Kisah Kematian Darsh Patel: Mangsa Serangan Beruang Hitam

Pada 21 September 2014, satu insiden tragik berlaku di Apshawa Preserve, West Milford, New Jersey apabila seorang pelajar universiti bernama Darsh Patel maut akibat diserang oleh seekor beruang hitam. Kejadian itu merupakan serangan beruang maut pertama di negeri itu dalam tempoh lebih satu setengah abad. Darsh iaitu seorang pelajar berusia 22 tahun dari Universiti Rutgers merupakan anak muda yang penuh potensi. Hasratnya untuk menghabiskan masa hujung minggu menikmati alam semula jadi bertukar bagaimanapun menjadi detik yang meragut nyawanya.
Kejadian berlaku pada waktu petang ketika Darsh dan empat rakannya memutuskan untuk mendaki dan menjelajah laluan hutan di kawasan simpanan Apshawa. Kawasan ini terkenal dalam kalangan pendaki tempatan kerana laluan yang menghijau dan tenang serta air terjun yang sering menjadi tarikan utama. Kumpulan tersebut telah memasuki laluan hutan sekitar jam 1 petang. Darsh seperti kebanyakan anak muda lain turut membawa telefonnya dan sering mengambil gambar sepanjang perjalanan mereka.

Walau bagaimanapun, keceriaan petang itu berubah apabila mereka menyedari kehadiran seekor beruang hitam yang mula mengekori mereka dari belakang. Menurut laporan pihak berkuasa, beruang tersebut dianggarkan seberat kira-kira 300 paun (lebih 130 kilogram). Meskipun pada mulanya beruang itu hanya kelihatan dari kejauhan, lama-kelamaan ia semakin menghampiri kumpulan itu. Ketika situasi menjadi genting, Darsh sempat mengambil beberapa keping gambar beruang tersebut. Beberapa gambar yang kemudian ditemukan dalam telefon bimbitnya menunjukkan bahawa beruang itu berada semakin hampir. Malah pada satu ketika hanya berjarak lebih kurang 15 kaki dari mereka.
Melihat ancaman yang semakin dekat, rasa panik mula menyelubungi kumpulan itu. Mereka membuat keputusan yang malangnya bertentangan dengan protokol keselamatan berdepan dengan beruang yakni melarikan diri ke arah berbeza. Dalam situasi seperti ini, tindakan melarikan diri sering dianggap sebagai isyarat bahaya dan boleh mencetuskan naluri pemangsa dalam diri beruang. Malangnya dalam kekalutan itu, mereka tidak sempat merancang dengan teliti. Rakan-rakan Darsh kemudian memaklumkan bahawa kali terakhir mereka melihatnya ialah ketika dia sedang memanjat satu formasi batu besar dalam usaha untuk menyelamatkan diri. Ketika itu, beruang sedang mengejarnya di mana Darsh sempat menjerit kepada rakan-rakannya supaya terus berlari dan tidak menoleh ke belakang.

Selepas gagal menemui Darsh dan menyedari bahawa dia tidak kembali ke tempat parkir bersama mereka, kumpulan itu segera menghubungi pihak berkuasa. Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan serta-merta. Setelah hampir dua jam pencarian, anggota polis akhirnya menemui mayat Darsh di kawasan berbatu yang agak jauh dari laluan utama. Apa yang lebih menggerunkan, beruang tersebut masih berada berhampiran mayat Darsh dan menunjukkan sikap agresif apabila cuba dihalau. Dalam usaha untuk mengelakkan lebih banyak tragedi, pihak polis mengambil keputusan untuk menembak mati beruang tersebut di tempat kejadian.
Hasil siasatan lanjut serta bedah siasat yang dijalankan ke atas beruang berkenaan dan mayat Darsh membongkar butiran yang lebih menyayat hati. Dalam perut beruang itu, dijumpai cebisan pakaian serta tisu manusia, menunjukkan bahawa haiwan itu bukan sahaja membunuh tetapi juga memakan sebahagian daripada tubuh Darsh. Luka-luka gigitan, cakaran dan kesan seretan turut ditemui pada tubuhnya. Ini mengesahkan bahawa dia telah diserang dan mungkin tidak sempat melawan. Kesimpulan yang dikeluarkan oleh pakar forensik menyatakan bahawa kecederaan teruk akibat gigitan merupakan punca utama kematian.

Pihak polis turut menganalisis telefon bimbit Darsh yang dijumpai di lokasi. Beberapa gambar terakhir yang sempat dirakam olehnya memperlihatkan beruang itu dalam jarak dekat dan menjadi bukti penting bahawa haiwan tersebut bukan sahaja agresif tetapi telah mengekori mereka secara aktif. Laporan siasatan juga menyatakan bahawa kumpulan Darsh tidak membawa sebarang semburan beruang atau alat bunyi yang biasa digunakan sebagai perlindungan ketika mendaki di kawasan habitat beruang.
Pakar hidupan liar menjelaskan bahawa beruang hitam lazimnya tidak agresif dan cenderung mengelakkan manusia. Namun faktor seperti kelaparan, kehilangan habitat akibat pembangunan dan ketidakhadiran makanan semula jadi boleh menjadikan haiwan itu lebih berani dan berpotensi bertindak ganas. Dalam kes Darsh Patel, tiada bukti kukuh menunjukkan beruang itu terganggu terlebih dahulu. Justeru serangan itu digambarkan sebagai kelakuan predatori, satu corak tingkah laku yang amat jarang berlaku dalam kalangan beruang hitam.
Catat Ulasan for "Kisah Kematian Darsh Patel: Mangsa Serangan Beruang Hitam"