Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Diogo Alves: Pembunuh Bersiri Akueduk dari Lisbon


     Dalam sejarah jenayah di Eropah, nama Diogo Alves sering disebut sebagai antara pembunuh bersiri paling kejam yang pernah wujud. Walaupun kisahnya berlaku lebih dua abad yang lalu, bayang jenayah yang dilakukannya masih menghantui sejarah Portugal hingga pada hari ini.

     Diogo Alves dilahirkan sekitar tahun 1810 di Galicia, Sepanyol. Semasa remaja, dia berhijrah ke Lisbon, Portugal untuk mencari kerja dan kehidupan yang lebih baik. Pada awalnya, Alves bekerja sebagai pembantu rumah tangga kepada keluarga kaya. Kehidupannya bagaimanapun mula berubah selepas dia terlibat dengan seorang wanita bernama Gertrudes, seorang yang dikatakan tamak dan berpengaruh. Mereka kemudian membentuk kumpulan penjenayah dan mula melakukan rompakan. Diogo menjadi semakin kejam dan tidak ragu-ragu untuk membunuh demi mendapatkan wang.

     Antara tahun 1836 hingga 1839, satu siri pembunuhan misteri berlaku di Aqueduto das Aguas Livres, sebuah akueduk besar yang mengalirkan air ke Lisbon. Ramai orang mati jatuh dari ketinggian lebih 60 meter dari atas akueduk itu. Pada masa itu, pihak berkuasa menganggap kes-kes ini sebagai bunuh diri kerana akueduk memang sering dijadikan tempat orang terjun untuk menamatkan hidup. Walau bagaimanapun, jumlah kematian yang terlalu banyak dalam masa singkat mula menimbulkan keraguan. Dalam diam, Alves sebenarnya menjadi dalang kepada kematian-kematian tersebut.


     Alves menggunakan akueduk  itu sebagai tempat dia menjalankan jenayah. Alves menyasarkan petani dan pedagang kecil yang berjalan pulang dari bandar dan sering membawa wang hasil jualan. Dia akan menunggu mereka di atas akueduk, merompak mereka dan kemudian menolak mereka jatuh untuk menghapuskan bukti. Dengan cara ini, Alves dapat terus membunuh tanpa dikesan kerana pihak polis tidak menyangka bahawa pembunuhan berlaku di mana mereka hanya menganggapnya sebagai kes bunuh diri. Kegiatan ini berterusan selama hampir tiga tahun.

     Tiada siapa tahu berapa ramai yang telah dibunuhnya tetapi ada yang menganggarkan lebih 70 orang menjadi mangsa. Kegiatan Alves sukar dikesan kerana ketika itu tiada sistem siasatan moden seperti cap jari atau forensik. Apabila polis akhirnya menyedari pola kematian yang mencurigakan, mereka masih tidak dapat membuktikan siapa pelakunya.

     Hinggalah tahun 1839, polis berjaya menangkap Diogo Alves dan kumpulannya tetapi bukan kerana kes di aqueduct. Mereka sebaliknya didakwa atas rompakan bersenjata dan pembunuhan lima orang dalam satu kejadian di rumah seorang doktor. Bukti terhadap mereka dalam kes ini sangat kukuh. Alves dijatuhi hukuman mati atas jenayah itu bukan atas pembunuhan di akueduk kerana tiada bukti kukuh untuk menyabitkannya dalam kes-kes tersebut.


     Diogo Alves digantung pada 19 Februari 1841. Dia merupakan antara orang terakhir yang dijatuhkan hukuman mati di Portugal sebelum hukuman itu dihapuskan pada akhir abad ke-19. Cuma kisah Alves tidak tamat di tali gantung. Selepas dia dihukum mati, pihak berkuasa memotong dan mengawet kepalanya dalam larutan formalin. Ketika itu, kajian tentang otak penjenayah sedang berkembang dan saintis ingin memahami sama ada terdapat ciri khas dalam otak yang membuat seseorang cenderung menjadi pembunuh.

     Hingga pada hari ini, kepala Diogo Alves masih disimpan di Fakulti Perubatan Universiti Lisbon. Ia dijadikan bahan kajian dan juga simbol sejarah gelap Portugal. Pelawat boleh melihat wajahnya yang diawet dengan mata tertutup dan ekspresi beku. 
Seperkara lagi harus diketahui, segala kaitan antara Alves dan siri kematian misteri yang dikaitkan dengannya itu datang daripada cerita rakyat dan laporan akhbar lama. Namun ramai percaya bahawa dialah dalangnya berdasarkan masa, lokasi dan corak jenayah yang konsisten dengan perbuatannya.

Catat Ulasan for "Kisah Diogo Alves: Pembunuh Bersiri Akueduk dari Lisbon"