Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Gloria Ramirez: Wanita Beracun yang Mengejutkan Dunia Perubatan

     Kes Gloria Ramirez yang dikenali sebagai The Toxic Lady merupakan salah satu misteri perubatan paling aneh dalam sejarah moden. Pada malam 19 Februari 1994, satu kejadian aneh telah berlaku di Jabatan Kecemasan Hospital Umum Riverside, California. Seorang wanita berusia 31 tahun bernama Gloria Ramirez dibawa masuk dalam keadaan separa sedar di mana mengalami kesukaran bernafas dan degupan jantung yang tidak stabil. Gloria yang juga merupakan pesakit kanser serviks tahap akhir tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda luar biasa sehinggalah seorang demi seorang kakitangan perubatan yang merawatnya mula jatuh sakit. Apa yang berlaku di bilik rawatan tersebut telah mencetuskan satu misteri yang hingga pada hari ini masih belum terjawab sepenuhnya.

     Ketika Gloria diberi rawatan kecemasan, beberapa petugas mula menyedari keanehan pada tubuh wanita itu. Salah seorang jururawat yang mengambil darahnya melaporkan bau ammonia yang sangat kuat. Pada masa sama, doktor dan jururawat lain melihat kehadiran kristal-kristal kekuningan yang terapung dalam darah tersebut. Lebih aneh lagi, kulit Gloria dilaporkan berminyak dan mengeluarkan bau seakan bawang putih. Tidak lama selepas itu, seorang demi seorang petugas perubatan mula mengalami gejala pelik daripada rasa pening, loya, sesak nafas sehinggalah pengsan secara tiba-tiba. Dalam tempoh singkat, bilik rawatan terpaksa dikosongkan dan pesakit lain dipindahkan. Kesemua kakitangan yang terlibat dikuarantin dan dirawat. Secara keseluruhan, seramai 23 kakitangan hospital mengalami gejala misteri malam itu dan lima daripadanya memerlukan rawatan intensif. Keadaan ini menimbulkan persoalan besar. Apakah sebenarnya yang terkandung dalam tubuh Gloria Ramirez?

     Kematian Gloria direkodkan tidak lama kemudian dan pihak berkuasa kesihatan memulakan siasatan penuh. Pada peringkat awal, terdapat teori bahawa kejadian itu mungkin berpunca daripada fenomena "histeria massa" yakni keadaan psikologi di mana sekumpulan individu mengalami gejala fizikal yang sama akibat panik atau sugesti. Walau bagaimanapun, teori ini menimbulkan keraguan memandangkan simptom-simptom dialami oleh petugas adalah terlalu spesifik dan nyata termasuk kehilangan kesedaran serta sawan otot. Akibat tekanan awam dan media, siasatan lebih mendalam dijalankan termasuk oleh Lawrence Livermore National Laboratory iaitu sebuah institusi penyelidikan terkemuka di Amerika Syarikat.

     Hasil siasatan tersebut membawa kepada satu teori yang sangat mengejutkan. Gloria Ramirez dipercayai telah menggunakan sejenis bahan kimia bernama dimetil sulfoksida (DMSO), sejenis pelarut industri yang kadangkala digunakan secara tidak rasmi sebagai rawatan alternatif untuk mengurangkan kesakitan. DMSO apabila disapu pada kulit akan diserap ke dalam darah dan memberi kesan seperti penahan sakit. Namun saintis percaya bahawa dalam tubuh Gloria yang kekurangan oksigen, DMSO ini telah bertukar kepada dimetil sulfat (DMS), sebatian kimia yang sangat toksik dan berupaya menyebabkan kerosakan pada sistem saraf dan paru-paru sekaligus menjelaskan simptom yang dialami oleh para petugas.

     Walaupun teori DMSO ini diterima oleh sesetengah pihak, keluarga Gloria Ramirez tidak bersetuju. Mereka berpendapat bahawa penjelasan tersebut tidak masuk akal dan cuba menutup sesuatu yang lebih besar. Keluarga Gloria mendakwa bahawa pengendalian mayatnya penuh dengan kecuaian kerana beberapa organ penting hilang termasuk jantung, tubuhnya dalam keadaan rosak teruk akibat proses pengawetan yang melampau dan ini menyukarkan sebarang autopsi bebas untuk dijalankan. Tambahan pula, Gloria tidak pernah secara rasmi menggunakan DMSO secara berlebihan. Keluarganya percaya bahawa kematiannya serta insiden keracunan tersebut mungkin berpunca daripada pendedahan kepada bahan kimia hospital atau kecuaian perubatan yang ingin disembunyikan.

     Kes Gloria Ramirez akhirnya kekal sebagai satu misteri besar dalam dunia perubatan. Ia telah dibincangkan secara meluas dalam jurnal, dokumentari dan rancangan televisyen. Kisah ini juga menjadi inspirasi kepada episod dalam siri popular seperti Grey’s Anatomy serta dokumentari sains seperti Unsolved Mysteries dan BuzzFeed Unsolved. Cuma hingga kini, tiada penjelasan yang benar-benar memuaskan dapat diberikan. Adakah tubuh manusia boleh berubah menjadi beracun dalam keadaan tertentu? Atau adakah sesuatu yang lebih gelap sedang disembunyikan dari pengetahuan umum?

Catat Ulasan for "Kisah Gloria Ramirez: Wanita Beracun yang Mengejutkan Dunia Perubatan"