Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Pembunuhan Kejam Megan Khung


     Kes kematian Megan Khung Yu Wai sememangnya telah mengejutkan seluruh Singapura. Kanak-kanak  perempuan berumur empat tahun ini meninggal dunia bukan kerana sakit atau kemalangan tetapi akibat didera oleh ibu kandungnya sendiri dan teman lelaki si ibu. Lebih menyedihkan selepas dia meninggal, mayatnya tidak dihantar ke hospital atau dikebumikan seperti biasa. Mayat Megan sebaliknya dibakar dan abunya dibuang ke laut bagi menutup jenayah tersebut.

     Megan yang dilahirkan pada 4 Oktober 2015 ialah satu-satunya anak hasil perkahwinan Foo Li Ping dan Simon Khung Wei Nan. Rumah tangga mereka bagaimanapun tidak bertahan lama. Perceraian antara kedua-dua ibu bapa ini membawa perubahan besar dalam hidup Megan. Hak penjagaan diserahkan kepada ibunya, Foo yang kemudiannya menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki bernama Wong Shi Xiang. 


     Wong Shi Xiang mempunyai sejarah jenayah termasuk penyalahgunaan dadah dan perilaku agresif. Bersama Foo, dia memindahkan Megan ke rumah mereka sekitar September 2019. Walaupun nenek Megan membantah keras keputusan tersebut, suara seorang nenek yang juga satu-satunya insan yang benar-benar menyayangi Megan tidak pernah diendahkan. Apa yang berlaku selepas itu ialah rentetan penderaan yang semakin teruk dari hari ke hari.

     Sejak awal 2019, Megan mula menjadi mangsa kepada kekejaman dua insan dewasa yang sepatutnya melindunginya. Dia dipukul, ditampar, dimalukan dan dimaki hamun hampir setiap hari. Megan dipaksa tidur dalam kotak tanaman sempit, dibiarkan kelaparan dan kadangkala dipaksa berbogel sebagai bentuk hukuman. Jika menangis, dia dipukul lebih kuat. Jika Megan merayu, dia diketawakan. Keadaan ini berlarutan selama berbulan-bulan. Lebuh menyayat hati, tiada siapa tahu, tiada siapa bertanya dan tiada siapa menyelamatkan Megan.


    Penderitaan Megan mencapai kemuncaknya pada 21 Februari 2020. Pada hari itu, Wong menumbuk perut kecil Megan dengan kuat, satu tumbukan yang menyebabkan kecederaan dalaman serius termasuk pendarahan dan kerosakan organ. Megan terbaring lemah, tidak sedarkan diri dan akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya. Namun Foo dan Wong bukannya membawa Megan ke hospital atau melaporkan kematiannya. Mereka berdua mengambil keputusan yang paling kejam yakni menyembunyikan kematian itu.

     Dalam usaha menutup jenayah mereka, Foo dan Wong menyimpan mayat Megan di dalam rumah selama beberapa hari. Mereka kemudian membeli tong logam, memasukkan mayat Megan ke dalamnya dan membakar tubuh kecil itu hingga menjadi abu. Abu tersebut dikumpulkan dimasukkan ke dalam beg plastik lalu dibuang ke laut. 

     Pada pertengahan tahun 2020, ketiadaan Megan mula menimbulkan tanda tanya. Saudara-mara terutama neneknya mula tertanya-tanya tentang keberadaan Megan. Setiap kali ditanya, Foo memberi alasan berlainan kononnya Megan dijaga oleh orang lain atau telah dihantar ke tempat lain. Penjelasan yang semakin tidak masuk akal ini mencetuskan syak wasangka dalam kalangan keluarga dan akhirnya membawa kepada laporan polis pada bulan Julai 2020. Pihak polis memulakan siasatan terhadap kehilangan Megan yang tidak pernah dilaporkan secara rasmi.


     Ketika siasatan dijalankan, Foo dan Wong memberikan keterangan yang bercanggah serta penuh keraguan. Di bawah tekanan siasatan, kebenaran yang cuba disembunyikan selama ini akhirnya terbongkar. Foo dan Wong mengaku bahawa Megan telah meninggal dunia akibat dipukul dan mereka telah membakar serta melupuskan mayat anak kecil itu. Lebih mengejutkan, mereka turut melibatkan seorang rakan bernama Nouvelle Chua Ruo Shi yang membantu dalam proses melupuskan bukti jenayah.

     Polis berjaya mengesan pelbagai bukti tambahan yang menyokong pengakuan itu termasuk pembelian tong logam, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta transaksi pembelian bahan pembakar. Semua ini memperkuatkan kes terhadap ketiga-tiga individu tersebut. Pada tahun 2023, mereka didakwa di mahkamah. Foo dan Wong masing-masing mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh. 

     Pada 28 Februari 2025, mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas dua tertuduh utama. Wong Shi Xiang dihukum penjara 30 tahun dan 17 sebatan manakala Foo Li Ping dijatuhkan hukuman penjara selama 19 tahun. Nouvelle Chua pula dibicarakan secara berasingan. Dalam penghakiman, hakim menyifatkan perbuatan mereka sebagai paling kejam dan tidak berperikemanusiaan. 

    Kematian Megan Khung membuka mata banyak pihak. Pelbagai agensi sosial dan pihak prasekolah dikritik kerana gagal melaporkan sebarang tanda penderaan walaupun terdapat beberapa isyarat jelas sebelum kematiannya. Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mengakui kelemahan dalam sistem dan berjanji untuk menambah baik mekanisme pelaporan serta intervensi kes penderaan kanak-kanak.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Megan Khung"