KISAH MISTERI KEMATIAN EMILE SOLEIL

Pada musim panas tahun 2023, sebuah kampung kecil yang tenang di kawasan pergunungan Alps, Perancis bertukar menjadi lokasi pencarian terbesar negara itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun iaitu Emile Soleil dilaporkan hilang tanpa jejak ketika berada di bawah jagaan datuk dan neneknya. Apa yang berlaku kepada Emile menjadi misteri yang membingungkan pihak berkuasa dan lebih memilukan, penemuan tulang-tulangnya beberapa bulan kemudian mengubah kisah kehilangan ini menjadi tragedi penuh kesedihan dan teka-teki yang belum terjawab.
Emile Soleil merupakan anak kedua kepada pasangan Marie dan Colomban Soleil yang tinggal di kawasan La Bouilladisse. Pasangan ini dikenali sebagai keluarga konservatif yang kuat berpegang pada ajaran agama Katolik. Mereka dikurniakan beberapa orang anak dan hidup dalam suasana yang agak tertutup daripada perhatian umum. Pada awal bulan Julai 2023, Emile dihantar ke kampung Le Haut-Vernet, sebuah perkampungan kecil di kawasan pergunungan tenggara Perancis untuk bercuti bersama datuk dan neneknya, Philippe dan Anne Vedovini. Kampung itu hanya dihuni sekitar dua puluh orang.

Pada petang 8 Julai 2023 yakni sekitar jam 5:15 petang, dua orang penduduk kampung melaporkan melihat Emile berjalan seorang diri di jalan kecil berhampiran rumah datuk dan neneknya. Tidak lama selepas itu, kelibatnya tidak lagi kelihatan. Datuk dan neneknya yang menyedari kehilangannya segera menghubungi pihak berkuasa. Pencarian segera dilancarkan. Operasi besar-besaran dimulakan serta-merta melibatkan ratusan anggota penyelamat, anjing pengesan, helikopter, dron dan sukarelawan. Kawasan sekitar kampung digeledah setiap inci, termasuk kawasan hutan dan lereng bukit. Namun dalam beberapa hari operasi pencarian, tiada satu pun kesan atau petunjuk tentang keberadaan Emile ditemui.
Rakyat Perancis mengikuti kisah ini dengan penuh perhatian dan simpati. Ramai menzahirkan keprihatinan mereka melalui media sosial dan sukarelawan dari pelbagai wilayah turut menyertai misi pencarian. Setelah sembilan hari mencari tanpa hasil, operasi dihentikan secara rasmi dan kes diserahkan kepada siasatan jenayah.
Masa terus berlalu. Ibu bapa Emile yang tidak berada di lokasi semasa kejadian terus mendesak pihak berkuasa agar tidak menghentikan usaha mencari anak mereka. Walau bagaimanapun, harapan semakin pudar apabila tiada perkembangan baharu muncul selama berbulan-bulan. Kes ini mula tenggelam dari perhatian media tetapi polis masih menjalankan siasatan senyap. Hinggalah pada 30 Mac 2024 yang bersama dengan sembilan bulan selepas kehilangannya, satu penemuan mengejutkan berlaku.

Seorang pendaki yang berada di kawasan hutan berhampiran Le Haut-Vernet telah menemui satu tengkorak kecil. Lokasi itu hanya kira-kira 1.7 kilometer dari rumah datuk dan nenek Emile. Penemuan itu segera dilaporkan kepada polis dan hasil ujian DNA mengesahkan bahawa tengkorak tersebut milik Emile Soleil. Pakaian dan cebisan tulangnya turut ditemui di lokasi yang sama beberapa hari selepas itu. Penemuan ini menimbulkan pelbagai persoalan baharu. Mengapa kawasan itu tidak dijumpai semasa operasi pencarian dahulu? Adakah mayat Emile dipindahkan ke sana selepas pencarian dihentikan? Jika ya, siapa yang melakukannya dan mengapa?
Penemuan ini mengubah arah siasatan sepenuhnya. Pihak pendakwa mula mempertimbangkan kemungkinan bahawa Emile bukan sekadar hilang tetapi menjadi mangsa pembunuhan. Apa yang lebih mengejutkan, pada Mac 2025, pihak berkuasa menahan empat ahli keluarga Emile, datuk dan neneknya serta dua orang anak mereka (iaitu bapa saudara dan ibu saudara kepada Emile). Mereka ditahan dan disoal siasat sebagai sebahagian daripada siasatan pembunuhan. Walaupun tiada pertuduhan rasmi dikenakan ketika itu, tindakan ini mengejutkan kerana ia memberi bayangan bahawa keluarga sendiri mungkin terlibat dalam kejadian ini.

Pada 27 Mac 2025, keempat-empat mereka dibebaskan tanpa pertuduhan. Pihak berkuasa menjelaskan bahawa walaupun tiada bukti kukuh setakat ini, siasatan terhadap keluarga masih diteruskan. Laporan forensik awal turut mendapati ada tanda-tanda trauma pada tengkorak Emile yang tidak selari dengan kemalangan biasa, seperti jatuh atau serangan haiwan. Malah wujud kemungkinan kuat bahawa sisa mayat Emile baru sahaja diletakkan di lokasi penemuan meskipun kawasan itu pernah digeledah sebelum ini. Hal ini menimbulkan kemungkinan bahawa ada seseorang yang cuba menyembunyikan jenayah atau mengalih bukti dan pelakunya mungkin seseorang yang sangat dekat dengan keluarga.
Tentang ibu bapa Emile, mereka kekal memberi kerjasama kepada siasatan tetapi mereka lebih cenderung mengelak daripada memberi kenyataan kepada media. Pasangan tersebut tetap mendesak agar keadilan ditegakkan untuk anak mereka. Latar belakang keagamaan dan gaya hidup konservatif keluarga Soleil turut menjadi bahan spekulasi media walaupun tiada kaitan langsung dibuktikan.
Catat Ulasan for "KISAH MISTERI KEMATIAN EMILE SOLEIL"