Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Lima Anggota Kumpulan Muzik Serantau Diculik dan Dibunuh Kejam


     MEXICO -  Sebuah kejadian menyayat hati telah menggemparkan Mexico apabila lima anggota kumpulan muzik serantau terkenal iaitu Grupo Fugitivo dilaporkan diculik dan kemudiannya ditemui mati dalam keadaan mengerikan di Reynosa, Tamaulipas. Kejadian ini berlaku pada malam Ahad, 25 Mei 2025 dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan kartel dadah ganas yang menguasai kawasan sempadan utara negara itu.

     Menurut laporan awal, kumpulan muzik ini dalam perjalanan ke sebuah acara peribadi bagi membuat persembahan. Sekitar jam 10 malam waktu tempatan, lima anggota Grupo Fugitivo itu telah diculik secara tiba-tiba oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali. Salah seorang anggota kumpulan terselamat daripada insiden penculikan tersebut kerana dia tiba lewat ke lokasi pertemuan, satu kebetulan yang menyelamatkan nyawanya. Lelaki itu kemudian segera membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai kehilangan rakan-rakannya.

     Tidak lama selepas insiden penculikan, keluarga mangsa mendakwa menerima beberapa panggilan daripada penculik yang menuntut wang tebusan sebagai syarat pembebasan mangsa. Walau bagaimanapun, usaha untuk menyelamatkan mereka tidak membuahkan hasil. Beberapa hari kemudian, mayat kelima-lima anggota Grupo Fugitivo ditemui dalam keadaan rentung di sebuah kawasan lapang yang pernah menjadi tapak pelupusan sampah haram. Penemuan itu berlaku kira-kira 12 kilometer dari lokasi mereka diculik. Hasil bedah siasat awal menunjukkan kesemua mangsa dipercayai telah diseksa, dibunuh dan dibakar.

     Kejadian ini mencetuskan gelombang kemarahan dan kesedihan yang mendalam dalam kalangan masyarakat Reynosa. Penduduk tempatan mengadakan tunjuk perasaan aman di Jambatan Antarabangsa Pharr-Reynosa yang menghubungkan Mexico dengan Texas, Amerika Syarikat sebagai tanda bantahan terhadap keganasan yang terus membelenggu kawasan tersebut. Satu majlis doa turut diadakan di sebuah katedral di Reynosa sebagai penghormatan terakhir kepada mangsa sekali gus menyeru kepada keadilan buat keluarga yang kehilangan insan tersayang.

     Pihak berkuasa negeri dan persekutuan bertindak pantas dengan melancarkan siasatan dan operasi khas membanteras pihak yang bertanggungjawab. Dalam tempoh beberapa hari, sembilan suspek berjaya ditahan. Kesemua mereka dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai Los Metros yakni salah satu faksi dalam Kartel Teluk, sebuah kartel dadah yang berkuasa dan ganas di utara Mexico. Dalam operasi penahanan itu, pihak polis turut merampas sembilan laras senjata api dan dua buah kenderaan yang dipercayai digunakan semasa penculikan berlaku.

     Motif sebenar pembunuhan tersebut masih dalam siasatan. Beberapa penganalisis keselamatan bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ia berkait dengan penolakan kerjasama atau keengganan kumpulan muzik berkenaan untuk memenuhi permintaan kartel. Di Mexico, bukan sesuatu yang luar biasa bagi kartel memaksa penghibur tempatan untuk membuat persembahan dalam majlis mereka atau menjadi alat propaganda. Penolakan atau sebarang bentuk penentangan boleh mengundang padah.

Catat Ulasan for "Lima Anggota Kumpulan Muzik Serantau Diculik dan Dibunuh Kejam"