Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM GIULIA CECCHETTIN


     Giulia Cecchettin ialah seorang pelajar cemerlang dalam bidang Kejuruteraan Bioperubatan dari Universiti Padova, Itali yang sepatutnya menyambut kejayaan besar dalam hidupnya. Impian itu bagaimanapun itu tidak pernah menjadi kenyataan. Pada November 2023, Itali dikejutkan dengan berita kehilangan Giulia yang kemudiannya disahkan dibunuh dengan kejam oleh bekas teman lelakinya sendiri iaitu Filippo Turetta. 

     Giulia dan Filippo merupakan pasangan kekasih selama hampir dua tahun sebelum mereka berpisah. Sepanjang hubungan itu, Filippo digambarkan sebagai seorang yang cemburu, mengongkong dan sukar menerima penolakan. Rakan-rakan Giulia mendedahkan bahawa hubungan mereka sering bergolak. Malah Giulia pernah menyuarakan rasa tidak selesa terhadap sikap Filippo yang terlalu mengawal hidupnya. Beberapa bulan sebelum pembunuhan, hubungan mereka telah pun berakhir secara rasmi. Walau bagaimanapun, Filippo terus cuba berhubung dengan memujuk dan merayu agar hubungan mereka disambung semula. Giulia menolak secara baik tetapi Filippo tidak dapat menerima hakikat itu.


     Motif utama pembunuhan ini adalah cinta obsesif yang bertukar menjadi dendam apabila penolakan Giulia membuat Filippo merasa hilang kawalan ke atas hidupnya. Semasa perbicaraan, Filippo mengaku bahawa dia tidak dapat menerima hakikat bahawa Giulia mampu hidup bahagia tanpa dirinya. Dia mula merancang penculikan dan pembunuhan beberapa hari sebelum kejadian. Dia membeli tali plastik, pita pelekat dan beg plastik. Semua ini menunjukkan perbuatan itu dilakukan dengan niat dan perancangan rapi. Dalam erti kata lain, pembunuhan itu adalah satu bentuk hukuman yang mahu dikenakan terhadap Giulia kerana memilih untuk meninggalkannya dan menyakitkan ego Filippo.

     Pada 11 November 2023, Giulia bersetuju untuk bertemu Filippo buat kali terakhir sebelum hari graduasinya. Mereka keluar membeli kasut dan makan malam bersama. Giulia dilaporkan bersikap tenang sepanjang pertemuan tetapi jelas ingin mengekalkan hubungan mereka sebagai kawan sahaja. Perbualan mereka dipercayai berakhir dengan satu bentuk pertelingkahan atau penolakan tegas daripada Giulia. Ketika itulah Filippo bertindak ganas. Menurut siasatan forensik dan rakaman CCTV, Giulia cuba melarikan diri beberapa kali selain sempat menjerit meminta tolong di kawasan tempat letak kereta. Namun tiada sesiapa yang sempat menyelamatkannya.

     Filippo kemudian menikam Giulia sebanyak 75 kali terutamanya di kepala dan leher. Setelah membunuhnya, dia menyimpan mayat Giulia di dalam keretanya selama beberapa hari sebelum membuang tubuh mangsa ke dalam jurang di kawasan terpencil berhampiran Tasik Barcis di Friuli. Keseluruhan mayat dibungkus dalam plastik dan pita pelekat bagi menyembunyikan bukti. Mayat Giulia hanya ditemui seminggu kemudian yakni pada 18 November dalam keadaan menyayat hati.

     Selepas membunuh, Filippo melarikan diri ke Jerman dengan niat untuk menghilangkan diri dari pihak berkuasa. Melalui kerjasama antara pihak polis Itali dan Jerman, dia berjaya dikesan dan diberkas semasa berada di lebuh raya Jerman. Filippo tidak menunjukkan sebarang penyesalan semasa ditangkap dan diekstradisi kembali ke Itali tidak lama kemudian.

     Perbicaraan Filippo Turetta bermula pada September 2024 di Mahkamah Assize di Venice. Sepanjang perbicaraan, dia mengaku telah merancang pembunuhan tersebut serta menyatakan bahawa tindakan itu berpunca daripada rasa kecewa dan marah kerana hubungan mereka tidak dapat diselamatkan. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Filippo pada 3 Disember 2024 atas kesalahan membunuh dengan niat, menculik, dan menyembunyikan mayat. Dia turut diarahkan membayar ganti rugi berjumlah €760 000 (hampir RM4 juta) kepada keluarga Giulia.

     Pembunuhan ini mencetuskan gelombang kemarahan yang meluas di Itali. Ribuan rakyat menyertai protes menuntut reformasi terhadap sistem perlindungan wanita dan pendidikan hubungan sihat dalam kalangan remaja. Kakak mangsa yang Bernama Elena Cecchettin muncul sebagai suara rakyat apabila dia mengkritik budaya patriarki yang meresap dalam masyarakat, budaya yang meletakkan wanita sebagai milik lelaki. Bapanya, Gino Cecchetti pula memperjuangkan kesedaran terhadap penderaan emosi dan keganasan pasangan. Dia telah menulis buku bertajuk Cara Giulia, yang memperincikan kenangan, keperitan dan harapan bahawa tragedi anaknya menjadi titik perubahan nasional.

     Universiti Padova menganugerahkan Giulia dengan ijazah kehormat selepas kematiannya sebagai penghormatan terhadap pencapaiannya. Keluarganya turut menubuhkan Fondazione Giulia Cecchettin iaitu sebuah yayasan untuk menyokong pendidikan emosi dan seksual dalam kalangan remaja serta mendidik tentang hubungan sihat dan tanda-tanda awal keganasan domestik.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM GIULIA CECCHETTIN "