Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Dulu Idola Remaja, Kini Menjadi Kenangan: Di Mana Pelakon Wai Rai & Freshie Kini?

     Pada era awal 2000-an, dua siri drama remaja Thailand, Wai Rai High School dan sambungannya Freshie High School mencetuskan fenomena luar biasa dalam kalangan penonton muda di Malaysia dan Asia Tenggara. Dihiasi dengan kisah cinta, persahabatan dan gelagat anak-anak muda di alam sekolah menengah serta universiti, siri ini bukan sahaja meninggalkan nostalgia mendalam tetapi juga memperkenalkan beberapa pelakon muda Thailand yang menjadi kegilaan ramai. Dua dekad telah berlalu dan ramai peminat masih tertanya-tanya, ke manakah perginya para pelakon yang pernah mencorakkan zaman remaja mereka?

1. Arthit Tangsawadrat

     Antara watak yang paling diingati ialah Ryu, seorang pelajar senior yang tampan, pendiam dan ‘cool’. Watak ini dilakonkan oleh Arthit Tangsawadrat yang ketika itu menjadi idola remaja perempuan dengan gaya rambut “spiky” dan wajah yang serius. Walau bagaimanapun, kehidupan Arthit selepas zaman kegemilangan lakonannya berubah secara drastik. Selepas muncul buat kali terakhir pada tahun 2005, Arthit didiagnosis dengan gangguan bipolar dan terpaksa menjalani rawatan intensif selama lebih 10 tahun. Malangnya rawatan itu tidak begitu berkesan. Dalam satu temubual, Arthit mendedahkan bahawa dia pernah hidup sebagai gelandangan dan tidur di kaki lima jalan selama hampir setahun. Kini, Arthit menjalani kehidupan sederhana dengan menjual barangan terpakai di pasar lambak sekitar kawasan Lat Phrao, Bangkok. Arthit aktif di TikTok di mana beliau dia kisah hidupnya serta menyatakan keinginan untuk bangkit semula dan hidup dengan lebih bermakna. 

Bacaan terdahulu tentang kisah Arthit ini boleh baca di sini : Kisah Menyedihkan Arthit, Dahulu Pelakon, Kini Gelandangan


2. Worawet Danuwong

    Seorang lagi pelakon utama yang meneruskan kerjaya seninya dengan cemerlang ialah Worawet Danuwong, lebih dikenali sebagai Dan D2B. Dalam siri ini, Dan membawakan watak pelajar yang ceria dan romantik selaras dengan persona sebenarnya sebagai ahli kumpulan lelaki popular iaitu D2B. Selepas tamatnya Freshie High School, Dan memulakan karier solo di bawah Sony Music dan dikenali sebagai WD. Tidak terhad kepada nyanyian, dia turut meluaskan bakatnya ke bidang lakonan, penulisan skrip dan pengarahan filem. Filem pertamanya, Sat2Mon telah mendapat sambutan hangat dan memperkukuh kedudukannya dalam industri seni Thailand. Dan kini dianggap sebagai antara pengarah dan pengkarya muda paling berjaya di Thailand dengan pelbagai karya yang memenangi anugerah dan ulasan positif.


3. Nathalie Davies

     Sementara itu, pelakon wanita utama Nathalie Davies yang memegang watak Nathalie turut mencuri tumpuan dalam siri ini. Dia dikenali dengan wajah kacukan Thai-Inggeris yang mempesona dan watak yang cerdas serta berdikari. Selepas beberapa tahun aktif dalam industri hiburan, Nathalie mengambil keputusan untuk beralih arah ke bidang keusahawanan. Dia kini mengusahakan beberapa perniagaan termasuk kedai kek, kedai haiwan peliharaan dan perniagaan dalam talian. Nathalie juga aktif berkongsi kehidupan sehariannya melalui media sosial sekali gus menjadikan dirinya inspirasi kepada ramai wanita muda yang ingin berjaya dalam dunia perniagaan.


4. Lukkana Huangmaneerungroj

     Lukkana Huangmaneerungroj atau Aon juga memainkan peranan penting dalam siri ini dengan watak pelajar perempuan yang comel, naif dan sedikit ‘blur’ menjadikannya antara karakter yang mencuit hati. Selepas berlakon, Aon mengambil keputusan untuk menyepi dari dunia hiburan. Berdasarkan maklumat terkini, dia dipercayai kini bekerja sebagai DJ radio di stesen Virgin Radio dan aktif berkongsi kandungan berkaitan muzik serta kehidupan harian di media sosial.


5. Apichet Kittikorncharoen

    Paling menyayat hati dalam kalangan pelakon Wai Rai High School ialah nasib yang menimpa Apichet Kittikorncharoen atau lebih dikenali sebagai Big D2B. Dalam siri tersebut, Big tampil dengan watak yang bersahaja, ceria dan disenangi yakni sepadan dengan personalitinya dalam dunia nyata. Dia adalah anggota penting kumpulan D2B dan turut berlakon bersama Dan dalam siri popular ini. Pada 22 Julai 2003, Big terlibat dalam kemalangan jalan raya apabila kereta yang dipandunya terbabas dan terhumban ke dalam longkang besar yang dipenuhi air tercemar. Walaupun dia sempat diselamatkan dan dibawa ke hospital, malang tidak berbau Big telah menelan air kotor yang mengandungi bakteria berbahaya. Akibatnya, dia mengalami jangkitan bakteria pada otak (meningoencephalitis) yang mengakibatkan dirinya koma selama lebih empat tahun.

     Sepanjang tempoh itu, Big dijaga penuh kasih sayang oleh ibunya yang tidak pernah berputus asa. Setiap perkembangan keadaannya mendapat liputan media kerana dia masih mempunyai jutaan peminat yang setia menanti keajaiban. Namun pada 9 Disember 2007, Big menghembuskan nafas terakhir pada usia 25 tahun. Pemergiannya menggegarkan industri hiburan Thailand dan menjadi kehilangan besar buat rakan-rakan D2B serta para peminat yang membesar dengan lagu-lagunya dan menonton lakonannya.

Catat Ulasan for "Dulu Idola Remaja, Kini Menjadi Kenangan: Di Mana Pelakon Wai Rai & Freshie Kini?"