Hadiah Maut: Dendam Bekas Kekasih Ragut Nyawa Pengantin Lelaki dan Abangnya

Pada 3 April 2023, satu kejadian menggemparkan telah berlaku di daerah Kabirdham, Chhattisgarh, India apabila dua orang adik-beradik lelaki maut dalam satu insiden letupan dahsyat yang berlaku di kediaman mereka sendiri. Kedua-dua mangsa dikenali pasti sebagai Hemendra Merawi yang berusia 30 tahun dan abangnya Rajkumar, 32 tahun. Kejadian memilukan ini menjadi lebih menyayat hati apabila diketahui bahawa Hemendra baru sahaja melangsungkan majlis perkahwinannya beberapa hari sebelum kejadian.
Menurut laporan siasatan awal oleh pihak polis, letupan tersebut berpunca daripada sebuah bom buatan sendiri yang telah disembunyikan secara licik di dalam sistem teater rumah. Sistem itu dipasang di ruang tamu rumah dan kelihatan seperti hadiah biasa untuk pasangan pengantin baharu. Namun bom tersebut direka khusus untuk diaktifkan apabila palam elektrik sistem tersebut disambungkan ke soket. Tanpa mengesyaki apa-apa, Hemendra dan Rajkumar telah cuba menghidupkan sistem itu dan sejurus arus elektrik mengalir, bahan letupan yang tersembunyi di dalamnya meletup dengan kuat hingga menyebabkan kematian serta-merta kepada kedua-dua mangsa.

Susulan kejadian tragik itu, pihak berkuasa menjalankan siasatan mendalam untuk mengenal pasti punca dan motif sebenar di sebalik letupan. Hasil siasatan forensik dan maklumat daripada saksi yang hadir ke majlis perkahwinan membawa kepada satu penemuan mengejutkan di mana sistem teater rumah yang meletup itu sebenarnya merupakan hadiah perkahwinan daripada salah seorang tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan Hemendra. Tetamu tersebut dikenal pasti sebagai Sarju Markam yakni seorang lelaki yang mempunyai sejarah hubungan peribadi dengan isteri Hemendra, Lalita Marwai.
Sarju pada awalnya menafikan sebarang penglibatannya dalam kejadian tersebut. Namun siasatan rapi dan bukti kukuh yang diperoleh pihak polis akhirnya memaksa Sarju mengaku bahawa dialah dalang sebenar di sebalik kejadian menyayat hati itu. Antara bukti yang dikemukakan termasuk pengesanan pembelian sistem teater itu yang mengaitkan Sarju serta penemuan kesan bahan letupan yang menunjukkan ia telah dipasang secara sengaja untuk membunuh. Tekanan bukti dan soal siasat akhirnya membuatkan Sarju tunduk dan mendedahkan niat sebenar tindakannya.
Menurut laporan, Sarju mengaku telah memasang bahan letupan seberat kira-kira 2 kilogram yang terdiri daripada ammonium nitrat, petrol dan serbuk letupan yang diperoleh daripada mercun.

Motif Sarju ternyata berpunca daripada dendam peribadi. Sebelum perkahwinan Hemendra dan Lalita, Sarju dilaporkan pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Lalita dan merancang untuk menjadikannya sebagai isteri kedua. Impiannya itu bagaimanapun hancur apabila Lalita menolak Sarju dan bersetuju dengan keputusan keluarganya untuk berkahwin dengan Hemendra. Disebabkan berasa kecewa dan dipenuhi rasa marah, Sarju merancang satu perbuatan kejam yang akhirnya mengorbankan dua nyawa yang tidak berdosa. Menggunakan teknik penyamaran sebagai tetamu yang memberi hadiah, dia menyerahkan sistem teater rumah yang telah dipasangkan bahan letupan sebagai simbol hadiah perkahwinan tetapi hakikatnya merupakan perangkap maut.
Sarju akhirnya ditahan oleh pihak berkuasa dan didakwa di bawah Kanun Keseksaan India atas tuduhan membunuh serta cubaan membunuh. Dia juga berdepan tindakan di bawah Akta Bahan Letupan yang memperuntukkan hukuman berat terhadap kesalahan berkaitan penggunaan bahan letupan secara haram.
Catat Ulasan for "Hadiah Maut: Dendam Bekas Kekasih Ragut Nyawa Pengantin Lelaki dan Abangnya"