Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Benar Amanda Eller: 17 Hari Sesat di Hutan Liar Hawaii


     Kisah benar Amanda Eller menjadi tumpuan dunia pada tahun 2019 apabila dia dilaporkan hilang di dalam hutan selama lebih dua minggu dan berjaya diselamatkan dalam keadaan masih hidup. Apa yang menjadikan kisah ini luar biasa bukan sahaja kerana tempoh masa wanita itu bertahan tanpa makanan atau kemudahan asas tetapi juga kerana kekuatan mental dan fizikal yang ditunjukkannya dalam menghadapi alam liar yang mencabar. Amanda, seorang instruktur yoga dan ahli terapi fizikal yang berusia 35 tahun waktu tersebut tidak pernah menyangka bahawa pendakian biasa di sebuah hutan simpan di Hawaii akan berubah menjadi perjuangan hidup dan mati. 

     Pada pagi 8 Mei 2019, Amanda memutuskan untuk melakukan pendakian ringan di Makawao Forest Reserve yang terletak di pulau Maui, Hawaii. Ia merupakan aktiviti rutin bagi Amanda yang sangat menghargai hubungan dengan alam semula jadi. Cuma kali ini, dia membuat keputusan untuk meninggalkan telefon bimbit dan dompetnya di dalam kereta kerana hanya bercadang berjalan sejauh kira-kira tiga batu. Pendakian itu bermula seperti biasa tetapi segalanya berubah apabila Amanda secara tidak sedar telah tersasar dari laluan utama. Dia kehilangan orientasi dan gagal menemui jalan pulang ke keretanya. 


     Pada dua hari pertama, Amanda berusaha sekuat tenaga untuk mencari jalan kembali ke tempat permulaan. Namun landskap hutan yang luas dan menyerupai satu sama lain menyebabkan dia semakin jauh tersasar. Tidak lama kemudian, Amanda menyedari bahawa usahanya untuk kembali ke laluan asal hanya akan membuatkan dirinya semakin sesat. Lantas dia membuat keputusan kritikal berhenti daripada cuba kembali dan mula fokus ubtuk bertahan hidup.

     Cabaran yang dihadapi Amanda amat mencabar mental dan fizikal. Pada hari ketiga, dia jatuh dari cerun setinggi hampir 20 kaki hingga menyebabkan tulang tibia pada kakinya retak serta mengalami kecederaan pada meniskus lutut. Kejadian itu mengehadkan pergerakannya tetapi dia tidak menyerah kalah. Pada hari keempat pula, hujan lebat menyebabkan banjir kecil yang menghanyutkan kasut nya. Tanpa alas kaki, Amanda terpaksa meneruskan perjalanan dengan kaki ayam di atas permukaan tanah yang kasar dan penuh duri.


     Bagi mendapatkan tenaga, Amanda makan buah-buahan liar seperti jambu batu yang tumbuh di sekitar hutan dan pada satu ketika, dia juga memakan dua ekor ngengat demi kelangsungan hidup. Minuman harian Amanda hanyalah air sungai yang mengalir tanpa sebarang penapis. Pada waktu malam, dia tidur di tempat perlindungan semula jadi seperti sarang babi hutan dan melitupi tubuhnya dengan daun pakis untuk kekal hangat. Walaupun terdedah kepada nyamuk, matahari terik dan kesejukan malam, Amanda kekal tabah dan berusaha untuk terus hidup.

     Sementara itu, operas pencarian Amanda yang dilancarkan melibatkan lebih daripada seribu orang sukarelawan, penggunaan anjing pengesan, dron dan helikopter. Keluarganya turut melancarkan kempen derma awam yang berjaya mengumpul lebih daripada USD70 000 untuk membiayai usaha pencarian. Walaupun beberapa pihak berkuasa menghentikan pencarian rasmi selepas beberapa hari, keluarga dan sukarelawan terus komited dalam usaha mereka selain percaya bahawa Amanda masih hidup.


     Akhirnya pada 24 Mei 2019 yakni selepas 17 hari hilang, Amanda ditemui oleh pasukan sukarelawan yang menjalankan rondaan udara menggunakan helikopter. Dia kelihatan di dasar sebuah lembah sungai antara dua air terjun, kira-kira tujuh batu dari tempat dia mula mendaki. Penemuan itu disambut dengan kegembiraan dan rasa syukur yang tidak terhingga oleh semua pihak. Walaupun keadaannya lemah serta kurus, Amanda masih sedar dan boleh berinteraksi dengan penyelamat.

     Dalam satu sidang media selepas diselamatkan, Amanda menggambarkan pengalaman itu sebagai satu perjalanan spiritual yang mengubah hidupnya. Dia menyatakan bahawa saat-saat getir itu mengajarnya erti kehidupan, kekuatan dalaman dan pentingnya kepercayaan kepada sesuatu yang lebih besar daripada diri sendiri. Dana lebihan dari kempen pencarian telah digunakan oleh keluarga Amanda untuk meningkatkan keselamatan pendaki di Hawaii termasuk pemasangan kamera di laluan utama dan pembangunan aplikasi bantuan kecemasan untuk pencarian di kawasan hutan. 

Catat Ulasan for "Kisah Benar Amanda Eller: 17 Hari Sesat di Hutan Liar Hawaii"