Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Serangan Berdarah di Bengkel Tarian: Kisah Gila Axel Rudakubana

     Pada 29 Julai 2024, sebuah bengkel tarian bertemakan lagu-lagu Taylor Swift yang berlangsung di Church Walks Community Centre, Southport, bertukar menjadi tempat tragedi apabila seorang remaja lelaki menyerang para peserta secara tiba-tiba dengan senjata tajam. Penyerang tersebut dikenali sebagai Axel Rudakubana yang berumur 18 tahun ketika kejadian. Serangan itu mengakibatkan tiga orang kanak-kanak perempuan terbunuh serta mencederakan sepuluh yang lain termasuk lapan kanak-kanak dan dua orang dewasa. 

     Ketiga-tiga mangsa yang maut ialah Alice da Silva Aguiar (9 tahun), Bebe King (6 tahun) dan Elsie Dot Stancombe (7 tahun). Mereka adalah peserta bengkel tarian dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Rudakubana. Serangan berlaku secara rawak dan tidak disasarkan secara peribadi. Menurut saksi, Axel memasuki dewan dengan wajah tenang sebelum tiba-tiba mengeluarkan senjata dan menyerang secara membabi buta. Kanak-kanak menjerit, ibu bapa cuba melindungi anak-anak mereka dan suasana bertukar menjadi panik. Penganjur segera menghubungi polis dan cuba menenangkan keadaan. Polis tiba di tempat kejadian tidak lama selepas serangan berlaku. Axel ditahan tanpa memberi sebarang tentangan. 

     Axel Rudakubana dilahirkan di Cardiff, Wales pada tahun 2006 dan berasal daripada keluarga keturunan Rwanda. Pada usia 7 tahun, keluarganya berpindah ke Southport, England. Mereka merupakan penganut Kristian evangelikal yang aktif dalam komuniti. Axel mendapat pendidikan seperti remaja lain tetapi sejak usia awal remaja, dia mula menunjukkan tanda-tanda pelik. Dia dikatakan mempunyai minat mendalam terhadap tokoh-tokoh diktator terkenal seperti Adolf Hitler dan Genghis Khan. Dia juga sering membaca serta menyimpan bahan berkaitan keganasan dan peperangan.

     Tingkah laku Axel membimbangkan ahli keluarganya, guru-guru dan rakan sekelas. Dia pernah menunjukkan keganasan terhadap haiwan kecil, sering bercakap tentang kematian dan pernah ditangkap menyimpan bahan kimia yang mencurigakan. Dalam tempoh tiga tahun yakni dari 2019 hingga 2021, dia telah dirujuk sebanyak tiga kali ke program pencegahan radikalisasi kerajaan Britain yang dikenali sebagai "Prevent". Tujuan program ini adalah untuk mengenal pasti dan membantu individu yang terdedah kepada fahaman ekstremis atau pemikiran ganas.

     Cuma dalam ketiga-tiga rujukan tersebut, pihak berkuasa membuat kesimpulan bahawa Axel tidak menunjukkan risiko untuk menjadi pengganas atau penjenayah ganas. Dia tidak diberikan sebarang pemantauan lanjut dan akhirnya dia hilang daripada radar pihak berkuasa. Kegagalan ini menjadi isu besar selepas kejadian serangan apabila ramai yang mempersoalkan mengapa tiada tindakan susulan diambil walaupun tanda-tanda awal sudah jelas.

     Dalam siasatan polis, mereka menemui pelbagai bukti yang mengejutkan. Di bilik tidur Axel, terdapat nota rancangan serangan, koleksi bahan bacaan tentang pembunuhan besar-besaran serta bahan kimia beracun jenis ricin yang sedang diuji oleh Axel sendiri. Penemuan ini membuktikan bahawa serangan di bengkel tarian bukanlah tindakan spontan tetapi telah dirancang lebih awal secara terperinci.

     Pihak pendakwaan juga mendedahkan bahawa Axel mempunyai motivasi untuk mencipta nama besar sebagai pembunuh beramai-ramai dan dia menjadikan individu seperti Hitler dan pembunuh massa lain sebagai idola. Axel melihat kanak-kanak sebagai mangsa yang mudah dan memilih bengkel tarian itu kerana tiada kawalan keselamatan serta jumlah kanak-kanak yang ramai di dalam satu tempat tertutup.

     Pada 20 Januari 2025, Axel Rudakubana dibawa ke Mahkamah Diraja dan mengaku bersalah terhadap 16 pertuduhan termasuk 3 pertuduhan membunuh, 10 pertuduhan cubaan membunuh, memiliki senjata berbahaya, menghasilkan racun ricin dan. memiliki bahan berkaitan keganasan. Hakim menjatuhkan 13 hukuman penjara seumur hidup dan hanya boleh memohon untuk parol selepas menjalani sekurang-kurangnya 52 tahun dalam penjara. Ini bermakna dia berkemungkinan besar akan menghabiskan seluruh hidupnya di balik tirai besi.

     Pada 8 Mei 2025, hanya beberapa bulan selepas disabitkan bersalah, Axel sekali lagi menunjukkan sikap ganas apabila dia menyerang seorang pegawai penjara di HMP Belmarsh, penjara berprofil tinggi di London. Kali ini dia menyimbah air mendidih ke arah wajah dan tubuh pegawai tersebut. Walaupun pegawai itu tidak mengalami kecederaan parah, insiden itu cukup untuk membuktikan bahawa Axel kekal berbahaya walaupun dalam persekitaran penjara kawalan ketat.

     Selepas kejadian itu, pihak penjara telah mengambil langkah ekstrem untuk mengawal Axel. Dia kini dikurung dalam sel khas bersendirian dan tidak dibenarkan berinteraksi dengan tahanan lain. Makanannya disalurkan melalui lubang kecil pada pintu dan semua komunikasi dikawal rapi. Seorang pegawai penjara dilaporkan berkata bahawa kawalan terhadap Axel kini setanding dengan tahanan berbahaya seperti watak Hannibal Lecter dalam filem.

Catat Ulasan for "Serangan Berdarah di Bengkel Tarian: Kisah Gila Axel Rudakubana"