Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH LELAKI YANG MENCARI DIRINYA SENDIRI YANG HILANG

     Turki pernah digemparkan dengan satu kejadian luar biasa dan menggelikan hati pada tahun 2021 apabila seorang lelaki yang dilaporkan hilang secara tidak sengaja telah menyertai operasi mencari dan menyelamat untuk mencari dirinya sendiri. Kejadian yang berlaku di wilayah Bursa turut tular di peringkat antarabangsa apabila media seperti BBC dan The Guardian. Lelaki tersebut dikenali sebagai Beyhan Mutlu, seorang penduduk tempatan berusia 50 tahun dari daerah Inegol yang tidak menyangka dirinya akan menjadi tajuk utama berita dunia kerana kejadian pelik ini.

     Segalanya bermula pada suatu malam apabila Mutlu keluar minum bersama rakan-rakannya. Mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak polis, dia dikatakan dalam keadaan mabuk ringan dan memutuskan untuk tidak pulang ke rumah sejurus selepas sesi minum itu. Dia sebaliknya dikatakan berjalan kaki seorang diri dan menuju ke kawasan hutan berhampiran. Tidak dapat dipastikan sama ada Mutlu benar-benar tersesat atau hanya mencari tempat untuk berehat. Dia akhirnya tertidur di sebuah vila terbengkalai yang sedang dalam pembinaan berdekatan dengan kawasan tersebut.

     Keesokan harinya, apabila keluarganya mendapati Mutlu tidak pulang ke rumah dan tidak dapat dihubungi, mereka menjadi panik dan segera membuat laporan polis. Rakan-rakannya yang turut minum bersama pada malam sebelumnya turut gagal mengesan keberadaannya. Ini menyebabkan pihak berkuasa melancarkan satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara besar-besaran yang melibatkan polis, pasukan penyelamat dan sukarelawan tempatan. Operasi itu difokuskan di sekitar kawasan hutan dan perkampungan kecil di daerah tersebut tempat terakhir Mutlu dipercayai berada.

     Dalam situasi yang sangat luar biasa, Mutlu yang telah bangun dari tidur dan mula berjalan keluar dari vila itu terlihat kumpulan pencari yang sedang giat menjalankan pencarian. Tanpa bertanya dengan lebih lanjut dan mungkin masih dalam keadaan keliru atau ingin membantu, dia terus menyertai pasukan itu untuk mencari orang yang hilang. Mutlu tidak menyedari bahawa sebenarnya dirinya sendiri yang menjadi subjek pencarian tersebut. Selama berjam-jam, Mutlu mengikuti pasukan itu menyusuri hutan memanggil nama "Beyhan Mutlu" berulang kali tanpa menyedari nama yang disebut-sebut itu adalah namanya sendiri.

     Detik paling mengelirukan berlaku apabila salah seorang sukarelawan dalam pasukan penyelamat menjerit nama itu dengan kuat dan bertanya sama ada lelaki yang mereka cari berada di sekeliling. Tiba-tiba, Mutlu yang turut berada bersama mereka merasa pelik dan bertanya, “Siapa sebenarnya yang kamu cari?” Apabila nama “Beyhan Mutlu” diulang, dia menjawab dengan spontan, “Itu saya! Saya di sini!” Situasi menjadi janggal dan hening seketika sebelum seluruh pasukan penyelamat menyedari bahawa lelaki yang hilang itu sebenarnya telah menyertai mereka sejak awal operasi pencarian lagi.

     Pihak polis segera mengambil maklumat pengesahan dan menyudahkan operasi SAR tersebut serta menghantar Mutlu pulang ke rumahnya. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kemudian, Mutlu menjelaskan bahawa beliau tidak menyangka dirinya yang dicari kerana menyangka operasi itu untuk mencari orang lain. Tambahnya, dia hanya ingin membantu kerana melihat begitu ramai orang yang kelihatan cemas dan serius menjalankan pencarian. 

     Lebih lucu yakni ketika wartawan bertanya sama ada dia sedar namanya sedang dipanggil, Mutlu mengaku bahawa dia mendengarnya tetapi menyangka terdapat orang lain yang berkongsi nama yang sama dengannya. Bagi Beyhan Mutlu, kejadian ini kekal sebagai satu pengalaman yang aneh tetapi lucu dalam hidupnya. Mutlu memberitahu media bahawa bdia tidak mengambil hati dengan apa yang berlaku dan mampu ketawa mengenainya. 

Catat Ulasan for "KISAH LELAKI YANG MENCARI DIRINYA SENDIRI YANG HILANG"