pernah ke angkasa.

     Kehidupan mereka sangat mencabar. Segala-galanya bergantung pada hasil tanaman dan sumber alam. Ketika musim sejuk yang panjang dan kejam, mereka terpaksa berlapar. Pada tahun 1961, Akulina meninggal dunia kerana tidak cukup makanan di mana dia memilih untuk memberi makan kepada anak-anaknya dahulu. Walau bagaimanapun, keluarga ini tetap meneruskan hidup dalam keheningan dan kesunyian selama puluhan tahun.

     Segalanya berubah pada tahun 1978 apabila sekumpulan ahli geologi Soviet yang menjalankan kerja penerokaan di kawasan pergunungan secara tidak sengaja menemui ladang kecil dari udara. Setelah menjejakinya, mereka terkejut menemui keluarga Lykov yang hidup seperti zaman dahulu kala. Pertemuan itu menjadi titik perubahan. Walaupun pada awalnya takut dan curiga, keluarga Lykov akhirnya membuka diri terhadap kunjungan para penyelidik.

     Namun tidak lama selepas pertemuan itu, tiga orang Karp, iaitu Savin, Natalia dan Dmitry telag meninggal dunia dalam tempoh beberapa bulan dipercayai akibat pendedahan kepada bakteria biasa yang sistem imun mereka tidak pernah hadapi. Karp Lykov pula meninggal dunia pada tahun 1988 sekali gus menjadikan Agafia satu-satunya yang masih hidup.

     Walaupun ditinggalkan sendirian, Agafia tetap memilih untuk tinggal di hutan. Ramai pihak menawarkan bantuan, rumah baru dan kehidupan selesa di bandar tetapi dia menolak. Baginya, hidup dekat dengan alam dan mengikut ajaran lama adalah kebahagiaan sebenar. Sejak itu, sukarelawan serta pihak berkuasa tempatan mula menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan dari semasa ke semasa.

   BbPada tahun 2021, rumah kayu kecil Agafia dibina semula oleh sukarelawan dan pekerja tempatan termasuk bantuan dari gabenor wilayah Kemerovo, Sergei Tsivilev. Rumah baru ini lebih kukuh serta tahan cuaca ekstrem Siberia selain lengkap dengan dapur kayu dan ruang tidur yang lebih selesa. Binaan itu dibuat setelah Agafia mengadu mengalami kesukaran menanggung musim sejuk dan keuzuran tubuhnya. Dia bagaimanapun tetap enggan meninggalkan taiga dan hanya meminta bantuan dalam bentuk peralatan asas, benih tanaman serta ubat-ubatan ringan. Walaupun usia semakin lanjut dan tubuhnya tidak sekuat dulu, Agafia masih meneruskan rutin harian seperti bercucuk tanam, mengumpul kayu api dan memasak sendiri. Dia juga menjalankan ibadat harian mengikut kepercayaan Old Believers.

     Kini pada tahun 2025, Agafia Lykova berusia 81 tahun dan masih hidup bersendirian jauh di pedalaman hutan Siberia. Dia hanya dikunjungi sekali-sekala oleh sukarelawan, wartawan atau pegawai tempatan yang menghantar bekalan. Cuma setiap kali ditawarkan untuk berpindah ke kawasan yang lebih selesa, jawapan Agafia tetap sama di mana dia tetap memilih untuk terus tinggal di tempat yang dianggapnya suci dan damai. 

Catat Ulasan for "Kisah Agafia Lykova: Hidup Terasing Selama Puluhan Tahun di Hutan Siberia"