Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

BUNUH KEKASIH KERANA DIEJEK TIDAK BERDUIT

     INDONESIA - Seorang pemandu e-hailing wanita ditemui mati dengan kesan tikaman di dalam keretanya yang diparkir di hadapan sebuah rumah kosong di Jalan Kerta Dalem, Sidakarya, Denpasar. Mangsa dikenali sebagai Remi Yuliana Putri, berusia 36 tahun yang juga merupakan ibu kepada dua orang anak.

     Mangsa dilaporkan keluar bekerja seperti biasa pada malam Khamis, 1 Mei 2025. Pada jam sekitar 7.30 malam waktu tempatan, dia bertemu dengan kekasihnya, Galuh Widi Asmoro, seorang lelaki berusia 26 tahun, di sebuah kedai serbaneka. Selepas membeli makanan segera secara pandu lalu, mereka makan bersama di dalam kereta milik Remi, sebuah Daihatsu Terios berwarna putih. 

     Tidak lama selepas itu, Remi membawa keretanya ke kawasan sunyi di Jalan Goa Gong, Jimbaran. Menurut hasil siasatan pihak polis, satu pertengkaran tercetus antara pasangan tersebut semasa berada di lokasi tersebut. Galuh yang dipercayai telah merancang pembunuhan ini lebih awal mengeluarkan sebilah pisau yang dibawanya lalu menikam leher Remi. Tikaman itu tepat dan membawa maut. Dalam keadaan panik, Galuh memindahkan mayat Remi ke tempat lain iaitu di hadapan sebuah rumah kosong di Jalan Kerta Dalem, Sidakarya. Di situlah mayat mangsa ditemui keesokan harinya, pada pagi Jumaat, 2 Mei 2025. Mayat Remi dijumpai dalam keadaan duduk bersandar dengan luka tikaman di leher dan wajahnya berlumuran darah.

     Motif pembunuhan ini kemudiannya terbongkar hasil siasatan lanjut dan pengakuan suspek. Galuh mengakui bahawa dia bertindak membunuh Remi kerana sakit hati dan cemburu. Remi dikatakan telah menghinanya dalam satu kumpulan WhatsApp yang dianggotai oleh beberapa pemandu e-hailing lain. Dalam perbualan tersebut, Remi didakwa menyindir Galuh sebagai seorang “mokondo” iaitu gelaran yang membawa maksud lelaki yang tidak punya modal dan hanya bergantung kepada wanita. Hal ini dipercayai telah menjatuhkan maruah Galuh dan membuatkan dia berdendam terhadap mangsa. Selain itu, Galuh juga menyimpan perasaan cemburu yang mendalam kerana mengesyaki Remi telah menjalinkan hubungan dengan lelaki lain. Lebih malang lagi dalam keterangannya kepada polis, Galuh turut mengaku bahawa dia sebenarnya ingin mengambil alih kereta yang sedang dikredit atas nama Remi iaitu sebuah Toyota Avanza.

     Setelah membunuh Remi, Galuh bertindak melarikan diri ke Solo, Jawa Tengah dalam usaha untuk menghilangkan jejak dan mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa. Walau bagaimanapun, kegiatannya dapat dikesan hasil kerjasama antara Unit Siasatan Jenayah (Satreskrim) dari Polresta Denpasar dan Polsek Denpasar Selatan. Pada malam Sabtu, 3 Mei 2025, Galuh berjaya diberkas oleh pihak polis. Ketika proses tangkapan, Galuh cuba melawan hingga memaksa pihak polis untuk melepaskan tembakan dan mengenai kedua-dua kakinya demi mengelakkan dia melarikan diri.

     Pihak polis kini meneruskan siasatan terperinci bagi memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya. Galuh bakal berdepan pertuduhan berat dan jika disabit kesalahan, dia mungkin dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati di bawah undang-undang jenayah Indonesia. 

Catat Ulasan for "BUNUH KEKASIH KERANA DIEJEK TIDAK BERDUIT"